Imbas Semula: Penyenaraian TH Plantations Sdn Bhd Di Bursa Malaysia

May 14, 2015
editor-media

Disediakan Oleh: Dr Zulkifli Hasan (Ditulis Pada Tahun 2009)

Isu penyenaraian TH Plantations Sdn. Bhd (THP) di Bursa Malaysia mendapat reaksi hangat daripada pelbagai pihak termasuk ahli politik dan cendiakawan. Terdapat ramai yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut yang dikatakan bertentangan dengan objektif penubuhan Tabung Haji (TH). Namun demikian Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Abdullah Md. Zin mempertahankan langkah tersebut dan menyatakan ianya tidak menyalahi syarak. Kita sedar bahawa kedua-dua pihak mempunyai niat yang baik iaitu untuk menjaga kepentingan entiti umat Islam dan dalam masa yang sama cuba untuk menaikkan taraf ekonomi. Bagi memperbincangkan isu ini secara akademik ianya perlu merujuk kembali kepada matlamat penubuhan TH itu sendiri dengan berlandaskan beberapa faktor disamping elemen-elemen penting hukum syarak yang perlu dipatuhi.

Merenung kembali secara ringkas sejarah penubuhan Tabung Haji. Idea ini adalah hasil daripada kertas kerja Profesor Di Raja Ungku Aziz bertajuk “Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji” pada tahun 1959. Hanya pada November 1962 cadangan ini dapat dilaksanakan melalui penubuhan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji dan telah beroperasi secara rasmi pada 30 September 1963. Pada 1969 Perbadanan ini kemudiannya dikenali sebagai Lembaga Urusan dan Tabung Haji setelah penggabungan dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji Pulau Pinang. Pada 1 Jun 1995 Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dikuatkuasakan dan nama Lembaga Urusan dan Tabung Haji digantikan dengan Lembaga Tabung Haji pada 28 Ogos 1997 hingga kini.

Sekiranya dilihat objektif penubuhan TH di bawah Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969, ianya jelas bertujuan untuk membolehkan orang-orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi menunaikan fardhu haji atau perbelanjaan lain yang bermanfaat dan membolehkan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan di bidang penanaman modal secara halal serta untuk memberi perlindungan, pengawalan dan kebajikan kepada jemaah yang menunaikan fardhu haji. Secara umumnya kita dapat tafsirkan TH bukanlah sebuah organisasi berpaksikan keuntungan semata-mata tetapi untuk menjaga kebajikan dan melindungi hak-hak umat Islam. Di dalam konteks ini, persoalan yang berbangkit ialah adakah penyenaraian THP ini menepati matlamat murni penubuhan TH?

Ada benarnya fakta yang menyatakan bahawa objektif TH dapat dicapai melalui penyenaraian ini berdasarkan faktor keuntungan tinggi bakal dikaut dan dapat mengukuhkan kedudukan kewangan. Namun begitu terdapat faktor lain yang perlu diambil kira termasuk sensitiviti umat Islam yang bergantung harapan pada TH. Adakah TH benar-benar memerlukan penyenaraian ini untuk membantu umat Islam terlibat secara langsung dengan bidang penanaman modal? Kekhuatiran ini dapat dirasakan lebih-lebih lagi apabila penyenaraian ini akan membuka peluang kepada orang bukan Islam membeli saham TH dan seterusnya menggugat pegangan saham orang Islam. Harus diingat pendeposit-pendeposit TH adalah terdiri daripada semua peringkat masyarakat termasuk orang kampung yang kurang berkemampuan dan kebajikan mereka ini perlu dijaga dan dihormati.

Faktor yang perlu juga diberi perhatian ialah pakej insentif yang diberikan kerajaan negeri kepada THP dengan menganugerahkan tanah seluas 16,000 hektar secara istimewa pada kadar harga rendah yang dikenakan berbanding dengan entiti atau syarikat-syarikat yang lain. Sepatutnya melalui insentif ini THP tanpa perlu langkah penyenaraian mampu mengaut keuntungan tinggi dari masa ke semasa. Kesan daripada penyenaraian ini seperti yang diutarakan bekas Pengerusi TH, Tan Sri Hanafiah Ahmad, bakal menjejaskan peluang pembukaan baru ladang THP pada masa akan datang kerana kemungkinan insentif-insentif khas TH boleh ditamatkan.

Dari aspek syariah, penyenaraian ini sememangnya diakui tidak bertentangan dengan hukum syarak dan sudah tentu langkah ini telah mendapat kelulusan Majlis Penasihat Syariah. Perlu juga difikirkan kembali, adakah aktiviti di pasaran saham ini benar-benar seratus peratus bersih dari segi syariat dan seterusnya akan menjamin kesucian wang pendeposit TH yang kesemua mereka ini berniat untuk menunaikan fardu haji. Sekiranya tiadanya pemantauan secara teliti kemungkinan percampuran aktiviti halal dan syubhah akan serba sedikit menggugat kesucian saham TH yang dipegang oleh umat Islam negara ini.

Berdasarkan faktor-faktor di atas kajian semula perlu dilaksanakan sebelum menyenaraikan TH. Kita juga maklum bahawa saban hari kos jemaah haji semakin meningkat dan insentif yang disediakan TH belum dapat memuaskan hati umat Islam. Sekiranya penyenaraian ini benar-benar dapat mengurangkan kos jemaah haji hingga lima puluh peratus umpamanya berkemungkinan masyarakat akan dapat menerima langkah penyenaraian ini. Prestasi dan rekod buruk beberapa pelaburan TH sebelum ini menambahkan lagi kerisauan umat Islam dalam hal ini. Oleh itu TH perlu menimbangkan kembali hasrat penyenaraian THP di Bursa Malaysia dengan mengambil kira semua faktor dan pandangan semua pihak termasuk pendapat pendeposit-pendeposit TH sendiri.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR