Allah, Suriah, Hurriah Bas!

February 12, 2018
editor-media

Oleh : Syahrir Azfar al-Halabi*

Terngiang-ngiang laungan “Allah, Suriah, Hurriah Bas!” saat jari mula menitip di papan kekunci komputer riba. Laungan yang lebih kurang maksudnya, “Cukuplah (bagi kami) Allah, Syria dan Kebebasan” menggambarkan mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh setiap pendemonstran pada demonstrasi aman yang bergerak secara besar-besaran di Dar’a, Syria pada 15 Mac 2011.

Demonstrasi secara aman tersebut berlaku setelah beberapa peristiwa yang membangkitkan kemarahan rakyat Syria terutama sekali kisah Hamza Ali al-Khatib yang ditangkap didera sehingga mati dan mayatnya diserahkan kepada keluarga beliau dalam keadaan tubuhnya penuh dengan kecederaan kesan torehan dan terbakar.

Malah terdapat kesan tembakan di kaki Hamza, kecederaan yang sengaja dilakukan di beberapa bahagian tubuh lain yang bertujuan bukan untuk membunuh dan kemaluannya juga turut dipotong! Tembok ketakutan yang runtuh Peristiwa Hamza Ali al-Khatib yang ditangkap dan didera sehingga mati ini berjaya meruntuhkan tembok ketakutan dan tunduk ‘patuh’ kepada kediktatoran dan kekejaman rejim pemerintahan keluarga al-Assad dan konco-konconya selama ini.

Harus diingat sebelum peristiwa tersebut terdapat beberapa usaha untuk ‘membangkitkan’ rakyat Syria yang gagal diantaranya seperti yang dilakukan Hasan Ali Akla, pemuda Syria berumur 26 tahun yang membakar dirinya sendiri mencontohi apa yang telah dilakukan oleh Muhammad Bouazizi di Tunisia. Kejadian yang berlaku pada 26 Januari 2011 itu gagal menyediakan rakyat Syria bagi menyambut sebuah lagi revolusi selepas kejayaan revolusi di Tunisia, Mesir dan juga Libya yang masing-masing menyaksikan Presiden Zine Al Bidin Ben Ali, Presiden Hosni Mubarak dan Kolonel Muammar al-Qaddafi ditumbangkan.

Syahid atau menang!

Demonstrasi yang pada mulanya aman dan hanya melaungkan tuntutuan untuk kerajaan Syria melakukan perubahan, hak-hak asasi seseorang warganegara dan juga kebebasan telah bertukar menjadi medan berdarah dan slogan para pendemonstran mula berubah kepada slogan-slogan untuk menjatuhkan pemerintahan zalim Bashar al-Assad.

Penggunaan senjata dan peluru hidup bagi meleraikan perhimpunan menyebabkan ramai yang terbunuh. Sehingga artikel ini ditulis, laporan daripada Syrian Observatary of Human Right menyatakan sejumlah 200,000 rakyat Syria telah ditangkap dan berhadapan dengan pelbagai penderaan dan 13,000 daripadanya dilaporkan didera sehingga mati termasuk 108 orang kanak-kanak seawal umur 12 tahun.

Tidak cukup dengan itu, seluruh keluarga tahanan hanya dimaklumkan sebab kematian adalah kerana serangan jantung atau masalah pernafasan. Penderaan yang dilakukan oleh tentera al-Assad ini terbongkar apabila lebih 55,000 keping gambar tahanan penjara yang didera sehingga menyebabkan kematian berjaya diseludup keluar oleh Caesar, seorang jurukamera polis yang telah berpaling tadah pada pertengahan tahun 2014 yang lepas.

Sebahagian gambar-gambar tersebut pertama kali ditayangkan di Muzium Peringatan Holocaust di Amerika Syarikat pada 15 Oktober 2014. Mereka yang menyaksikan gambar-gambar tersebut menyifatkan kesan kecederaan yang dapat jelas dilihat pada seluruh tubuh mayat menggambarkan penderaan di dalam penjara yang sangat brutal seperti menyiksa menggunakan elektrik, batang besi panas, dicungkil biji mata, jari tangan malah kemaluan mereka dipotong.

Pengalaman penulis sendiri berada di bumi Syria dalam misi-misi bantuan kemanusiaan anjuran badan kemanusiaan yang dikelolakan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) iaitu Malaysia Life Line for Syria semenjak awal 2013 membenarkan apa yang dilaporkan. Kami sempat bertemu beberapa bekas tahanan penjara di Syria yang telah dilepaskan dan mereka sendiri menjadi mangsa dan juga saksi kepada setiap penderaan brutal tersebut.

Tidak mustahillah sekiranya ramai aktivis kemanusiaan dan sukarelawan yang ramainya terdiri daripada anak-anak muda Syria yang masih menuntut di universiti enggan gambar mereka dirakam oleh lensa kamera tim bantuan kemanusiaan MLLFS kerana risau ahli keluarga mereka yang duduk di kawasan yang masih dikuasai oleh tentera rejim Bashar Assad ditangkap dan diapa-apakan. Biarpun begitu dahsyatnya ancaman yang diterima oleh rakyat Syria, mereka tiada pilihan lain selain untuk menghabiskan perjuangan yang mereka telah mulakan. Bagi mereka, gendang yang sudah dipalu akan terus dipalu sehingga akhirnya mereka mendapat apa yang mereka mahukan dari sebuah perjalanan revolusi yang panjang ini.

Rakyat Syria tidak lagi mahu menoleh ke belakang.

Lebih 40 tahun mereka menantikan saat ini dan motivasi mereka adalah Syahid atau menang! Tragedi kemanusiaan tiada terbela Perjuangan rakyat Syria nampaknya tidak kunjung sinar. Minggu berganti bulan, bulan berganti tahun. Memasuki tahun keempat revolusi, nasib rakyat Syria masih belum terbela. Transisi kuasa pemerintahan yang mereka idamkan selama ini masih lagi menjadi persoalan. Kudrat ‘rakyat biasa’ yang terpaka mengangkat senjata mempertahankan diri dan keluarga tidak mampu untuk melawan teknologi yang diperolehi oleh sang penguasa.

Luasnya kawasan konflik tiada terjangkau. Apatah lagi mereka yang menjadi mangsa. Tahun keempat menyaksikan jumlah korban daripada konflik ini menjangkau 220,000 kematian dengan kira-kira 15,000 daripadanya adalah kanak-kanak. Laporan yang dikeluarkan oleh Syrian Centre for Policy Research (SCPR) menyatakan populasi Syria kini berkurang daripada 20.87 juta orang pada 2010 kepada 17.65 juta pada akhir tahun 2014. Hampir separuh daripada populasi tersebut telah meninggalkan rumah mereka dan sejumlah 6.8 juta dan 3.33 juta masing-masing kini menjadi pelarian di dalam Negara (Internally Displaced Person) dan pelarian di Negara berjiran.

Pengalaman penulis dan sahabat-sahabat aktivis kemanusiaan yang lain menghantar bantuan ke Syria menggambarkan betapa besar dan dahsyatnya ke
perluan bantuan yang perlu diusahakan oleh masyarakat dan gerakan sivil di seluruh dunia. PBB menganggarkan jumlah bantuan yang diperlukan oleh rakyat Syria adalah sebanyak USD8.4 billion untuk tahun 2015 ini dengan jumlah mereka yang perlu dibantu adalah seramai 10.8 juta orang.

Melihat nombor-nombor dan fakta yang dinyatakan sudah cukup membuatkan hati penulis hiba, apatah lagi penulis sudah melihat sendiri keadaan kehidupan rakyat Syria. Bagaimana agaknya andai penulis dan anda yang membaca meletakkan kehidupan kita kini di tempat mereka? Kuasa besar dunia menyepi seribu bicara, masyarakat dunia tidak pula mengendah. Tinggallah Syria mengadu nasib yang tiada terbela entah pada siapa.

Generasi Yang Hilang

Siapa pun tidak boleh menafikan kepentingan pendidikan kepada generasi pelapis. Pengabaian kepada peri pentingnya pendidikan bakal membawa kepada masalah yang lebih besar dalam pembinaan Negara yang mempraktis tadbir urus yang baik pada masa hadapan. USAID melaporkan hampir 3 juta anak-anak Syria tidak bersekolah semenjak berlakunya revolusi.

Hal ini diburukkan lagi dengan beberapa siri serangan yang mensasarkan sekolah. Tim bantuan kemanusiaan MLLFS dan juga Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga pernah menyaksikan bagaimana dua buah roket telah disasarkan ke Sekolah Ain Jalut di Bandar Aleppo 15 minit sebelum delegasi bantuan tiba di sekolah tersebut.

Peristiwa yang berlaku pada 30 April 2014 telah memakan korban hampir 20 pelajar dan 5 orang guru ini meninggalkan kesan yang sangat mendalam kepada semua delagasi bantuan. Namun begitu, sukar untuk dipercayai serangan yang disasarkan di sekolah ini bukanlah pertama kali bahkan kami dimaklumkan ianya serangan kali ketiga yang disasarkan ke sekolah di sekitar Syria dan seluruh dunia tidak tersentak malah seakan redha dengan serangan yang tidak mengenal siapa oleh sang rejim.

Di dalam laporan lain yang dikeluarkan oleh UNICEF menyatakan setiap 1 daripada 5 buah sekolah di Syria musnah sepenuhnya atau dijadikan pusat pemindahan pelarian dalaman Syria (IDP). Syria dalam jangka masa panjang akan berhadapan dengan satu krisis ‘generasi yang hilang’ kerana anak-anak Syria kini tidak disediakan dengan sistem pendidikan yang baik malah tidak melalui pun sebarang proses pendidikan.

Adab akan hilang, sebarang tindakan tidak dipandu dengan pemikiran yang berlandaskan ilmu, jenayah akan berleluasa dan pelbagai lagi gejala-gejala generasi yang hilang. Pengalaman penulis dan aktivis kemanusiaan lain di bumi Syria melihat kehidupan sehari-harian anak-anak ini diisi dengan laungan-laungan jihad malah mungkin terlibat secara langsung dengan kumpulan-kumpulan jihad, atau bermain bersama rakan-rakan mereka.

Ada diantara mereka yang terpaksa untuk bekerja dengan gaji yang sangat minimum bagi menampung keperluan keluarga, sesekali terkadang mendengar bunyi letupan dan ledakan bom yang sudah menjadi kebiasaan dan mereka seakan telah redha untuk menghadapi sebuah kematian.

Mereka dipaksa untuk menjadi dewasa sebelum masanya. Mereka hilang sebuah keseronokan menjadi seorang kanak-kanak sepertimana kanak-kanak lain seusia mereka di Negara-negara aman yang lain.

Hurriyah (Kebebasan)

Kebebasan dari cengkaman rejim yang zalim, kebebasan dalam mengekspresikan pendapat, tadbir urus Negara yang lebih baik dan telus, pemilihan kepimpinan Negara melalui amalan demokrasi terpimpin, kehidupan dan ekonomi yang lebih baik dan merata kepada semua, dan pelbagai lagi angan-angan untuk sebuah kehidupan di Negara mereka yang masih belum menjadi kenyataan.

Empat tahun penantian dan perjuangan yang penuh dengan darah dan air mata bukanlah sesuatu yang mudah dan ianya belum pasti di mana dan bagaimana pengakhirannya.

Isteri-isteri menjadi janda, anak-anak menjadi yatim, sang ibu meratap tubuh anak mereka yang berkecai ditujah bom, sang ayah meraung tanpa arah melihatkan anak-anak mereka terkapai-kapai mencari nafas dek serangan bom kimia, mangsa serangan terpaksa menahan kesakitan berpanjangan dek kekurangan alatan dan juga ubat-ubatan di hospital, air dan elektrik dinafikan dan pelbagai lagi kesengsaraan yang tidak tergambarkan.

Nah! Kita pun belum pasti dapat terus bertahan dan istiqamah seperti mereka namun yang pasti kita perlu nyatakan komitmen untuk terus membantu meringankan barang sekelumit beban mereka dengan tembakan doa dan juga infaq (sedekah) yang tidak putus.

Kebebasan yang kita miliki di bumi Malaysia ini seharusnya diterjemahkan dengan rasa kesyukuran dan amatlah tidak wajar bagi mereka yang bebas hanya menyaksikan dengan sebelah mata apa yang terjadi di kalangan masyarakat yang lainnya. Hadis riwayat Nukman bin Basyir ra., ia berkata: Rasulullah saw. bersabda:

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

Iktibar sebuah perjuangan

Penulis menyeru untuk kita lakukan apa sahaja yang terdaya dalam kapasiti individu dan juga perkumpulan masing-masing untuk mengusahakan apa jua bentuk bantuan yang sewajarnya diberikan kepada rakyat Syria. Waima hanya sekecil perkongsian di alam maya dan usaha menyampaikan berita sebenar apa yang sedang berlaku di bumi bergolak Syria.

Ketika dan waktu ini bercerai berai dan bertelingkah pada isu-isu kecil yang tidak menguntungkan Islam dan ummat bukanlah satu pilihan. Kekuatan ummat Islam dan seluruh masyarakat terletak pada kesatuan yang terbina. Kisah penderitaan Syria sewajarnya diambil iktibar di mana letaknya diri kita yang mengaku sebagai manusia dan
punyai jiwa belas dan ihsan.

Di peringkat penulis, ABIM dan juga MLLFS, kami terus menyatakan komitmen kami dalam menjadi badan perantara utama penyaluran bantuan rakyat Malaysia kepada rakyat Syria di dalam Syria dan juga di luar Syria. Sehingga akhir 2014, sejumlah RM 3.4 juta dana sumbangan ikhlas rakyat Malaysia telah disalurkan.

MLLFS telah berjaya masuk ke ‘Azaaz, Aleppo, Idlib dan juga Hama untuk mengaktifkan 11 buah sekolah, menyediakan sebuah kilang roti, tiga buah telaga air, empat pusat rawatan dan juga projek penternakan ayam hasil daripada sumbangan rakyat Malaysia. Jauh di sudut hati penulis dan pejuang isu kemanusiaan Syria, jutaan ucapan penghargaan dan terima kasih atas sokongan dan dokongan kepada MLLFS selama ini.

. *Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Life Line for Syria merangkap Setiausaha Kewangan ABIM. Artikel ini telah tersiar dalam Sinar Harian dan telah memenangi tempat kedua, dalam pertandingan Esei Kemanusiaan anjuran ICRC yang bertemakan “Respecting Life and Human Dignity”.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR