TAJUK BUKU: 30 PROJEK RAMADAN
OLEH: DR. ‘ĀDIL AL-SHIDDĪ & DR. AḤMAD AL-MAZYAD
PENTERJEMAH: MOHAMMAD SYAFIQ ISMAIL
PROJEK #1: MEMPERBAIKI HUBUNGAN SILATURRAHIM ANTARA SATU SAMA LAIN.
Ketibaan bulan ini perlu kita sambut dengan hati yang dipenuhi dengan kasih sayang dan rahmah. Sabda baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam, “Mahukah daku beritahu kepada kalian, akan perbuatan yang lebih mulia daripada puasa, solat dan sedekah?” Mereka (Para sahabat) berkata, “Iya (kami mahu).”
Baginda bersabda, “Memperbaiki hubungan antara sesama. Sesungguhnya kerosakan hubungan antara sesama itulah yang akan mencukur. Daku tidak katakan ia mencukur rambut, tetapi, ia mencukur agama (yakni merosakkan agama seseorang).” (H.R. al-Tirmidhī)
PROJEK #2: MEMPERBAIKI AKHLAK.
Puasa akan menyucikan jiwa daripada sikap kedekut, pentingkan diri sendiri, takabbur, dan akhlak buruk yang lainnya.
Sabda baginda ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta, atau beramal dengannya, atau melakukan kezaliman, (yakni ketika berpuasa), maka Allāh tak berhajat kepadanya untuk dia meninggalkan makanannya dan minumannya. (H.R. alBukhārī)
PROJEK #3: MENDAPATKAN KEAMPUNAN ALLAH S.W.T
Ramaḍān ialah peluang untuk pengampunan segala dosa dan kesalahan. Justeru, wajarlah bagi sesebuah keluarga itu, untuk menjadikan matlamat utamanya: bulan ini tidak berlalu melainkan setelah dosa seluruh ahli keluarga itu diampunkan. Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bersabda, “Amat rugilah, amat rugilah, amat rugilah.” Ditanya baginda, “Siapakah dia (yang rugi itu) wahai Rasūlullāh?” Baginda menjawab, “Orang yang sempat mendapatkan Ramaḍān, akan tetapi dia tetap saja tidak diampunkan.” (H.R. Muslim)
PROJEK #4: MEMASANG NIAT UNTUK MENZIARAHI NABI ṢALLALLĀHU ‘ALAYHI WA SALLAM (MENUNAIKAN UMRAH).
Melaksanakan umrah (jika berkemampuan & berkesempatan) di bulan Ramaḍān sepertimana yang disyariatkan. Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Umrah di bulan Ramaḍān (pahalanya) seumpama haji – atau, sabdanya – haji bersamaku.” (H.R. Muttafaq ‘alayhi)
PROJEK #5: PASTIKAN MENDAPAT PAHALA IBADAT SERIBU BULAN
Di antara kelebihan bulan Ramaḍān ialah Lailatul Qadar yang diberkati Allāh dan dimuliakan-Nya berbanding malam-malam lain. Allah Ta‘ālā berfirman, “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Qur’ān) ini pada Malam Qadar (Lailatul Qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Qadar itu? Malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Sūrah alQadr, 1-3)
PROJEK #6: MEMBEBASKAN DIRI DARIPADA NERAKA
Bebaskan diri kita daripada neraka dengan melaksanakan puasa dan tarāwīḥ dengan iḥsān (cara terbaik), menjaga anggota badan daripada dosa dan kejahatan, serta berbuat baik dengan setiap makhluk. Sabda Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam bermaksud, “Sesungguhnya Allāh Ta‘ālā memiliki hamba-hamba-Nya yang dibebaskan (daripada neraka) pada setiap siang dan malam (Ramaḍān).” (H.R. al-Bazzār dan dinilai ṣaḥīḥ oleh al-Albānī)
PROJEK #7: MENGGANDAKAN MASA DENGAN AL-QUR’ĀN
Ramaḍān ialah bulan al-Qur’ān. Setiap amalan berkaitan dengan Al-Qur’an akan digandakan bekal kebaikan. Kerana, Nabi ṣallAllāhu‘alayhi wa sallam bersabda, “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitābullāh (al-Qur’ān), maka dengannya dia akan beroleh satu pahala kebaikan. Dan, satu pahala kebaikan itu (gandaannya) akan digandakan kepada sepuluh kali ganda semisalnya. Daku tidak katakan Alif Lam Mim sebagai satu huruf. Akan tetapi, Alif itu satu huruf. Lam itu satu huruf. Mim itu satu huruf.” (H.R. al-Tirmidhī)
PROJEK #8: MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
Kita perlu berusaha untuk mencari orang-orang memerlukan bantuan (untuk menerima sedekah) di samping saling mengingatkan dan menggalakkan orang lain untuk sama-sama bersedekah.“Nabi ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam merupakan seseorang yang amat dermawan. Baginda paling dermawan di bulan Ramaḍān, (bulan) di mana Jibrīl datang menemui baginda dan saling bertadarus al-Qur’ān dengan baginda. Rasūlullāh ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam amat dermawan demi kebaikan, (lebih laju dalam memberi bantuan) daripada angin yang bertiup kencang.” (H.R. Muttafaq ‘alayhi)
PROJEK #9: MENJAMU ORANG BERBUKA PUASA.
Meriahkan Ramaḍān dengan menjamu orang-orang miskin yang berpuasa, ataupun orang-orang yang sibuk serta berkehalangan.
“Sesiapa yang menjamu orang berbuka puasa, dia akan mendapatkan pahala semisalnya (yakni semisal orang yang berpuasa.)” (H.R. Aḥmad dan al-Tirmidhī dan dinilai ṣaḥīḥ oleh al-Albānī)
Layari www.sinarramadan.abim.org.my
Sumbangan anda amat bermakna. Klik: https://infaqabim.onpay.my/order/form/infaqramadan