Berdakwahlah Dengan Hikmah Dan Hemah, Bukan Paksa Dan Marah.

July 1, 2019
editor-media

Oleh: Zairudin Hashim, Penolong Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Berdakwah merupakan tanggungjawab setiap Muslim. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam Surah Ali Imran (Ayat 110), “Kalian adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah SWT.” Namun, penting juga untuk difahami bahawa dakwah sangat memerlukan kelembutan serta kebijaksanaan, sebagaimana yang disebut dalam Surah An-Nahl (Ayat 125), “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan telunjuk yang baik dan ajarlah mereka dengan cara yang baik.”

Kelembutan itu indah, sedangkan hilangnya kelembutan membuatkan sesuatu perkara menjadi tidak lagi indah. Rasulullah SAW mendidik kita untuk berdakwah dengan begitu indah. Baginda tidak pernah memaksa mana-mana orang bukan Islam untuk masuk ke dalam agama Islam. Sebaliknya, Baginda menarik mereka kepada Islam dengan menzahirkan kasih sayang serta kebaikan kepada mereka. Hal inilah yang menyentuh jiwa mereka, tatkala melihat keindahan Islam seterusnya mahu mendekati dan mengenali agama tersebut.

Hari ini, ramai yang menolak dakwah Islam kerana didakwah dengan paksaan serta marah-marah. Kita mesti memikir serta memahami emosi serta sensitiviti golongan yang ingin didakwah, memandangkan mereka juga manusia yang mempunyai hati dan perasaan. Sejelasnya, keberhasilan dakwah sangat sangat bergantung kepada penggunan bahasa dakwah yang tepat, jitu, efektif serta berkualiti untuk mencapai sasaran seterusnya mempunyai pengaruh terhadap hati dan akal fikiran. Dakwah yang berkesan juga berlegar di sekitar pemikiran yang rasional, sistematik, harmonis, serta berstrategi. Para pendakwah perlu menggunakan kata-kata yang memberi penerangan tentang manfaat atau bahaya sesuatu perkara, tanpa menggunakan bahasa yang kasar atau kesat.

Dakwah dengan berhikmah akan dapat lebih diterima dan memperoleh hasil yang maksimum, kerana ia melahirkan cinta dan bukannya kebencian. Tanpa menafikan perlunya kita bersikap tegas jika berlaku usaha memprovokasi atau memperlekeh Islam, kita mesti berusaha mengelakkan perselisihan serta pertengkaran.

Di Kepulauan Nusantara, Wali Songo masyhur sebagai 9 orang pendakwah ulung yang menyebarkan Islam di Tanah Jawa pada abad ke-14. Sebahagian daripada mereka berdakwah dengan menggunakan perantaraan wayang kulit, gamelan dan persilatan, bagi menyesuaikan apa yang ingin disampaikan dengan budaya setempat. Wali Songo telah memberikan teladan berharga, di mana meskipun mempunyai pengetahuan yang luas dan keimanan yang kuat, mereka tidak kekok untuk menyantuni serta berdialog bersama masyarakat yang bukan Islam.

Nilai toleransi, keadilan dan persaudaraan sejagat adalah prinsip yang dianjurkan oleh Islam. Islam bukan hanya menganjurkan umatnya berbuat baik sesama Islam tetapi juga antara bukan Islam. Orang bukan Islam mempunyai hak yang tertentu dan dilindungi selagi tidak memerangi Islam. Berdasarkan Surah al-Hujurat (Ayat 13), dinyatakan bahawa Islam mengiktiraf kemuliaan setiap manusia tanpa mengira etnik (Surah al-Hujurat: 13). Sahifah Madinah adalah contoh perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama kepada bukan Muslim selagi memberi kesetiaan terhadap perjanjian tersebut. Islam adalah agama yang memartabatkan keadilan kepada semua, selain tidak menafikan hak sesuatu kaum mengikut undang-undang.

Nilai-nilai keislaman dan kemanusiaan perlu dizahirkan tanpa mengira agama dan bangsa. Kerja-kerja kebajikan yang dijalankan dengan ikhlas pastinya akan menjadi inspirasi dan contoh kepada orang lain untuk saling membantu antara sesama manusia. Malangnya, terdapat sesetengah pendakwah di luar sana yang bersemangat mengislamkan para saudara baru (mualaf) tanpa berusaha gigih untuk membantu mereka menghadapi rintangan setelah memeluk Islam. Sedangkan, perkara yang perlu diberikan penekanan adalah untuk menyusun strategi dan langkah seterusnya (follow up) iaitu selepas memeluk Islam. Ada mualaf yang sangat memerlukan bimbingan lanjutan serta bantuan kewangan akibat kos sara hidup yang membebankan. Ada yang disisihkan keluarga serta kenalan rapat, justeru mereka memerlukan sokongan yang kuat daripada semua.

Di negara kita, terdapat lebih 200,000 Orang Asli terdiri daripada tiga masyarakat iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Proto yang dipecahkan kepada 18 suku masyarakat. Hak mereka selaku pribumi ke atas tanah dan sumber asli mereka sangat perlu dipelihara serta dipulihkan. Bukan sekadar mengajak mereka menyertai Islam, kita perlu mempertingkatkan usaha bagi memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan (vaksinasi), mendapatkan pendidikan, selain elektrik dan internet untuk membangunkan masyarakat Orang Asli, terutama yang kedudukannya jauh di pedalaman. Usaha memartabatkan masyarakat itu perlu dilakukan secara menyeluruh khususnya tentang isu memartabatkan status pemilikan tanah Orang Asli. Kelestarian ekologi alam sekitar yang menjadi kediaman majoriti masyarakat Orang Asli juga perlu diberi perharian, di mana aktiviti pembalakan, perlombongan serta pembangunan di kawasan hutan perlu dipantau dengan serius jika tidka dihentikan, bagi melindungi komuniti tersebut.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR