ABIM kecam komen perkauman ke atas S. Kisona, pemain badminton Malaysia

October 5, 2021
editor@abim

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengucapkan syabas buat skuad negara yang berjaya menamatkan saingan #SudirmanCup di tempat ke-3 bersama Korea Selatan. Kali terakhir Malaysia mendapat tempat ke-3 Piala Sudirman adalah pada 12 tahun yang lalu. China dinobatkan sebagai juara Piala Sudirman 2021 selepas menewaskan Jepun, 3-1.

Melepasi sasaran suku akhir yang ditetapkan pada mulanya, skuad muda negara telah membuktikan masa depan sukan badminton kita cerah dengan prestasi yang ditampilkan. Kekalkan prestasi dan sentiasa cuba perbaiki diri. Kami percaya kalian akan kembali lebih hebat. Kalian kebanggaan seluruh rakyat Malaysia!

Bintang yang semakin menyerlah

Lebih manis, bintang perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia hanya mengambil masa 3 tahun untuk menewaskan 10 pemain ranking tertinggi di dunia iaitu Kento Momota; Viktor Axelsen; Anders Antonsen; Chou Tien Chen; Anthony Ginting; Chen Long; Jonathan Christie; Angus Ng; dan Shi Yu Qi.

ABIM kecam komen perkauman ke atas S. Kisona, pemain badminton Malaysia

Sementara itu, ABIM mengecam sebarang bentuk provokasi serta kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang diketengahkan khususnya terhadap pemain badminton perseorangan negara, Kisona Selvaduray (S. Kisona). ABIM mengutuk sekeras-kerasnya komen berbaur perkauman yang dilemparkan terhadap dan akan sentiasa menyokong barisan atlet negara yang beraksi dengan sepenuh jiwa.

Terdahulu, tular di media sosial seorang pemilik akaun yang memuat naik status bergambar dengan kata-kata berunsur perkauman terhadap Kisona. Ia susulan kekalahannya di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi 7-21, 5-21 dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman di Vantaa, Finland. Sebagai rekod, Yamaguchi merupakan pemain di ranking ke-5 dunia, manakala Kisona berada di ranking ke-53.

Sesungguhnya, kenyataan dan luahan yang berbaur perkauman tidak melambangkan aspirasi rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Meskipun permohonan maaf telah dibuat oleh pelaku, penting untuk diingatkan bahawa keharmonian dan kestabilan hanya akan tercapai sekiranya aspirasi serta suara setiap segmen masyarakat yang ada dalam sesebuah negara diraikan. Sebarang usaha untuk mengaitkan kekalahan skuad kebangsaan dengan sentimen perkauman serta keagamaan yang sempit adalah bersifat “Intellectual Insult” serta hanya akan menjejaskan kestabilan serta keharmonian kaum di negara ini.

Atlet yang gigih, punya pencapaian hebat

Lahir pada 1998 di Negeri Sembilan, anak muda yang fasih berbahasa Mandarin ini juga baru saja menyambut hari lahirnya pada 1hb Oktober lalu. Selain tidak dapat meraikan pelbagai perayaan mahupun meluangkan banyak masa bersama keluarga tercinta kerana bertanding di luar negara, Kisona dan atlet lain negara juga perlu menjalani kuarantin serta sesi latihan yang sukar dan panjang.

Kisona mula memenangi gelaran dalam kejohanan peringkat sekolah dan muncul sebagai juara paling muda pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2009 dengan merangkul acara perseorangan dan beregu ketika berusia 10 tahun.

Kejayaan yang dicapai Kisona bukanlah sedikit untuk negara. Beliau adalah Pemenang Pingat Gangsa Acara Berpasukan Campuran pada Kejohanan Badminton Junior Asia 2012; Pingat Gangsa Perseorangan Wanita di Sukan Belia Asia 2013.

Beliau juga Juara Siri Antarabangsa Indonesia 2017; Juara Siri Antarabangsa Malaysia 2017 dan 2018; Juara Terbuka Hellas, Greece 2019; Juara Siri Antarabangsa Sydney, Australia 2019; Pingat Emas Perseorangan Wanita Sukan SEA Filipina 2019; Pingat Gangsa Acara Berpasukan Wanita Sukan SEA Filipina 2019; dan Pingat Gangsa Kejohanan Badminton Asia Manila 2020 dalam Acara Berpasukan Wanita.   

Islam untuk semua

Islam menolak sebarang bentuk diskriminasi rasis yang emosi serta sempit. Al-Quran menjelaskan bahawa Allah Subhanahu wa-Ta’ala menciptakan manusia berbagai kaum, bangsa dan kabilah untuk mereka mengenali antara satu sama lain. Mempelajari antara satu sama lain. Kemudian mereka hendaklah tahu bahawa kemuliaan itu bukan berdasarkan keturunan tetapi berasaskan taqwa iaitu kepatuhan kepada ajaran Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya.” (Surah al-Hujurat: 13).

Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam menegaskan hal yang sama: “Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan.” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan).

Dalam sejarah Islam, Bilal bin Rabah yang merupakan orang kulit hitam telah menjadi muazzin tetap Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam yang sentiasa dikenang setiap kali azan, sehingga hari ini. Bahkan, ia menjadi muazin tetap saat Rasul masih hidup.

Bilal asalnya seorang hamba yang berasal dari Habsyah (sekarang Ethiopia). Beliau biasa dipanggil Abu Abdillah dan digelari Muadzdzin Ar-Rasul. Bilal lahir di daerah as-Sarah sekitar 43 tahun sebelum Hijrah. Namun, kemuliaan Bilal bukan hanya kerana azannya. Jejak langkah Bilal pernah didengar Rasulullah ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam di dalam syurga, atas amalan serta ibadahnya yang konsisten. Sebuah penghargaan yang sangat tinggi bagi setiap orang yang beriman.

Demikian juga salah-seorang sahabat Nabi Muhammad ṣallAllāhu ‘alayhi wa sallam yang tersohor dalam sejarah Islam, Salman al-Farisi berasal dari Parsi (bukan bangsa Arab) yang asalnya seorang penganut Majusi dan Nasrani, tetapi diangkat tinggi kedudukannya. Salman al-Farisi dilahirkan dengan nama Parsinya, Mahbeh (Mayeh) atau Ruzbeh, berasal dari sebuah perkampungan Parsi dikenali Jaiy @ Jian atau Isfahan lama.

Sesungguhnya, Islam hadir untuk memberi keamanan serta kedamaian. Dengan demikian, diskriminasi berasaskan kaum sudah pasti ditolak dalam agama. Jagalah perpaduan, semai keharmonian!

#StandWithKisona #NoRacismInSport #SudirmanCup2021 #DemiNegara #SebarkanSalam #ABIMdiHatiku #BangsaMalaysia #BangkitBersama

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR