
22 Julai 2025 -ABIM Global Forum pada kali ini menampilkan Dr. Haitham Al Haddad, Chair of the Fatwa Committee, The Islamic Council of Europe, UK dengan tajuk “Calibrating Muslim Youth in the West and the East: Challenges, Identity and Resilience” bertempat di Sekretariat ABIM Pusat.
Menurut Dr. Haitham, belia Muslim masa kini menghadapi pelbagai cabaran antaranya cabaran dari segi akidah, iman, sosial, politik dan kewangan. Cabaran terbesar mereka adalah menyesuaikan agama Islam dalam ruang dan gaya hidup semasa. Oleh itu, mudah bagi kita untuk melihat belia Muslim yang mengamalkan ajaran Islam; solat di masjid dan mengamalkan ajaran, tetapi jauh di sudut hati, mereka tidak merasakan Islam adalah cara hidup terbaik untuk dilaksanakan pada masa kini.

Tambah beliau, tujuh kriteria berikut perlu ditanam dalam diri para belia iaitu iman, amal soleh, produktif (effectiveness), berakhlak, bersatu (unity), kemahiran sosial dan kemahiran pengurusan dalam usaha meningkatkan daya tahan diri dari cabaran mendatang.
Untuk latar belakang, Dr. Haitham al-Haddad meerupakan seorang ahli perundangan Islam dan ulama yang berpangkalan di UK dan kini berkhidmat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa bagi Majlis Islam Eropah. Menerima bimbingan lebih 20 tahun pengajian di bawah ulama terkenal, beliau mengkhususkan diri dalam pelbagai ilmu Islam, antaranya Fiqh (perundangan Islam) dan Usul al-Fiqh (prinsip perundangan Islam).Dr. al-Haddad memperoleh PhD dalam perundangan Islam mengenai minoriti Muslim dari School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London.

Penyelidikan beliau tertumpu kepada pembangunan teori-teori perundangan Islam pada abad ke-21. Beliau kerap menyumbang kepada persidangan akademik di seluruh dunia Islam, berkongsi pandangannya tentang pemikiran Islam kontemporari. Beliau telah berkhidmat sebagai hakim untuk Majlis Syariah Islamiah (UK & Eire) selama 15 tahun dan terus menasihati banyak majlis Syariah di seluruh UK dan Eropah.
