
Oleh: Allahyarham Ustaz Dr Abdul Halim El-Muhammady
Pencapaian terhadap sesuatu objektif idealism memerlukan beberapa elemen asas. Antaranya, kejelasan fikrah (mindset), perancangan yang tersusun rapi dan pelaksanaan yang serius, pengawasan dan penilaian, di samping ikatannya kepada Allah SWT terhadap pelaksanaan kelima-lima elemen tersebut, dan mengikut landasan syariah dalam usaha untuk sampai kepada matlamat yang dimaksudkan.
Berdasarkan kepada beberapa asas di atas, Allah tidak akan menghampakan harapan hamba-Nya untuk mencari sesuatu yang baik yang dicita-citakan. Malah Allah membuka jalan dan memberi laluan berdasarkan kepada usaha yang dilakukan oleh seseorang. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya yang menolong jalan agama-Nya.
Dalam doa, Allah menyuruh supaya kita memahami, “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kehidupan di dunia yang baik dan kehidupan di akhirat yang baik.”
Kebaikan di dunia dapat dicapai dengan kelengkapan ilmu duniawi dan ukhrawi ke tahap mencukupi untuk keperluan diri, keluarga dan masyarakat. Demikian juga kelengkapan ekonomi yang mencukupi untuk keperluan individu, keluarga dan masyarakat.

Manakala, aspek keagamaan dan kerohanian yang mencukupi untuk memenuhi keperluan amalan wajib dan sunatnya dalam kehidupan individu, keluarga dan masyarakat. Apabila tiga aspek ini dapat dipenuhi dan dibudayakan dalam kehidupan sehari-hari, maka diharapkan pencapaian hasanah fi dunia dan hasanah fil akhirah akan tercapai kerana kualiti hasanah itu dapat direalisasikan dalam aspek kerohanian, kebendaan dan kemasyarakatan secara menyeluruh.
Dipetik dari autobiografi beliau “Pengalaman Mengajarku Erti Kehidupan” yang diterbitkan Aras Mega (1996).
