angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

HSN 2021: ABIM Seluruh Negara Tingkat Kesedaran Gaya Hidup Sihat

Pandemik COVID-19 bukan penghalang untuk rakyat Malaysia kekal cergas dan sihat. Walaupun aktiviti sukan dan rekreasi sebelum ini agak terbatas apabila perlu mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP), warga Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan jalinan erat bersama Majlis Belia Malaysia (MBM) di seluruh negara tidak ketinggalan untuk sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat menerusi aktiviti riadah dan kecergasan.

Berdasarkan objektif Hari Sukan Negara (HSN) 2021, matlamatnya adalah ke arah pembudayaan sukan secara menyeluruh walaupun dalam tempoh pelaksanaan Program Pemulihan Negara (PPN). Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan (JBSN) mengambil pendekatan berbeza pada sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 kali ini, dengan diadakan secara hibrid dan fizikal dengan mengambil kira situasi dan keadaan semasa negara.

Hari Sukan Negara ini adalah penting di dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif. Ayuh semarakkan HSN 2021 dengan aktiviti sukan yang berfaedah. Amalkan gaya hidup yang sihat secara fizikal dan mental untuk kehidupan seharian yang lebih baik!

Alhamdulillah, pada 3 dan 5hb Oktober 2021, para aktivis ABIM Pusat dan ABIM Selangor telah menjalankan aktiviti riadah berbasikal di sekitar Kuala Lumpur. Terdahulu, Kelab Berbasikal WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP) Selangor telah dilancarkan dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat di Lembah Kelang.

Pada 9hb Oktober 2021, Masjid Kariah Bandar Perdana dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda, Kedah dengan kerjasama ASPIRASI Peduli Ummah (Unit Amal yang bekerjasama dengan ABIM) mengadakan Program Kayuhan Funride Challenge sempena HSN 2021 Peringkat Daerah Kuala Muda.

Berlangsung dengan jayanya, jutaan terima kasih kepada Encik Abdul Aliff, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Muda yang telah memberi kepercayaan kepada Masjid Kariah Bandar Perdana bagi menganjurkan program kali ini. Sasaran awal penyertaan seramai 1,000 orang akhirnya berjaya dicapai. Jumlah terakhir penyertaan ialah seramai 1,200 orang.

Dengan yuran penyertaan sebanyak RM50, peserta diberikan sehelai t-shirt dan pelitup muka istimewa. Seramai 50 orang penunggang telah dipilih untuk melakukan kayuhan sejauh 35km secara fizikal. Dengan pematuhan SOP yang ketat, kayuhan fizikal ini merupakan sebahagian daripada bubble sukan yang diperkenalkan bagi menilai keberkesanan untuk membolehkan KBS merangka pembukaan aktiviti sukan lainnya dengan lebih meluas.

Baki peserta seramai 1,150 orang lagi diminta melakukan kayuhan secara virtual di tempat masing-masing. Program hari ini diserikan dengan kehadiran YB Ustaz Ahmad Fadzli Hashim, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah yang sudi menyempurnakan acara pelepasan kayuhan.

Pada 9hb Oktober 2021 (Sabtu) para aktivis ABIM Perak turun beraksi dalam perlawanan badminton Sempena Hari Sukan Negara Negeri Perak.

Berlangsung di HST Badminton Court Ampang, Ipoh, kehadiran adalah terhad kepada yang sudah lengkap divaksinasi 2 dos sahaja dibenarkan untuk hadir ke program.

Terima kasih diucapkan kepada Pegawai Belia & Sukan Daerah Kinta, Sdra. Tines Kumar yang turut hadir dan sentiasa memberi sokongan yang padu kepada MBD Ipoh dalam menjalankan segala program.

Tahniah dan syabas kepada semua yang telah hadir dan turut memeriahkan HSN 2021 bersama MBD Ipoh.

Pada 17hb, 24hb dan 30hb September serta 1hb dan 8hb Oktober 2021, ABIM Pasir Mas bersama Majlis Belia Jajahan Pasir Mas Kelantan beriadah dengan mendaki Puncak Bukit Salor, Jeli serta Bukit Kwong, Rantau Panjang sempena Hari Sukan Negara (HSN) 2021.

Aktivis ABIM Pusat turut mengambil kesempatan beriadah dengan mendaki Bukit Broga di Semenyih pada hari Jumaat, 8hb Oktober 2021. Mereka mengambil masa 40 minit untuk sampai ke Viewpoint Pertama Broga.

Pada 26hb September 2021 (Ahad), bertempat di Bukit Kledang, Ipoh, para aktivis ABIM Perak turut menyertai persediaan Majlis Belia Daerah Ipoh untuk melaksanakan [Virtual Hiking] Bersempena dengan Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Daerah Kinta.

Sempena HSN 2021, ABIM Besut turut menyertai Virtual Orienteering Hike (VOH) yang buat julung kalinya menjadi salah-satu acara HSN peringkat Negeri Terengganu. Ia telah dilancarkan pada hari Sabtu, 9hb Oktober 2021. 8 buah bukit dipilih sebagai lokasi pilihan untuk disertai iaitu: Bukit Keluang; Bukit Mak Dayang; Bukit Bauk; Bukit Lubuk Batu; Bukit Balik Hidung; Bukit Tok Salai; Bukit Maras (Puncak 275); dan Bukit Besar.

VOH 2021 merupakan aktiviti sukan mendaki oleh peserta berdaftar dan perlu melawati “Penanda Kawalan Orienteering” yang berada di lapan puncak bukit tersenarai. Program dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dan Persatuan Sukan Orienteering Negeri Terengganu (PSOT).

ABIM Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bersama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Sebarang Perai Selatan juga menganjukan HSN Peringkat Seberang Perai pada 8hb, 9hb dan 10hb Oktober 2021. E-Sijil diberikan kepada yang mendaftar dan terdapat lebih 30 cabutan bertuah untuk dimenangi.

Pada 9hb Oktober 2021 (Sabtu), ABIM Tampin, Negeri Sembilan bersama rakan-rakan Majlis Belia Daerah Tampin telah dijemput dalam Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sukan Negara 2021 Peringkat Daerah Tampin, Negeri Sembilan. Program berlangsung di Stadium Mini Tampin dan bermula jam 7:00 pagi.

Semoga dengan usaha ini dapat meningkatkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan tubuh badan kita. Pepatah Arab menyebut, “Akal yang sihat daripada tubuh badan yang sihat”.

Kenali dan sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio/

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti #TowardsSportingNation #HSN2021