
KENYATAAN MEDIA
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
20 Jun 2025 / 23 Zulhijjah 1446H
ABIM GESA DITAMATKAN SEGERA KEKHUATIRAN UMAT ISLAM: FATWA PERLU DIPERKASA, SISTEM DUA PERUNDANGAN PERLU DIHARMONIKAN
1. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius implikasi keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang memutuskan bahawa fatwa yang diwartakan terhadap pertubuhan Sisters in Islam (SIS) tidak boleh terpakai kepada sebuah entiti yang didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
2. Keputusan ini boleh mencetuskan kekhuatiran yang mendalam dalam kalangan umat Islam di negara ini jika ia tidak ditangani dengan baik. Ia dilihat membuka ruang kepada cabaran lebih besar terhadap autoriti institusi fatwa dan institusi agama Islam negeri yang sekian lama diamanahkan untuk memelihara kemurnian akidah dan kemaslahatan ummah menurut prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah.
3. Walaupun keputusan ini berasaskan hujahan perundangan sivil berkaitan status entiti korporat, namun kesan jangka panjangnya perlu dinilai secara lebih menyeluruh. Ia menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan mekanisme semasa dalam menyekat penyebaran fahaman yang tidak selari dengan semangat Maqasid Syariah dan asas-asas Perlembagaan Negara, khususnya dalam peranan Islam sebagai agama Persekutuan.
4. ABIM juga mengambil maklum bahawa terdapat penghakiman berbeza daripada dua orang hakim Mahkamah Persekutuan dalam kes ini, yang jelas menyuarakan keprihatinan terhadap kesan jangka panjang keputusan majoriti terhadap kedudukan fatwa dan institusi Islam di negara ini. Perkara ini menunjukkan wujudnya asas perundangan yang sahih untuk menilai semula keperluan reformasi undang-undang agar keharmonian antara sistem sivil dan syariah dapat dikekalkan secara adil dan menyeluruh.
5. ABIM berpandangan bahawa situasi ini memperlihatkan jurang yang semakin melebar antara sistem perundangan syariah dan sivil. Jika tidak ditangani secara tuntas dan berhemah, ia boleh menggugat keyakinan umat Islam terhadap kemampuan negara dalam menegakkan prinsip keadilan berasaskan keutuhan Islam sebagai agama Persekutuan.
6. ABIM menegaskan bahawa prinsip keadilan tidak akan dapat dilestarikan sekiranya institusi-institusi agama seperti mufti dan Majlis Agama Islam Negeri beroperasi dalam lingkungan kuasa yang kabur atau terbatas, sedangkan mereka merupakan penjaga utama hal ehwal umat Islam.
7. Sehubungan itu, ABIM mengemukakan saranan-saranan berikut:
a. Mendesak kerajaan Madani, melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Peguam Negara, merangka mekanisme pengharmonian undang-undang yang mengiktiraf kuasa fatwa secara lebih jelas dalam konteks dwi-sistem perundangan negara.
b. Menyeru Parlimen Malaysia menggubal atau meminda undang-undang yang berkaitan, khususnya Akta Mahkamah Syariah dan Akta Pentadbiran Agama Islam Negeri, bagi memastikan autoriti fatwa tidak terus dipinggirkan dan dapat berfungsi secara berkesan.
c. Menganjurkan agar Majlis Raja-Raja memainkan peranan strategik sebagai penaung agama Islam untuk memimpin dialog nasional antara institusi kehakiman, legislatif dan eksekutif dalam menangani ketidaksesuaian bidang kuasa yang semakin ketara.
d. Menekankan agar pelantikan Ketua Hakim Negara yang akan datang mengambil kira keperluan mendalam terhadap keupayaan komitmen untuk mengharmonikan sistem sivil dan syariah secara adil dan menyeluruh.
e. Menyokong sepenuhnya sebarang inisiatif dan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengangkat kedudukan agama Islam, memperkasa institusi fatwa serta memperkukuh kedudukan Mahkamah Syariah, selaras dengan semangat Perlembagaan dan demi maslahah umat Islam di Malaysia.
8. ABIM ingin menegaskan bahawa segala pendirian dan saranan yang dikemukakan ini dibuat atas asas maslahah umat Islam, demi memelihara kestabilan sosial, menjamin keharmonian antara sistem perundangan, serta mempertahankan kedudukan Islam yang telah dijamin dalam Perlembagaan sebagai agama Persekutuan. ABIM sentiasa mendukung segala usaha ke arah memperkukuh autoriti institusi agama secara adil, profesional dan berwibawa.
9. Akhirnya, ABIM menyeru seluruh umat Islam agar terus bertenang, istiqamah dan berperanan secara aktif dalam mendukung usaha pendidikan, advokasi dasar dan pemerkasaan syariah berlandaskan ilmu, adab dan hikmah demi memastikan kedaulatan Islam terus terpelihara di bumi Malaysia tercinta ini.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan”
Ahmad Fahmi Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
