ABIM Kecam Tragedi Tembakan Christchurch: Gesa Rakyat Malaysia Pamer Solidariti

March 16, 2019
editor-media

Mohamad Raimi Ab Rahim, 16 September 2019

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk sekeras-sekerasnya kejadian tembakan ke atas umat Islam yang ingin mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor serta Masjid Linwood di bandar raya Christchurch, New Zealand, semalami. Setakat ini tragedi ini dilaporkan telah mengorbankan 49 nyawa di samping mengakibatkan kecederaan kepada 20 orang jemaah.

Kenyataan rasmi Wisma Putra juga menyatakan tragedi ini turut mengakibatkan kecederaan kepada dua orang rakyat Malaysia yang turut berada di tempat kejadian. ABIM menggesa hal ehwal keselamatan membabitkan rakyat Malaysia diberikan keutamaan sepenuhnya oleh pihak berkuasa New Zealand. Umum mengetahui New Zealand adalah negara yang menyaksikan rakyat berbilang kaum dapat menjalani kehidupan bersama secara harmoni sebelum ini.

KESELAMATAN KEUTAMAAN NEW ZEALAND – KOMITMEN DISUARAKAN KEPADA FGIS HARI INI [20 MAC 2019]

Adalah amat penting kejadian seperti ini ditangani dengan tegas agar tidak menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama di negara tersebut. Memandangkan insiden ini turut membabitkan rakyat Malaysia, ABIM mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan maklumat rasmi terkini dari semasa ke semasa untuk mengelakkan sebarang kekeliruan akibat daripada penularan pelbagai video serta maklumat yang tidak sahih.

Atas dasar ini ABIM memohon agar seluruh rakyat Malaysia serta umat Islam dapat bertenang serta sama-sama mendoakan keselamatan dan kesihatan mangsa-mangsa yang terlibat. Untuk itu ABIM menggesa rakyat Malaysia tidak menyebarkan sebarang video, gambar mahupun berita yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan. ABIM juga menggesa rakyat Malaysia tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan khabar angin yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Pada ketika rakyat Malaysia seharusnya mempamerkan solidariti mereka merentasi pelbagai agama dan bangsa untuk menolak sebarang keganasan yang cuba dijustifikasikan atas alasan nama agama dan bangsa. * Sumber Akhbar Sinar Harian

Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR