Dibimbing oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Naim Mohd Noor
Bicara Nisa’ul Qur’an adalah Siri Kuliah anjuran HELWA ABIM yang akan dibimbing oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Naim Mohd Noor yang akan memperkenalkan individu-individu wanita yang disebut di dalam Al-Qur’an yang boleh dijadikan teladan dan iktibar oleh generasi wanita hari ini lebih-lebih lagi wanita harakiy yang menginfaqkan usianya untuk perjuangan agama. Siri pertama telah berlangsung di Pusat Dakwah dan Tarbiyah WADAH, Sg. Merab, Bangi pada 1 November 2015 yang lalu. Dengan tajuk Kedudukan Wanita di dalam Al-Qur’an, Al-Fadhil Ustaz Naim mensyarahkan beberapa ayat Al-Qur’an yang menyebut tentang posisi wanita di dalam Islam.
Antaranya, di dalam surah At-Taubah ayat 71-72;
وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ (٧١)وَعَدَ اللَّهُ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ وَرِضْوَانٌ مِنَ اللَّهِ أَكْبَرُ ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ (٧٢ 71.
Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan shalat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Mahaperkasa lagi Mahabijaksana. 72. Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, laki-laki dan perempuan, (akan mendapat) surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang baik di surga ‘Adn. Dan keridhaan Allah lebih besar (dari semua itu). Itulah kemenangan yang agung.
Di dalam ayat di itu, disebut tentang tanggungjawab yang sama kepada orang-orang beriman baik lelaki dan perempuan dalam melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar, mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta dalam mentaati Allah dan Rasulnya. Malah balasan kebaikan mereka di dunia juga sama iaitu syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.
Manakala dalam surah An-Nisa’ ayat pertama, Allah menjelaskan penciptaan manusia (lelaki dan perempuan) adalah dari jiwa yang satu. Melalui ayat ini, Hamka menafsirkan bahawa wanita dicipta dari belahan jiwa lelaki dan bukanlah dari tulang rusuk seperti yang disebut di dalam hadis yang mahsyur. Menurut Ustaz Naim, ada sesetangah pendapat yang menyebut bahawa tulang rusuk adalah kiasan kepada sifat wanita, dan bukanlah asas kejadian wanita.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًا كَثِيرًا وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا (١)
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.”
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, kemudian dia menyaksikan suatu peristiwa, hendaklah dia berbicara dengan baik atau diam, dan berwasiatlah kepada wanita dengan kebaikan, karena sesungguhnya dia diciptakan dari tulang rusuk, dan bagian yang paling bengkok adalah tulang rusuk yang paling atas, jika kamu berusaha untuk meluruskannya, niscaya akan patah, jika kamu membiarkannya, dia akan senantiasa bengkok, maka berwasiatlah terhadap wanita dengan kebaikan. (Shahih Muslim 1468 – 60)
Seterusnya, Al-Fadhil Ustaz menceritakan kedudukan wanita ketika zaman arab jahiliah dan membezakannya dengan zaman selepas Islam. Antaranya ialah pembunuhan bayi perempuan yang dianggap memalukan kelahirannya, malah, kelahiran bayi perempuan turut akan dibebankan kesalahannya kepada ibu yang melahirkan.
Selepas Islam, anak-anak perempuan diangkat martabatnya malah wanita berhak untuk mewarisi harta selain layanan baik yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam kepada wanita Islam termasuk anak-anak perempuannya. Sebelum berakhir, Ustaz Naim menyenaraikan nama-nama wanita yang disebut di dalam Al-Qur’an yang bakal dibincangkan sepanjang siri kuliah Bicara Nisa’ul Qur’an.
Lebih 20 individu wanita yang telah dikenal pasti, dan menurut Ustaz, ada kitab yang turut menyenaraikan hampir seratus individu wanita yang boleh dibincangkan. Bicara Nisa’ul Qur’an telah dirasmikan oleh Tuan Hj Mohamad Raimi Abdul Rahim, Presiden ABIM yang di dalam ucapannya menyentuh peranan wanita dalam perjuangan intifadha di Palestin sebagai banteng pertahanan kepada suami dan anak-anak lelaki mereka seperti yang turut dimainkan oleh wanita-wanita di Patani dan Tak Bai.