ABIM Johor Anjur Kem Dermaga Di JO Hotel, Johor Bahru

March 12, 2022
editor@abim

ABIM JOHOR ANJUR KEM DERMAGA DI JO HOTEL, JB

Alhamdulillah, ABIM Negeri Johor buat julung-julung kalinya mengadakan Kem DERMAGA selama 3 hari 2 malam yang disertai oleh 100 orang pelajar daripada beberapa buah sekolah menengah dalam daerah Johor Bahru. Kem ini bertujuan menyampaikan maklumat berkenaan pendidikan reproduktif yang betul dan tepat kepada masyarakat secara amnya dan remaja secara khususnya.Kem Diriku Permata Berharga (DERMAGA) 2022 telah berlangsung selama 3 hari 2 malam di JO Hotel Johor Bahru pada 13-15 Januari 2022 (Khamis-Sabtu).

Kem ini adalah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Negeri Johor.

Terdapat 4 modul teras yang disampaikan oleh para jurulatih DERMAGA. Antaranya Modul Diriku Permata Berharga yang disampaikan oleh Saudara Amirul Na’im Ahmad Azam, Modul Remaja & Seksualiti oleh Dr Mohd Ishaq Mohd Fauzi, Modul Melakar Harapan oleh Puan Zainab Mat Lazim dan Modul La Taqrab Zina oleh Saudara Muhamad Haziq Hasbollah.

Seramai 12 orang fasilitator juga turut membantu dalam memudah cara dalam memberi kefahaman kepada para pesrta untuk mencapai matlamat program.

Kem ini telah dirasmikan oleh Puan Haniza Che Hasan, Penolong Pegawai Penerangan, Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara Negeri Johor. Beliau menegaskan bahawa pentingnya kefahaman berkenaan kesihatan reproduktif ini diterangkan secara terperinci kepada remaja-remaja pada masa kini.

Ramai orang yang tersalah anggap mengenai kesihatan reproduktif, sedangkan ia sangat penting contohnya penggunaan istilah “sex” yang sebenar, penyakit kelamin dan sebagainya. Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada penceramah, fasilitator dan urusetia DERMAGA kerana telah berjaya menjalankan program yang sangat baik ini.
Wakil peserta, Saudara Muhammad Shakir Zufayri Saiful Nizam telah memberikan ucapan mewakili semua peserta yang hadir dengan berkongsi pengalaman sepanjang kem berlangsung.

Ucapan terima kasih beliau atas penganjuran program ini kerana telah memberi impak positif serta kefahaman mengenai cabaran remaja, pengetahuan kesihatan reproduktif, kaedah dan kemahiran perlindungan diri dan banyak lagi. Diharap kem ini dapat memberi kebaikan buat semua peserta dan menjadikan mereka ejen penyampai maklumat yang tepat mengenai kesihatan reproduktif kepada rakan-rakan di sekolah.


Kenali & sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio/ dan https://www.abim.org.my/daftar-keahlian-online/

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR