
7-11 Disember 2025 – Alhamdulillah, ABIM telah turut serta dalam Forum Belia Asia Tenggara dan RISEAP CHIANGMAI 2025 anjuran Persatuan Muda Muslim Thailand (YMAT), Persatuan Pelajar Muslim Thailand (TMSA) bersama Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan RISEAP (Asia Pasifik Tenggara).
Presiden ABIM, Sdr. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin selaku Exco RISEAP hadir memberi ucapan alu-aluan pada majlis perasmian forum mewakili Setiausaha Agung RISEAP, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar.

Di bawah konsep “Kewujudan bersama yang aman dan membina dalam masyarakat pelbagai budaya”, forum belia ini bertujuan untuk menggalakkan pemahaman tentang jalan tengah (wasatiyyah) prinsip Islam, dan memperkasakan belia untuk berilmu dan terkini dengan perubahan dalam masyarakat serta pembangunan kemahiran di era digital untuk hidup bersama secara aman di bawah kepelbagaian budaya, agama dan etnik.

Ia juga berfungsi sebagai platform penting untuk bertukar pengalaman dalam kalangan anak muda dari lebih 15 negara di rantau Asia Tenggara dan Pasifik, bagi membina rangkaian kerjasama yang kukuh dalam kalangan belia, organisasi dan institusi di rantau ini dalam usaha memupuk persefahaman bersama dan memacu pendekatan kolaboratif ke hadapan.
Forum belia selama 5 hari ini turut diisi dengan pengisian dan perbincangan bersama para ilmuwan seperti Prof. Dr. Jasser Auda (Presiden Institut Maqasid), Dato’ Sheikh Hussain Yee (Pengasas dan Presiden Al-Khaadem Foundation), Prof. Dr. Khairuddin Aljunied (National University of Singapore, NUS), Asst. Prof. Dr. Muhammad Ilyas Yhaprang (Ramkhamhaeng University) serta Imam Sarawoot Sriwannayos (Timbalan Presiden RISEAP.
