Islam & Pemikiran Reformis Masa Hadapan

January 23, 2019
editor-media

Tulisan ini adalah kata pengantar buku “Islam & Pemikiran Reformis Masa Hadapan: Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan” Anak muda adalah sebahagian daripada gelombang perubahan yang mencorak ketamadunan manusia.

Gelombang perubahan tersebut dirujuk sebagai Nahdah yang berakar daripada bahasa Arab yang bermaksud bangkit (Lisanul Arab). An-nahdah pula adalah bermaksud bangkit dari kekaburan atau kegelapan.

Nahdah merupakan satu proses dari reformasi – islahi untuk membangkitkan kesedaran dan potensi umat dari tahap sedia ada ke satu tahap yang lebih baik, tinggi dan sempurna sesuai dengan martabatnya, sepertimana yang pernah digambarkan oleh Almarhum Ismail Raji al Faruqi’.

Justeru, pemikiran reformis dalam kerangka nahdah bukanlah suatu rekayasa baharu yang bermula dari sifar tanpa sebarang asas pijakannya. Ia merupakan satu proses revisiting dan reinventing yang merupakan sebahagian dan proses muhasabah ke arah pengislahan.

Perkembangan islah dan tajdid tidak dapat dipisahkan dari proses pembaharuan pemikiran serta intelektual yang futuristik melangkaui zamannya. Maka, tidak dapat tidak, pasti akan ada golongan anak muda yang mewakili semangat zaman untuk menggalas amanah gelaran “agen perubahan masyarakat” lantas menjadikan mereka sebagai peneraju tajdidi-islahi.

Buku “Islam & Pemikiran Reformis Masa Hadapan: Mencerahkan Maqasid Yang Digelapkan” adalah sebahagian daripada manifestasi anak muda yang ingin tampil dan mencorak perubahan dalam masyarakat. Tema-tema perbincangan yang diketengahkan penulis mampu merangsang kita untuk menilai sesuatu perkara secara kritis.

Semoga penerbitan buku ini mampu merangsang penulis dan ramai lagi generasi muda untuk mencetuskan perbincangan ke arah membina gagasan pemikiran yang lebih segar untuk masa hadapan.

Mohamad Raimi Ab Rahim Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR