Enam Persoalan tentang Perdana Menteri Caretaker

August 16, 2021
hafiz

Susulan pelantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai Perdana Menteri Caretaker atau sementara bertarikh 16 Ogos 2021, secara konvensyen ia tidak lari dari prinsip dan amalan “caretaker government” yang berlaku apabila Parlimen dibubarkan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan. Justeru, kuasa yang terdapat pada “caretaker government” atau caretaker Prime Minister kini jelas tidak sama dengan kuasa Perdana Menteri dan kerajaan dalam situasi biasa. Di sini dinyatakan 6 persoalan tentang “caretaker Prime Minister / government”.

1) – Apakah itu Kerajaan Sementara?

Prof Dato’ Salleh Buang dalam buku Perlembagaan & Pentadbiran : Isu Kritikal – mendefinisikan Kerajaan Sementara sebagai kerajaan sebuah negara apabila tempoh pemerintahannya berakhir. Biasanya situasi ini berlaku apabila Parlimen, Kongres atau apa-apa badan perundangan negara dibubarkan, proses pilihanraya umum belum selesai, dan kerajaan baharu belum dilantik oleh Raja atau Presiden sesebuah negara. Maka dalam situasi kini, ia jatuh bawah kategori kerajaan baharu belum dilantik oleh Raja atau Presiden sesebuah negara.

2) – Apa kepentingan had dan batasan Kerajaan Sementara?

Mengambil kira faktor kemungkinan berlaku pemindahan kuasa daripada Perdana Menteri sementara kepada Perdana Menteri yang baharu, maka mengikut amalan dalam sistem demokrasi batasan dan had yang dikenakan kepada Kerajaan / Perdana Menteri Sementara harus diawasi dan dipatuhi.

3) – Apakah batas dan had Kerajaan Sementara?

Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada peruntukan jelas tentang batas dan had kerajaan sementara maka seperti amalan-amalan negara Komenwel, pada kebiasaannya had dan batasan adalah menurut “kovensyen”. Dalam “The Caretaker Conventions in Australia” menyatakan : untuk memperkenalkan sebarang dasar-dasar penting serta pelantikan sesuatu jawatan penting yang ingin dibuat oleh Kerajaan Sementara hanya boleh dibuat selepas rundingan dan perbincangan dibuat dengan semua parti (kerajaan dan pembangkang) dan setelah mendapat persetujuan parti-parti tersebut.

4) – Adakah Kerajaan Sementara boleh berurusan dengan negara luar?

Menurut Prof Dato’ Salleh Buang, berdasarkan Konvensyen negara-negara Komanwel sebagai sandaran, dalam hal surat-menyurat dengan pihak luar, Perdana Menteri Sementara tidak boleh membuat anggapan bahawa dia akan meneruskan pemerintahan untuk jangka masa panjang termasuk memenangi pilihan raya selepas pembubaran Parlimen. Kandungan surat-menyurat termasuk perjanjian tidak boleh menyekat atau menafikan kebebasan Perdana Menteri / kerajaan baharu yang akan dilantik untuk membuat keputusan. Maka, sebaiknya Perdana Menteri / Kerajaan Sementara tidak membuat sebarang perjanjian melibatkan komitmen dengan negara luar sehingga kerajaan baharu yang sah dilantik.

5) – Sampai bilakah tempoh Kerajaan Sementara boleh berjalan?

Dalam kes pembubaran parlimen, maka pilihanraya wajib untuk diadakan dalam tempoh enam puluh hari. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.” Justeru, tidak dapat tidak, ia bermaksud tempoh kerajaan sementara hanya boleh berjalan hanya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran Parlimen yang mana selepas itu wajib untuk negara mempunyai ahli Parlimen yang sah dipilih.

Justeru, ia memberi kefahaman bahawa secara amalan, tempoh Perdana Menteri caretaker tidak boleh makan masa lama kerana kuasa Perdana Menteri caretaker amat terbatas dan tidak baik untuk jangka masa panjang negara terutama Ketika kita berhadapan krisis Covid-19. Tempoh Perdana Menteri caretaker lama juga akan menjejaskan amalam demokrasi berparlimen serta mekanisme akauntabiliti dan kebertanggungjawaban negara.

6) Apakah kesan terhadap kakitangan kerajaan & harta kerajaan?

Konvensyen negara-negara Komanwel menetapkan bahawa kakitangan kerajaan perlu terus memegang dan melaksanakan amanah yang diberikan dan harus memastikan segala harta kerajaan tidak disalahguna oleh mana-mana parti politik. Perkhidmatan awam merupakan sesuatu yang bebas dan ‘tidak berpolitik’ atau berpihak, dan kedudukan ini perlu diawasi terutama apabila negara diperintah oleh Perdana Menteri / Kerajaan Sementara.

Muhammad Faisal Abdul Aziz

Presiden

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR