Barangkali pengalaman kita berbeza di lapangan dalam isu-isu kemanusiaan. Dalam ABIM juga begitu, ada pasukan yang fokus kepada pelarian uighur, syria, Palestin, Kemboja, Bangladesh, Bosnia, Selatan Thai dan Rohingya.
Malah kemahiran menguruskan pelarian ini juga berbeza mengikut keperluan mereka. Ada yang memerlukan bantuan perubatan, undang-undang, pendidikan, keselamatan, kewarganegaraan dan pelbagai bantuan lain. Apa yang lebih mencabar adalah cabaran untuk membantu.
Aneh bukan? Mahu membantu orang pun kita akan melalui jalan yang sukar. Bersilat dengan faktor diplomatik dan ekonomi serta tekanan kuasa-kuasa besar juga birokrasi yang terhijab jauh isu kemanusiaan kerana kepentingan perdagangan dan import eksport.
Tetapi itulah obligasi moral. itulah obligasi agama.Juga obligasi karamah insaniyyah yang kita junjung selama ini. Biasanya pertolongan kita sangat kecil, sangat kecil sehingga tiada siapa akan mengiktiraf kita dan langsung tidak nampak kita berbuat apa. Sedang untuk Rohingya ini, kita telah punya lebih daripada sebuah sekolah di seluruh negara.
Dengan harapan, kita mempersiapkan masa depan warga Rohingya dengan pendidikan untuk bangkit semula sebagai sebuah bangsa yang bermaruah. Kita juga telah berpatisipasi dalam semua delegasi antarabangsa mempertahankan hak dan kerakyatan warga Rohingya.
Juga bantuan perubatan dan misi kemanusiaan yang tidak pernah putus. Maka jangan kita pandang rendah dengan kuasa obligasi moral, agama dan kemanusiaan. Ia merentas benua, lautan dan sempadan. Teringat kisah seorang rakan dari Switzerland yang sempat merakamkan pengalamannya “undercover” di Myanmar.
Beliau menyaksikan sendiri bagaimana pelarian Rohingya ini dihanyutkan ke laut selepas diberikan makanan dan ketika mereka merayu agar tidak dihanyutkan ke laut, tentera yang menghanyutkan mereka dengan linangan air mata berpesan, “Kamu mohonlah kepada tuhan kamu agar kamu selamat di lautan itu”.
Nukilan Ini Disediakan Oleh Puan Fadhlina Siddiq, Naib Presiden HELWA ABIM.