
Pada 8 Mei 2026 telah berlangsungnya Majlis Penutup Program Smart Study Circle anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Tampin dan pihak SMART bertempat di SMA Repah Tampin N9 (SMART), Tampin.
Sepanjang sesi penutup tersebut, para pelajar telah didedahkan dengan perkongsian berkaitan Teras Nilai MADANI yang ketiga iaitu Daya Cipta yang telah disampaikan oleh Mohd Nurishaq Mohd Fauzi. Perkongsian tersebut memberi pelbagai input, Inspirasi serta pengetahuan baharu kepada para pelajar SMART khususnya dalam membentuk pemikiran kreatif, inovatif dan berdaya saing dalam kehidupan seharian.

Selain itu, wakil daripada Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan – PPINS iaitu Saudara Luqman Alhakim turut hadir memberikan pengenalan ringkas mengenai PPINS serta peranan persatuan tersebut dalam membangunkan sahsiah dan kepimpinan pelajar Islam di Negeri Sembilan.
Dalam masa yang sama, ABIM Tampin turut menyatakan bahawa walaupun program semalam merupakan penutup bagi siri Smart Study Circle, namun hubungan dan jaringan bersama adik-adik SMART akan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa melalui pelbagai program serta pengisian yang bermanfaat pada masa akan datang.

Pihak ABIM Tampin juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak SMART kerana sudi memberikan peluang serta membuka ruang kerjasama dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan juga ucapan terima kasih khusus kepada Cikgu Lidya dan Cikgu Amira atas kesudian mengatur serta menguruskan pertemuan dan perjalanan program bersama pihak ABIM Tampin dan para pelajar SMART.
Semoga jalinan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan demi melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berakhlak dan cakna terhadap pembangunan ummah.
