6,536 Tudung Untuk Keamanan

March 22, 2018
editor-media

Kuala Lumpur: Sempena Hari Wanita Sedunia disambut 8 Mac setiap tahun, Global Peace Mission (GPM) Malaysia melalui projek khasnya, Malaysian Life Line For Syria (MLLFS) menghantar dua wakil bagi menyertai Konvoi Wanita Untuk Syria. Program membabitkan konvoi 150 bas bermula kelmarin adalah yang terbesar khusus untuk membantu rakyat Syria menjadi pelarian di Turki, ketika ini berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat tersepit dalam konflik perang.

Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, konvoi itu adalah usaha masyarakat dunia menyatakan solidariti terhadap mangsa kekejaman peperangan Syria khususnya wanita. “Konvoi dianjurkan secara bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa antaranya Union of NGOs of The Islamic World (UNIW), Yayasan Belia Turki (TUGVA), Humanitarian Relief Foundation (IHH) dan Memur-Sen selain turut mendapat sokongan padu kerajaan Turki.

“Delegasi Malaysia diwakili Timbalan Ketua Pegawai Operasi GPM, Noor Fadhilah Wan Ibrahim dan Exco GPM, Maria Kamel, mereka membawa dana awal Bantuan Kecemasan Timur Ghouta berjumlah RM30,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Ahmad Fahmi berkata, wakil Malaysia itu bertolak awal pagi kelmarin (waktu Malaysia) ke Turki dan terus memulakan konvoi bermula 6 Mac di Istanbul.

Beliau berkata, konvoi itu akan menyelusuri bandar utama di Turki antaranya Izmir, Sakarya, Ankara dan Adana dan berakhir di Hatay, di sempadan Turki dan Syria. Menurutnya, penyertaan delegasi Malaysia dalam konvoi kali ini adalah manifestasi komitmen GPM dalam mengangkat dan membela isu kemanusiaan merentasi sempadan.

Katanya, ribuan peserta delegasi menyertai konvoi antarabangsa itu seterusnya menyampaikan mesej keamanan kepada dunia mengenai keperluan untuk melepaskan semua tahanan dalam penjara dan mengakhiri kezaliman serta penindasan khususnya wanita di Syria. “Kumpulan konvoi ini turut membawa 6,536 helai tudung sebagai simbolik kepada jumlah tahanan wanita di dalam penjara oleh tentera rejim Bashar Al-Assad. “Penyertaan aktivis wanita membabitkan 55 negara itu terdiri daripada pelbagai latar belakang profesion, usia, etnik, kaum dan agama,” katanya.

Rakyat Malaysia yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun MALAYSIAN LIFE LINE FOR SYRIA BERHAD iaitu 5648-1051-3971 (Maybank), 11-115-100115-5 (Bank Rakyat), 14-210-01-000988-2 (Bank Islam) atau 1050-4003-0883 (Affin Islamic Bank).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 7:19 AM

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR