Info Bangsa Malaysia: Hab Informasi Digital

September 15, 2021
editor@abim

Info Bangsa Malaysia: Hab Informasi Digital

Malaysia merupakan sebuah negara bertuah, yang menjadi kebanggaan bersama. Lintasan sejarah global menunjukkan betapa pentingnya ‘Malaysia’ dalam pemposisian strategik peradaban dunia.

Dari sudut sumber daya bumi, lokasinya yang strategik, kekayaan sumber mineral dan galian; kesuburan tanah tanihnya; dan kenyamanan iklim khatulistiwa; menjadikannya salah satu daripada lokasi paling diidamkan di muka bumi ini.

Manakala dari aspek sumber daya manusia, keramahan warganya dengan pegangan nilai keTimuran, yang terpasak dalam budaya penghidupan bangsa, adalah ciri kelompok manusia paling layak dan sesuai mendiami bumi paling bertuah ini.

Adunan ini yang membentuk ketamadunan rantau ini dengan ditandai ciri khasnya, kosmopolitanisme. Kosmopolitan Malaysia adalah suatu warisan zaman-berzaman yang mesti dipertahankan dengan sepenuh hati.

Tuhan Yang Maha Esa telah menentukan takdir sejarah ini buat kita, yang diamanahkan untuk mendiami dan memakmurkan bumi ‘Malaysia’ ini.

Konsep Bangsa Malaysia bukanlah dengan mewujudkan satu bangsa baharu dan melenyapkan identiti bangsa tertentu, tetapi konsep ini menekankan perkongsian nilai yang sama antara semua kaum dan etnik di Malaysia.

Tiga perkara asas menjelaskan Agenda Bangsa Malaysia ABIM. Pertama, ia bersifat ‘post-political nation building’ dan menjangkau acuan dan tafsiran pemimpin politik. Sebaliknya, ia adalah gagasan ‘bottom up’ bukan ‘top down’ yang datang dari rakyat akar umbi menerusi pentas Badan Masyarakat Madani (CSO).

Kedua, ia adalah kesepakatan nilai-nilai bersama untuk memajukan masyarakat dan negara seperti nilai bangsa bermaruah, tolak rasuah, berdaya, mandiri, bantu-membantu, sayangi alam dan sebagainya.

Ketiga, menerusi kesepatakan nilai, ia membawa kepada usaha inklusif pemberdayaan masyarakat dan mencorak jalan penyelesaian masalah seluruh warga, berlandaskan persepektif bersama dengan tiada warga satu kaum yang tertinggal.

Dalam kesedaran ini, platform digital INFO BANGSA MALAYSIA diwujudkan. Ia merupakan suatu hab informasi digital berkaitan wacana dan kegiatan dalam usaha peneguhan Bangsa Malaysia yang ditandai dengan citra kohesi sosial dan wawasan perpaduan nasional.

Semua usaha ke arah menciptakan sebuah bangsa bermaruah yang bersatu padu, ikhlas dalam penghidupan, hidup bersama dalam budaya damai dan utuh dalam menegakkan prinsip keadilan dan kebenaran, wajar didukung oleh semua warga.

Tonton Siaran Ulangan Siri Simposium serta Webinar Bangsa Malaysia anjuran ABIM bersama Majlis Belia Malaysia (ABIM), Projek Wawasan Rakyat (POWR), Projek Bangsa Malaysia (PBM) dan lain-lain rakan strategik di FB @BangsaMalaysia.info dan/atau di Youtube: Info Bangsa Malaysia

Ayuh #BangsaMalaysia! Hidup bersama dalam budaya damai!

#BangsaMalaysia #BantuMembantu #BangkitBersama

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR