angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Doktor Muda Kelahiran Malaysia Perkenal Inovasi Hijab ‘Pakai Buang’ Pertama Di Hospital UK, Diiktiraf Peringkat Antarabangsa

Doktor Muda Kelahiran Malaysia Perkenal Inovasi Hijab ‘Pakai Buang’ Pertama Di Hospital UK, diiktiraf peringkat antarabangsa

Dalam Islam, konsep Islam itu mudah sangat meluas yang bertujuan untuk tidak menyukarkan dan mengehadkan aktiviti seharian manusia. Firman Allah Subhanahu wa-Ta’ala dalam Surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

Dalam bilik rawatan atau pembedahan di hospital, aspek kebersihan menjadi satu keutamaan yang perlu dipatuhi bagi memastikan keadaan sekeliling dan persekitaran bebas daripada sebarang kuman. Bagi petugas perubatan beragama Islam pula, aspek pemakaian juga diambil kira apatah lagi sekiranya doktor wanita yang mengenakan hijab.

Demi mengimbangi kepentingan aspek kebersihan dan mengurangkan jangkitan kuman di samping masih menjaga bab pemakaian tudung, seorang doktor kelahiran Malaysia, Dr. Farah Shaheera Roslan yang kini bertugas di United Kingdom (UK), menghasilkan tudung pakai buang yang disteril untuk kegunaan hospital.

Namun, apa yang sangat memberi inspirasi apabila beliau terpilih menerima pengiktirafan Mary Seacole NHS Leadership Academy Award 2020 dan dicalonkan untuk British Muslim Award 2020 di atas sumbangannya mencipta hijab pakai buang untuk kegunaan dalam dewan bedah (OT).

Farah menerima anugerah dan sijil bagi Doktor Tahun Asas (2019) dari Nottingham University Hospital dan menyempurnakan Peperiksaan Keahlian Surgical Royal Colleges Great Britain dan Ireland, yang diikutinya semasa menjadi doktor pelatih.

Tudung pakai buang itu tidak memerlukan kos yang tinggi dan beliau berharap ia akan memberi impak yang besar buat semua. Perunding pakar bedah dan mentor kepada Farah iaitu Gill Tierney berkata, beliau percaya idea hijab tersebut merupakan yang pertama diperkenalkan di UK untuk digunakan oleh petugas perubatan mereka. Rekaan itu dihasilkan dengan usaha Dr. Farah untuk bekerjasama Hospital Royal Derby, dan kini diiktiraf sebahagian peralatan pembedahan yang dibenarkan di UK.

Isteri kepada Dr Luqman Safwan ini pernah diminta keluar dengan sopan dari bilik pembedahan kerana menggunakan tudung yang sama sepanjang hari, yang dikira tidak bersih dan tidak sesuai untuk urusan rawatan dan pembedahan.

Ciptaan ini telah mengharumkan nama Dr. Farah sebagai seorang Muslim dari Malaysia, dan umat Islam UK mengatakan keyakinan Dr. Farah menjadi inspirasi buat penduduk Islam di UK dan pada peringkat antarabangsa.

Menyorot Sejarah Lalu Pemakaian Tudung di Malaysia

Merenung lipatan sejarah pemakaian tudung di Malaysia, Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) turut memainkan peranan yang tersendiri. Selain mempelopori pemakaian tudung tersebut di universiti dan institusi pendidikan khususnya yang dikelolakan oleh aktivis ABIM, HELWA ABIM dan HEWI PKPIM turut menjalankan gerakan mendesak pakaian seragam menutup aurat untuk para jururawat yang direka mereka sendiri.

HELWA ABIM turut mendesak diadakan asrama kilang dan bas kilang bagi memudahkan pemeliharaan kebajikan dan keselamatan para pekerja wanita di negara kita.

Sekitar 1972, Sdra. Anwar Ibrahim, Sdra. Daud Seman, Sdra. Kamaruddin Mohd Nor, Sdra. Idris Jauzi dan pimpinan ABIM telah membuka sekolah swasta, Yayasan Anda Akademik (YAA) di Bangunan Sri Pantai Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur (bersebelahan Universiti Malaya), di mana Sdra. Anwar menjadi pengetuanya. Yayasan ini telah melahirkan ramai pemimpin dan tokoh akademik tanah air, selain lebih 100,000 orang alumni di seluruh negara.

YAA juga memberi penekanan kepada keterampilan dan disiplin pelajar, di mana di sekolah inilah budaya pemakaian tudung dan mini scarf yang sangat asing di Malaysia ketika itu, disuburkan. Budaya pemakaian tudung melebar luas ke seluruh negara apabila rata-rata pelajar yang tamat pengajian di YAA mula memasuki kampus-kampus di seluruh Malaysia.

Meskipun dekad 1960an dan 1970an menyaksikan masyarakat kita dipengaruhi oleh pakaian ala Barat, cara pemakaian wanita Melayu-Islam di Malaysia mula berubah pada tahun-tahun 1970-an dan seterusnya. Hal ini kerana kemunculan gerakan-gerakan dakwah yang aktif di universiti, seperti ABIM. 

Sebagai sebuah Gerakan Ilmu dan Bakti, ABIM dikenali kerana kelantangan serta keberanian para pimpinannya dalam memperjuangkan isu-isu rakyat terbanyak. Slogan ‘Islam sebagai cara hidup’ mendekatkan masyarakat kepada kefahaman serta penghayatan terhadap keindahan nilai-nilai Islam.

Ustazah Habibah Abdullah (Ketua HELWA ABIM Pertama – 1972-1973, 1975-1977) dan seterusnya wanita ABIM pertama memulakan amalan dan pembudayaan pemakaian tudung kepala 1970-an sebagai simbolik kebangkitan Islam di Malaysia. Beliau terlibat secara langsung dalam penubuhan ABIM kerana beliau merupakan ketua wanita Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi sesi 1970-an.

Selepas beberapa seminar dan pembentangan kertas kerja yang dianjurkan oleh PKPIM, maka akhirnya keputusan penubuhan ABIM diisytihar secara rasmi pada Muktamar PKPIM ke-10.

Beliau bersama barisan pimpinan PKPIM ketika itu bergabung dan menubuhkan ABIM kerana merasakan keperluan untuk meneruskan cita-cita PKPIM yang mahu melahirkan masyarakat yang memahami Islam sebagai satu cara hidup yang syumul dengan pendekatan berhikmah selepas tamat zaman pelajar.

Prof. Dr. Khalijah Salleh, Setiausaha Wanita ABIM (Ketua HELWA ABIM 1973-1974) menukilkan bahawa, “Saya masih ingat kenangan ketika mula-mula mempelopori pemakaian tudung kepala bersama beberapa orang rakan. Hasrat ini timbul setelah membaca Al-Quran. Semasa itu hasrat untuk mengamalkannya begitu mendalam. Bagaimanapun pada peringkat awal, kami mendapat tentangan kuat daripada pelbagai pihak yang tidak menyenanginya.”

Beliau menambah, “Kami banyak kali disindir dan digelar dengan bermacam-macam gelaran seperti ‘orang pakai dakwah’, ‘hantu bungkus’ dan sebagainya. Alhamdullilah, dalam hal ini kami mendapat sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya Kementerian Pendidikan. Kini pemakaian tudung tidak lagi menjadi sesuatu yang pelik bagi kaum wanita di Malaysia, malah majoriti wanita Melayu dan Islam mula menyedari keperluan dan tuntutan memakai tudung ini.”

Prof. Dr. Khalijah merupakan wanita Melayu pertama meraih ijazah sarjana muda dalam bidang fizik dan sering digelar srikandi Melayu. Selain itu, beliau juga merupakan ahli profesional Muslim yang ingin memajukan umat Islam menerusi dakwah dan juga bidang keilmuan dan amat fokus dalam setiap yang dilakukan.