Islam & Pemikiran Reformis Masa Hadapan: Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan

January 23, 2019
editor-media

Saudara Faisal menelurusi persoalan Islah, reformis Islam berlandaskan prinsip akar fiqh al-islah. Beliau berjaya meluruskan kekeliruan pemikiran yang berkecamuk lantaran bercambahnya ittijahat (aliran) dan pemakaian istilah dari konsep secara longgar yang menyimpang dari pengertian asal.

Maqasid al-Shar’iah diuar-uarkan oleh semua pihak termasuk penguasa untuk mempertahan helah politik masing-masing. Jawapannya bukanlah dengan mempopular slogan yang turut dicanang oleh juak-juak termasuk kalangan agamawan. Sebaliknya yang dituntut adalah wacana segar berlandaskan hujah sepertimana yang dilakarkan pengarang.

Selain mengupas konsep dan menggagaskan pembaharuan naratif seperti muwatinun, yakni muafakat dalam masyarakat plural, yang dahulunya dipopularkan melalui konsep li ta’arafu , pengarang turut mengimbau aliran pemikiran reformis Islam semasa, dan antara yang saya kira menarik dalam konteks masyarakat Malaysia adalah dengan mengaitkan persoalan konsep dengan kontroversi pelaksanaan hukum, konsep negara Islam dan kalimah Allah.

Lontaran ide pengarang muda dilontarkan secara akademis dan menunjukkan kepekaan terhadap permasalahan negara dan rakyat. Ini memenuhi pengertian konsep penyertaan dengan kefahaman dan kepekaan – “personal democracy” – yang ketara berbeda dari politik adu domba untuk mengaut khazanah negara dan meneruskan penindasan.

Salam Reformasi

ANWAR IBRAHIM

Sungai Buloh 31 Mac 2018

*Dipetik daripada kata pengantar Anwar Ibrahim dalam Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan: Pemikiran Reformis Masa Hadapan karya Sdr Muhammad Faisal Abdul Aziz

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR