Perkukuhkan Syahsiah Islami Untuk Mengetengahkan Mesej Rahmatan Lil’Alamin

August 24, 2015
editor-media

23 Ogos 2015, Seremban, Negeri Sembilan:- Yang Di Pertua ABIM Negeri Sembilan, Dr Zulkifli Hasan menekankan kepentingan pembinaan syahsiyah Islamiyah untuk menjayakan mesej Rahmatan Lil’Alamin. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena penganjuran Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PPINS di Seremban Negeri Sembilan.

“Pembinaan Syahsiyah Islamiyah merangkumi setiap aspek jasmani, emosi, rohani dan intelektual. Peribadi mulia akan terhasil menerusi pembinaan syahsiyah Islamiyah yang menekankan 10 ciri Muslim berjaya iaitu Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah), Ibadah yang sahih (Sahihul Ibadah), Akhlak yang sempurna (Matinul Khuluq), Tersusun urusannya (Munazzamun Fi Syuunihi), Sihat tubuh badanya (Qawiyul Jism), Berdisiplin dengan masa (Harithun ala waqtihi), Pandai berdikari (Qadiran ala Kasbi), Bersungguh sungguh melawan hawa nafsu (Mujahadah ala nafsi), Bermanfaat untuk orang lain (Nafiun li ghairihi) dan Berilmu pengetahuan (Muthaqqafal Fikri),” jelas beliau yang juga merupakan Ketua Biro Shariah & Ekonomi Islam, ABIM.

Menerusi ucapan dasar tersebut, beliau mengetengahkan “Projek Islah” untuk menangani cabaran dan realiti yang ada pada hari ini. Tambah Dr Zulkifli, “Islah yang ‘genuine’ berasaskan kepada pembinaan syahsiyah Islamiyyah dan pembentukan daya intelektual merupakan sesuatu yang dituntut dan perlu dilaksanakan. Projek Islah yang dimaksudkan juga perlu dilaksanakan dalam kerangka mesej Rahmatan lil’alamin iaitu Islam itu sebagai rahmat kepada sekalian alam.”

“Mesej Islam yang dibawa perlu ditayangkan dan diterjemahkan kepada umum agar ia tidak boleh lagi bersifat eksklusif dan elitis. Islam itu perlu diperlihatkan kesyumulan dan kesejagatannya. Prinsip-prinsip syariat yang terkandung dalam ajaran Islam kesemuanya menjamin dan membawa rahmat ke sekalian alam sama ada Muslim mahupun bukan Muslim termasuk alam sekitar dan kesemua yang ada di muka bumi ini,” beliau mengakhiri ucapan dasar terbabit dengan mengaitkannya dengan perkembangan semasa geo-politik, ekonomi serta sosial yang melingkari umat Islam pada ketika ini dan kaitannya dengan usaha mengangkat mesej Rahmatan Lil’Alamin. Muktamar ABIM Negeri Sembilan telah dirasmikan oleh Presiden ABIM, Amidi Abd Manan.  

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo