2 Dekad GPM: ABIM dan sejarah panjang advokasi perjuangan Afghanistan

October 1, 2021
editor@abim

2 Dekad GPM: ABIM dan sejarah panjang advokasi perjuangan Afghanistan

Alhamdulillah, pada 26hb September 2021 (Ahad), telah berlangsung “Persidangan KL mengenai Afghanistan: Re Emergence of a Nation”, secara maya. Acara ini anjuran bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Kerajaan menekankan bahawa perlunya proses damai yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, serta penyertaan yang inklusif dalam pembinaan semula Afghanistan.

Menarik dengan kehadiran Yvonne Ridley antara pembentang kali ini. Beliau ditangkap oleh Taliban pada 2001 selama 11 hari tetapi akhirnya memeluk Islam pada 2003. Juga Professor Hashim Kamali mantan Chairman, the Constitution Review Commission of Afghanistan dan UN Consultant on Constitutional Reforms in Afghanistan yang turut serta membicarakan topik Cautious Optimism of the Future of Afghanistan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengumumkan perlantikan Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Datuk Ahmad Azam Ab Rahman sebagai Penasihat Khas mengenai Afghanistan, Kementerian Luar.

Pada persidangan tersebut, Tabung #PeduliAfghanistan GPM dilancarkan bertujuan mengumpul dana berjumlah RM1 juta untuk menyediakan makanan, tempat tinggal, sanitasi dan peralatan kebersihan kepada pelarian Afghanistan.

Menurut statistic UNHCR setakat 31hb Ogos 2021, kira-kira 3.5 juta rakyat Afghanistan kini tidak mempunyai tempat tinggal di negara mereka sendiri. Tambahan lagi, seramai 2.2 juta terpaksa mencari suaka serta menjadi pelarian di pelbagai buah negara, di seluruh dunia.

Pelbagai Program Menarik dan Bermakna

Bersempena dengan 20 tahun di persada kemanusiaan, pelbagai siri program menarik dianjurkan sebagai tanda syukur kepada Dia yang Maha Segalanya yang masih memberi ruang khidmat untuk GPM kekal relevan dalam urusan memudah dan membantu mereka yang berkeperluan; muhajirin pelarian, negara konflik, bencana alam dan sebagainya.

Tahniah dan apresiasi kepada tokoh-tokoh awal dan tokoh aktivis yang memusatkan fokus pengembangan GPM sehingga dapat diteruskan generasi selepasnya. Serta penggerak dan sukarelawan yang pernah bersama dan memilih menjadikan GPM sebagai sekolah bagi menumbuh, memperbaiki dan menyubur kemanusiaan dan insaniyyah dalam diri.

Sempena 2 Dekad GPM, antara program yang dianjurkan adalah Malam Munajat Kemanusiaan (23hb September); Malam Solidariti Umat (24hb September); dan Malam Puisi Kemanusiaan (25hb September).

Terdahulu, berlangsung #ReflectSeries #9 dengan topik “Afghanistan: 20 Tahun Berlalu” dan Cabaran Masa Depan pada 18hb Ogos 2021. Pada 21hb September 2021, turut diadakan “Webinar on Political Reconciliation & Socio-Economic Reconstruction of Afghanistan”.

2021: Afghan kembali bergolak

Pada Ogos 2021, Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani, meninggalkan negara itu selepas Taliban kembali memasuki ibu negara, Kabul, dan mengisytiharkan kemenangan selepas pertempuran hanya 10 hari. Kumpulan Taliban masuk ke Kabul, 20 tahun selepas mereka diusir oleh tentera gabungan Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Bertindak atas perkembangan yang membimbangkan ini, GPM yang diketuai Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Puan Maria binti Kamel dan juga Pegawai Eksekutif, Sdra. Ahmad Fahmi bin Mohd Samsuddin telah mengadakan pertemuan bersama TYT Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr. Moheb Rahman Spinghar bagi mendapatkan informasi terkini di samping menyatakan rasa keprihatinan terhadap apa yang sedang berlaku serta kesediaan untuk menjalankan Misi Bantuan Kemanusiaan segera ke Afghanistan.

Di dalam pertemuan tersebut, beliau turut menggesa dan meletakkan harapan agar GPM yang ditubuhkan pada 2001 ekoran pengisytiharan perang oleh Amerika Syarikat ke atas Afghanistan untuk mengangkat isu ini di samping berharap agar Malaysia dapat memainkan peranan yang signifikan untuk menjadi orang tengah di dalam proses rundingan damai di antara pihak yang bertelagah. Dr. Moheb menzahirkan rasa terima kasih dan bersyukur kepada ABIM dan GPM di atas sokongan yang diberikan bersama rakyat Malaysia selama ini.

2021: Misi Kemanusiaan GPM ke Afghanistan

Kumpulan pertama petugas kemanusiaan Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah selamat tiba di Kabul, Afghanistan lewat petang Jumaat, 24hb September 2021. Ketibaan enam orang petugas yang diketuai oleh Hj. Azlan Muhammad Sharif tersebut disambut oleh wakil GPM di lapangan, Abdur Raheem Ghafari di samping Pengarah Bahagian Ketibaan Tetamu, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Muhammad.

Turut serta dalam misi ini adalah Sdra. Syahrir Azfar Saleh, Exco ABIM Pusat serta Ketua Pegawai Operasi (COO) GPM.

Terdahulu, Chargé d’affaires Malaysia di Pakistan, Deddy Faisal Ahmad Saleh sempat meluangkan bertemu dan menghantar pergi para petugas menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Islamabad.

Objektif utama GPM bagi misi yang turut disertai oleh Muslim Volunteer Malaysia (MVM) pada kali ini adalah untuk menghantar bantuan kemanusiaan segera kepada mereka yang terkesan dengan situasi yang tidak stabil di negara itu ekoran kejayaan Taliban menguasai pemerintahan Afghanistan pada 15hb Ogos yang lalu.

Di samping itu GPM juga akan turut melaksanakan penilaian keperluan bantuan-bantuan lain untuk tindakan selanjutnya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui platform dalam talian di pautan www.peduliafghanistan.com atau melalui pindahan wang ke akaun Maybank, Global Peace Mission: 564221611602 dengan rujukan sumbangan #PeduliAfghanistan.

2 Dekad GPM: Satu Kembara Panjang

Tanggal 26hb September 2021 menyaksikan GPM menyambut ulang tahun ke 20 penubuhannya pada 2001. Namun sejarah penubuhannya malah panjang dan sebelumnya lagi. Pra penubuhannya mengambil semangat menghidupkan hati dan memberi nyawa dalam rasa kemanusiaan melalui organisasi induknya iaitu ABIM (yang diasaskan pada 1971) – dan digerakkan dengan sepenuh hati oleh generasi terdahulu dari hari ini.

Bermula dengan advokasi dan projek bantuan lapangan rentas sempadan, bergeraklah ia atas nama Malaysia Relief International, penubuhan sekretariat/pejabat satelit dengan nama Malaysia-Relief Centre ABIM, dan kemudiannya Malaysia Relief Agency bagi menterjemah keprihatinan kepada masyarakat yang tertindas dan memerlukan bantuan (ketika itu di negara konflik dan negara mengalami bencana alam).

20 tahun lalu, lahir ia secara rasmi dengan nama Misi Keamanan Sejagat atau Global Peace Mission (GPM) Malaysia sesuai dengan pendekatan mendokong Misi Rahmatan Lil ‘Alamin yang sentiasa cuba disuburkan di lapangan.

Sejak awal 1970-an lagi, ABIM sudah mula membawa isu-isu besar umat dunia. Keunikan isu antarabangsa yang dibawa ABIM sejak dulu adalah ia berdiri atas faktor inspirasi dan ikatan bersama gerakan Islam lain di seluruh dunia selain inspirasi dari tokoh-tokoh ilmuwan dan gerakan Islam yang sentiasa menjadi rujukan.

Hubungan Presiden ABIM, Sdra. Anwar yang akrab dengan pelbagai jaringan pertubuhan belia Muslim sedunia mendedahkan beliau kepada ramai tokoh ilmuwan Islam seperti Tan Sri Prof. Dr. Syed Naquib al-Attas, Almarhum Dato’ Dr. Syed Hussein al-Attas, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, Almarhum Prof. Dr. Ismail Raji’ Faruqi, Almarhum Dr. Muhammad Natsir, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Almarhum Syeikh Dr. Taha Jabir Alwani, Almarhum Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Hamid Ahmad AbuSulayman, Sheikh Muhammad al-Ghazali, Almarhum Syeikh Dr. Ramadan al-Bouti, Syeikh Dr. Ali Qaradaghi dan ramai lagi.

Ramai tokoh ilmuwan Muslim dan pemimpin gerakan Islam semasa adalah rakan-rakan kepada pimpinan ABIM khususnya Sdra. Anwar Ibrahim, Prof. Dr. Razali Nawawi, Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor dan lain-lain semasa dalam aktivisme belia muslim sedunia seperti Dr. Ahmad Totonji, Syeikh Wahbah Zuhaily, Dr. Rachid Ghanoushi, Mustafa Mansur, Racep Tayyep Erdogan dan ramai lagi. Ada yang lebih senior seperti Dr. Khurshid Ahmad dan Dr. Mehdi Akif.

Lewat kunjungan pertamanya ke Asia Tenggara pada tahun 1974, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi singgah ke Malaysia dan bertemu Sdra. Anwar di pejabat ABIM. Ramai tokoh gerakan Islam atau bukan Islam akan memberikan syarahan anjuran ABIM dan Yayasan Anda (institusi pendidikan swasta ABIM untuk para asnaf lepasan sekolah menengah) terutama kepada aktivis dan pelajar-belia.

Sedari kunjungan pertama ke ABIM, Syeikh Qaradhawi konsisten menekankan bahawa umat Islam perlu menyubur pemikiran moderat/wasatiyah dan menolak faham ekstremisme.

Sdra. Anwar juga mempergiat hubungan ABIM dengan pertubuhan Islam luar negara seperti Majlis Islam Eropah, Rabitah Islami yang berpusat di Mekah dan Kongres Muslim Sedunia yang berpusat di Pakistan. Begitu juga dengan FOSIS dan MSA di UK. Sdra. Anwar, Prof. Dr. Razali Nawawi dan Almarhum Ustaz Dahlan Arshad juga membantu mengasaskan Malaysian Islamic Student Group (MISG) di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Sejak Afghanistan mula dijajah oleh Rusia (1979-1989) hingga kini, ABIM konsisten mengadakan jelajah ceramah, kempen advokasi kesedaran serta kutipan tabung pemulihan Afghanistan ke seluruh negara berkenaan isu krisis kemanusiaan serta konflik peperangan di negara tersebut.

Pada hari Krismas, 25 Disember 1979, Kesatuan Soviet (USSR) menghantar bala tentera seramai lebih 100,000 askar ke Afghanistan bagi membantu Kerajaan Komunis di Kabul menghadapi penentangan para mujahidin.  

Pada awalnya, ABIM pimpinan Sdra. Anwar Ibrahim mengadakan majlis perhimpunan berceramah di Masjid Kampung Baru pada 12hb Januari 1980 bagi membantah campurtangan Soviet di Afghanistan. Sdra. Anwar turut memimpin ahli-ahli ABIM berdemonstrasi di depan Kedutaan Rusia di Jalan Ampang bagi membantah campurtangan Soviet Union di Afghanistan.

Seramai 200 orang aktivis ABIM berarak ke Kedutaan Rusia bagi membantah penaklukan kejam Soviet ke atas wilayah berdaulat Afghanistan. Mereka menyerahkan memorandum bantahan kepada Duta Rusia, TYT Dr. Boris T. Koulik menuntut serangan ke atas rakyat Afghanistan dihentikan serta merta.  

Selepas kemasukan ke dalam Pemuda UMNO serta Kabinet Menteri pada 1982, Sdra. Anwar masih konsisten menggerakkan kempen kesedaran serta demonstrasi bagi membantah kerakusan Soviet.

Pada 17hb April 1983, Sdra. Anwar (ketika itu Ketua Pemuda UMNO) mengetuai demonstrasi untuk menyampaikan nota bantahan terhadap amaran Rusia yang dibuat terhadap ASEAN, bersama 5,000 orang anak muda daripada pelbagai kaum dan agama. Satu lagi perhimpunan turut dibuat bagi membantah pencerobohan tentera Vietnam ke atas Thailand. Perhimpunan itu anjuran bersama Pemuda Barisan Nasional.

Pada 4hb Februari 1989, ABIM melancarkan Tabung Pemulihan Afghanistan untuk membantu proses pembinaan semula negara yang teruk dilanda peperangan ekoran pencerobohan Soviet selama 10 tahun. Delegasi misi kemanusiaan ABIM turut dihantar ke Pakistan dan Afghanistan, di mana antara anggota delegasi misi tersebut adalah Almarhum Syeikh Ni’amat Yusoff, Yang Dipertua ABIM Kedah yang pertama.

Usaha yang dilakukan oleh Prof. Dr. Razali Nawawi dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim diteruskan oleh kesemua Presiden ABIM yang selanjutnya, di mana misi kemanusiaan, advokasi dan kempen kesedaran kekal menjadi antara cabang keutamaan dalam sejarah panjang lipatan perjuangan ABIM.

Lahirnya MKS-GPM

GPM ditubuhkan pada 26hb September 2001 sebagai sebuah gerakan yang membantah pengisytiharan perang oleh Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap negara Afghanistan, selepas peristiwa serangan 11hb September 2001 terhadap Menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) serta Pentagon di AS. Apabila Afghanistan diserang pada awal Oktober tahun yang sama, GPM telah menggerakkan misi bantuan kemanusiaan dan perubatan bagi membantu mereka yang menjadi mangsa kepada peperangan tersebut.

Terdahulu, badan gabungan itu telah menghantar memorandum ‘Misi Keamanan Sejagat (Global Peace Mission)’ ke kedutaan Amerika Syarikat sebagai membantah sebarang tindakan ketenteraan yang oleh negara itu ke atas Afghanistan.

GPM merupakan antara badan kemanusiaan antarabangsa daripada Malaysia yang merintis ruang untuk menjalankan misi lapangan di negara tersebut ketika serangan mula-mula dilakukan Amerika Syarikat pada 2001.  Misi lapangan ini telah mendedahkan anggota misi GPM dengan pelbagai sisi lain yang menggambarkan kehidupan harian masyarakat Afghanistan.

GPM atau nama asalnya, ‘Badan Gabungan Misi Keamanan Sejagat’ merupakan sebuah gabungan yang mewakili 27 buah badan bukan kerajaan (NGO). Ketika delegasi misi kemanusiaan dihantar ke sempadan Afghanistan dan Pakistan, ia diketuai oleh Sdra. Khairil Anuar Khalid daripada pertubuhan Malaysia Sociological Research Institute (MSRI). Ia bagi memantau keadaan dan keperluan di kem pelarian di sana. Delegasi tersebut turut disertai wakil daripada ABIM dan Malaysian Medical Relief Society (MERCY).

Tujuan delegasi itu adalah untuk membuat tinjauan logistik bagi penghantaran bantuan yang akan disalurkan oleh Tabung Keamanan Sejagat nanti. Ia juga untuk mengenal pasti keadaan anak-anak yatim dan ibu tunggal yang memerlukan bantuan. Tabung itu ditubuhkan bagi membantu pelarian Afghanistan, terutama golongan kanak-kanak dan wanita yang kini berlindung di sempadan Pakistan.

Komuniti Pashtun banyak membantu serta memberi perlindungan kepada delegasi GPM dalam pelbagai misi kemanusiaan yang dianjurkan di sana. Bagi mereka sekiranya kita menghormati adat resam serta sensitiviti masyarakat Pashtun, mereka akan bersungguh-sungguh membantu serta melindungi kita. Menerusi konsep Pashtun Wali mengingatkan komunitinya untuk berpegang pada janji serta membalas setiap jasa baik seseorang. Sepanjang GPM berada di Afghanistan, konsep Pashtun Wali banyak memudahkan anggota misi badan tersebut untuk bergerak di lapangan walaupun terdedah kepada pelbagai ancaman.

Penutup

Semoga ABIM serta Global Peace Mission (GPM) Malaysia terus diberi kekuatan dan keutuhan pada peringkat antarabangsa untuk bertindak sebagai pemain global membawa naratif Islam Nusantara. Ia selaras dengan citra Kosmopolitan Islam yang dimiliki oleh umat di alam Melayu ini yang telah membawa kepada pembinaan peradaban agung sebagai salah satu sumbangan besar kita kepada dunia. Sesungguhnya, sebagai umat yang membawa panji keamanan dan kedamaian Islam, kita mesti menyuburkan sikap kemanusiaan, belas ihsan dan bantu membantu kepada mereka yang memerlukan, tanpa mengira sempadan geografi, perbezaan latar kaum mahupun warna kulit. Khalas.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR