Aidil Adha Mubarak Perkukuh Keikhlasan Insan - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Aidil Adha Mubarak Perkukuh Keikhlasan Insan

Insya-Allah esok kita akan menyambut Aidiladha Al-Mubarak. Apa yang signifikan dalam sambutan hari kebesaran ini, acara korban dilakukan semata-mata untuk mendapat pahala daripada Allah taala. Umat Islam seluruh dunia akan melakukan aktiviti korban sebagai manifestasi pembuktian ikhlas kita dengan Allah melalui penyembelihan.

Seluruh dunia bakal menyaksikan tumbangnya ribuan haiwan yang bakal dikorban kerana Allah. Kita mulakan korban dengan kalimah Allahu akbar dan kasih sayang kerana Allah. Semua kita mengetahui bahawa dalam majlis korban, bukanlah daging dan darah yang diinginkan Allah, tetapi keikhlasan dan ketaatan yang tidak berbelah bagi hubungan hamba dan Pencipta. Bagaimana ikhlas mampu menjadi asas pembinaan takwa?

Pertama, korban ditandai dengan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Jika diteliti dengan mata kasar, bukan mudah seorang bapa untuk melaksanakan tugas besar yang sememangnya mencabar iman dan jiwa. Namun atas keimanan dan keikhlasan kepada Allah, baginda reda dengan ketentuan itu.

Begitulah kita hari ini bagaimana hendak membina keikhlasan kita dengan Allah melalui semangat korban. Kita mulai dengan diri bahawa dahului amalan hidup dengan sedekah untuk mencipta ikhlas. Berapa banyak sudah kita berkorban kerana Allah? Apakah kita benar-benar yakin bahawa korban yang dilakukan akan mendatangkan hasil satu hari nanti? Apakah masih wujud prasangka atau was was dalam hati jika kita melakukan sesuatu kita akan mendapat hasilnya suatu masa nanti?

Begitulah islam mendidik jiwa kita umatnya agar sentiasa ikhlas sama ada dalam hidup mahu pun perjuangan. Jangan sampai kita lupa bahawa kehidupan kita seharian ini tidak dapat lari dari ujian dan ketetapan Allah. Jadikanlah semangat Aidiladha untuk melahirkan jiwa insan yang mukhalisin sebagai motivasi meneruskan hidup penuh makna. Korban juga menjadi motivasi insani untuk meningkatkan takwa keran Pencipta.