Banjir: ABIM Negeri Sembilan Aktifkan Pasukan Misi Bantuan Bencana - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Banjir: ABIM Negeri Sembilan Aktifkan Pasukan Misi Bantuan Bencana

Banjir: ABIM Negeri Sembilan Aktifkan Pasukan Misi Bantuan Bencana

Alhamdulillah, sedari 19hb Disember 2021, ABIM Negeri Sembilan telah mengaktifkan pasukan bantuan bencana bagi penyediaan keperluan mangsa banjir dan proses pemulihan pasca banjir di Negeri Sembilan.

Antara kawasan yang dibantu menerusi koordinasi bantuan banjir di lapangan bersama Global Peace Mission (GPM) Negeri Sembilan dan Persatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (PPINS) adalah Seremban, Linggi, Jelebu, dan Rembau.

Sewaktu sesi pembersihan pasca banjir di Maahad Tahfiz Barokah wa Sakinah, Rembau, kerjasama erat dijalankan bersama Pejabat Agama Rembau dan UiTM Rembau. Pengagihan Kit Makanan dan Kit Kebersihan kepada mangsa-mangsa banjir turut dibuat di Sungai Timun, Rembau.

Serahan bantuan juga dijalankan di Masjid Qariah Pengkalan Durian, terletak di antara sempadan Linggi dan Lubok China yang terkesan akibat banjir, dan menyerahkan 10 pek bantuan bahan kering.


Terdahulu, Yang Dipertua (YDP) ABIM Negeri Sembilan yang juga Setiausaha Kewangan ABIM Pusat, Ustaz Dr. Mohd Faridh Hafez Mhd Omar telah menyampaikan pek bantuan keluarga kepada 50 buah keluarga di Kampung Durian Daun, Rembau bersama Majlis Belia Daerah Rembau di dalam Program Pemantapan Keluarga Rabbani.

Kemudian, beliau Bersama skuad ABIM Negeri Sembilan bergerak ke Masjid Kampung Sungai Durian, terletak di antara sempadan Linggi dan Lubok China yang terkesan akibat banjir, dan menyerahkan 10 pek bantuan bahan kering. Difahamkan 12 buah rumah ditenggelami air dan memerlukan mobilasi pasukan pembersihan pasca-banjir.


ABIM Negeri Sembilan menerusi ABIM Daerah Tampin sebelum itu menggerakkan Program Belia Sayang Masjid (BISMI) dengan kerjasama YB Datuk Dr. Hasan Bahrom dan Pejabat Agama Islam Daerah Tampin (PAIDT). BISMI dirasmikan oleh YBhg. Ustaz Ahmad Hilal bin Kasim, Timbalan Pegawai Agama Islam Daerah Tampin di Masjid Kampung Ladang, Gemas.

BISMI merupakan langkah pertama ABIM Daerah Tampin sebagai usaha menggalakkan Belia Remaja di Parlimen Tampin untuk ke masjid, memupuk minat dan cinta akan masjid. BISMI juga merupakan terjemahan daripada hasrat YAB Menteri Besar Negeri Sembilan .

BISMI bermula pada Maghrib 17hb Disember 2021 dan tamat pada 25hb Disember 2021, selama 8 hari dan 40 waktu. Dr. Muhammad Iqbal Ibnu Arifin , YDP ABIM Tampin juga diberi peluang oleh PAIDT untuk menyampaikan Khutbah Jumaat sebagai galakan kepada para peserta yang hadir.

Terima kasih YAB Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Ahli Parlimen Tampin, ABIM Negeri Sembilan, PAIDT, dan Masjid-masjid yang memberi sokongan kepada kami.

ABIM Tampin bersama Pejabat Parlimen Tampin turut menyantuni 10 keluarga di Kampung Keru yang terjejas akibat banjir yang berpanjangan. Telah disampaikan bantuan makanan malam sebanyak 40 pek sumbangan YB Datuk Dr. Hasan Bahrom, Ahli Parlimen Tampin, dengan koordinasi bersama Tok Suhaimi, Pengerusi MPKK Keru.

Di ABIM, kami dididik bahawa ketika bencana berlaku, bergerak dahulu bercakap kemudian. Dana dan tenaga kerja pasti akan ada, sebab rakyat Malaysia baik-baik belaka.

Banyak rumah mangsa banjir berjaya dibersihkan dengan pertolongan relawan ABIM Negeri Sembilan, menggunakan alatan pembersihan hasil sumbangan kewangan orang ramai. Terima kasih, para penyumbang tenaga dan dana. Teruskan berjasa!

Moga diangkat kesusahan semua mangsa banjir dan takziah buat yang kehilangan kesayangan kerana musibah ini.


SERUAN BANTUAN KECEMASAN BANJIR NEGERI SEMBILAN

Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong.

“Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Ayuh kita sama-sama menyumbang dan menghulurkan bantuan buat mereka yang diuji.

Sumbangan berbentuk barang keperluan, sukarelawan, kewangan ke Akaun 1101-6575-42 (Bank Rakyat – ABIM Negeri Sembilan)

Rujukan Resit : BANJIRNS2021

Hantarkan resit sumbangan kepada :

Razak – wasap.my/60132695244

Ikmal – wasap.my/60172308524

Hulurkan tangan, ringankan beban!

Alhamdulillah, syukran. Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM.

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

#DaruratBanjir #RakyatJagaRakyat