Apa Hujah Bangsa Melayu Pendatang?

July 27, 2018
editor-media

Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu bahawa orang Hindu yang mula-mula menjejaki negara ini iaitu sejak 2,500 tahun lalu dengan menampilkan Lembah Bujang dan kuil lama yang ditemui di beberapa kawasan sebagai bukti. Kenyataan tersebut disusuli dengan dakwaan bahawa orang Melayu adalah pendatang di negara ini. Saya pernah menulis rencana pada tahun 2014 menyanggah pihak yang meuar-uarkan sentimen bahawa kaum selain Melayu sebagai pendatang, maka saya juga atas dasar tanggungjawab menulis rencana ini untuk menyanggah sentimen bahawa orang Melayu merupakan pendatang di negara ini.

Saya mulakan dengan premis pertama iaitu orang asal yang telah menduduki wilayah nusantara ini adalah “Austronesia” iaitu orang kepulauan selatan yang merangkumi kelompok ras Melayu. Sebelum kedatangan pengaruh Hindu dari benua India, mereka telahpun mendirikan sistem masyarakat dan pemerintahan berasaskan konsep kabilah. Ini yang dinyatakan oleh Kenneth R Hall dalam buku A History of Early South East Asia sebagai kerajaan “Mandala” (state) iaitu gabungan kampung-kampung membentuk sebuah pemerintahan.

Menurut Dougald JW O’Reilly dalam buku Early Civilizations of Southeast Asia, bahasa yang digunakan oleh orang Austronesia ini adalah sama seperti pertuturan orang Melayu di Malaysia, kebanyakan pulau Indoneisa, sebahagian pulau Filipina dan Polynesia (2007 : 94). Antara kerajaan terawal orang austronasia – Melayu ini adalah kerajaan Funan di wilayah Kemboja-Vietnam yang terkenal dengan Dinasti Kaundinya. Kerajaan ini telah mula wujud sejak abad pertama masihi dan asalnya oleh mereka yang terdiri dari rumpun Austronesia – Melayu. (Malleret:1959) (O’Reilly : 2007)

Namun, selepas kedatangan pengaruh Hindu beberapa konsep dan mazhab dari agama Hindu telah diambil secara pragmatik dan terpilih oleh orang Austronasia (Melayu) ini antara lainnya adalah konsep politik, sastera, kesenian dan budaya. Menerusi penyerapan pengaruh Hindu dalam sistem politik, maka terbentuk sistem Raja dan Devaraja dalam pemerintahan sesuatu kerajaan.

Selain itu, orang Austronesia – Melayu ini telah memilih mazhab Saivisme iaitu menyembah Dewa Shiva – Dewa Pemusnah kerana psikik orang Austronesia – Melayu adalah takutkan kemusnahan dan malapetaka. Maka sebab itu, dalam budaya Melayu sejak dulu ada pelbagai pantang-larang termasuk meminta izin sebelum membuang air kecil di hutan. Maka, penyerapan pengaruh Hindu ini yang disebut sebagai “Indianized Kingdom” atau dalam buku teks sejarah disebut sebagai kerajaan Hindu-Buddha yang sebenarnya didirikan oleh orang asal iaitu Austronesia – Melayu tersebut sejak dari abad pertama masihi hingga ke kurun ke-14 iaitu sebelum mereka memeluk agama Islam dan mendirikan kesultanan Melayu Melaka.

Namun, sekiranya terdapat fakta bahawa terdapat kerajaan lama yang telah didirikan oleh mereka yang datang dari India, ia tidak dapat menolak hujah bahawa orang Austronesia – Melayu sebagai orang asal di rantau ini. Analoginya adakah boleh kita nyatakan bahawa orang Rome adalah pemilik atau penduduk asal negara Turki dan sebahagian negara di utara Afrika hanya sebab terdapat ketamadunan dan kerajaan yang didirikan oleh Empayar Rome di sana satu ketika dahulu dan seterusnya menafikan orang setempat di wilayah berkenaan sebagai orang asal?

Premis yang kedua adalah dari sudut fakta sejarah undang-undang di mana saya telah ulas dengan cermat dalam buku saya “Islam dan Pemikiran Refomis Masa Hadapan”. Sekiranya bangsa Melayu merupakan pendatang di negara ini, maka mengapa ketika fasa menjelang kemerdekaan, kerajaan British memberi kuasa kepada pemimpin Melayu untuk menentukan taraf kewarganegaraan kaum India dan beberapa kaum lain sama ada mengikut definisi jus soli atau jus sanguinis?

Menurut kamus undang-undang, Jus soli adalah peraturan di mana tempat kelahiran seseorang memadai untuk memberikan kerakyatan dan kewarganegaraan kepada seseorang tanpa mengira walau dari mana asal ibu bapa seseorang tersebut. Berbeza dengan jus sanguinis didefinisikan sebagai prinsip di mana kewarganegaraan seseorang anak ditentukan oleh kewarganegaraan ibu bapanya tanpa mengira di mana seseorang tersebut dilahirkan.

Ketika banyak negara pra-Merdeka pemimpin kaum asalnya memilih konsep jus sanguinis, pemimpin Melayu telah berlapang dada memilih konsep jus soli atas semangat perkongsian negara ini bersama-sama. Begitu juga dengan konsep Definitive People yang pernah ditulis oleh Perdana Menteri Malaysia Tun dr Mahathir Mohamad dalam buku The Malay Dilemma – di mana walaupun terdapat pandangan bahawa orang asal di tanah Melayu secara spesifik adalah orang asli dan bukan orang Melayu, namun orang Melayu telah menjadi definitive people.

Prinsip definitive people ini telah menetapkan bahawa sesuatu wilayah ini dimiliki oleh segolongan bangsa yang pertama sekali memainkan peranan penting menentukan sifat dan bentuk wilayah ini iaitu orang Melayu yang mula-mula membentuk kerajaan di Tanah Melayu dan ia diiktiraf dalam perhubungan antarabangsa melalui perjanjian, perdagangan dan hubungan diplomatik dengan kuasa luar seperti kerajaan Maharaja Cina. Sejarah mencatatkan bahawa orang Melayu yang membentuk peradaban dan kerajaan awal di Tanah Melayu.

Dalam erti kata lain bangsa lain tidak berhak menentukan corak sifat dan bentuk Tanah Melayu. Maka prinsip ini digunakan dalam mengiktiraf orang putih di Australia sebagai definitive people dan hingga hari ini bahasa dan budaya Inggeris diiktiraf sebagai asal dan teras dan bangsa lain yang datang kemudiannya tidak berhak menuntut hak yang sama. Menerusi sejarah awal serta konsep yang dihuraikan ini, pandangan yang menyatakan bahawa orang Melayu sebagai pendatang adalah menyimpang dari kebenaran. Hakikatnya sebelum datang pengaruh Hindu, wilayah ini bukan terra nullius – tanah tidak berpenghuni.

Sebaliknya telah didiami oleh orang Austronesia – Melayu dengan kerajaan berdaulat. Maka berasakan kepada fakta-fakta ini, tidak hairan mengapa dalam kes Duff Development Company Ltd v. State Government of Kelantan (1924) sebagai contoh, Mahkamah di UK pada tahun 1924 secara jelas telah mengiktiraf kerajaan Kelantan (kerajaan kesultanan Melayu) sebagai sebuah kerajaan yang berdaulat.

Muhammad Faisal Ab
dul Aziz Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR