
KENYATAAN MEDIA
ABIM SAMBUT BAIK PENGUMUMAN YAB PERDANA MENTERI; TANDA PENGHARGAAN DAN KOMITMEN BERTERUSAN UNTUK REFORMASI DEMI KESEJAHTERAAN RAKYAT
23 Julai 2025 / 26 Muharram 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik dan merakamkan penghargaan atas pengumuman yang disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, pada hari ini yang memperlihatkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menangani isu-isu utama rakyat serta meneruskan keberhasilan agenda pemulihan dan reformasi negara.
Inisiatif seperti pemberian tunai one-off RM100 kepada semua rakyat dewasa, penurunan harga petrol RON95 ke RM1.99 seliter, serta penggandaan peruntukan Jualan Rahmah MADANI antara lain merupakan inisiatif bersifat segera yang mampu meredakan bebanan kos sara hidup yang sedang menekan majoriti rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
ABIM melihat pengumuman ini sebagai satu langkah yang penting dan tepat pada waktunya, bukan sekadar sebagai reaksi balas kepada tekanan semasa, tetapi manifestasi iltizam kerajaan Madani untuk tidak tunduk kepada desakan segelintir pihak yang cuba menggugat kestabilan melalui tuntutan politik picisan.
Dalam konteks ini, ABIM menaruh keyakinan bahawa pengumuman ini akan diberi nilai tambah yang lebih menyeluruh dan bersifat jangka masa panjang yang lebih konkrit dan menyeluruh melalui dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang dijangka dibentangkan di Parlimen Malaysia tidak lama lagi.
ABIM turut menekankan pentingnya pemantauan menyeluruh dan ketelusan dalam pelaksanaan semua inisiatif yang diumumkan. Sehubungan itu, ABIM komited untuk terus menjadi rakan strategik dalam mendukung agenda reformasi, khususnya yang menjunjung prinsip keadilan sosial dan tatakelola yang baik.
ABIM menegaskan bahawa manfaat sebenar hanya akan dapat dirasai oleh rakyat sekiranya setiap dasar dan inisiatif yang dilaksanakan disandarkan kepada integriti, kecekapan tadbir urus, serta keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
ABIM percaya bahawa keberhasilan iltizam Malaysia MADANI hanya akan terjamin dengan gabungan iltizam politik yang teguh, sokongan masyarakat sivil yang aktif dan progresif, serta dokongan berterusan daripada seluruh rakyat Malaysia.
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia
