Jangan Sampai Pidato Jadi Kudis dan Kurap

August 5, 2014
editor-media

Barangkali memang kriteria pemimpin mesti mempunyai kebolehan bercakap dan berpidato. Namun demikian, bukan semua pemimpin mampu berpidato dengan baik. Ada yang hanya mampu berpidato musim-musiman iaitu ketika musim pilihanraya sahaja. Selepas itu pidatonya semakin garau, bingit dan akhirnya lesu-bisu.

Ada yang mampu berpidato dalam nada memaki hamun dan menghalau –halau, tidak kurang juga yang mampu berpidato dengan baik, lunak dan menjadi pencetus revolusi. Kata bijak pandai, “If a man wishes to become a great orator, he must first become a student of the great orators who have become before him”. Orator dan pemidato yang baik mesti mempunyai 3 komponen utama di dalam pengucapan atau pidatonya iaitu: stail (gaya), pengisian (substance) dan impak.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa memang terdapat pemidato-pemidato di kalangan pemimpin dunia yang mampu berpidato dengan gaya, substance dan impak. Nama-nama seperti Theodore Roosevelt, Winston Churchill, John F Kennedy, Ronald Reagan, Sukarno, Hamka dan Dr Burhanuddin Al Helmy membarisi barisan pemidato unggul dalam kelas tersendiri. Tidak semua pidato pemimpin ini akhirnya akan meyakinkan rakyat apatah lagi ia pidato dengan senandung lagu yang sama. Jika tidak berkempen dengan aib dan fitnah, ia pastilah taburan janji manis yang semakin memualkan.

Maka teringatlah saya kepada sajak oleh seorang sasterawan terkenal Indonesia, Pak Mustofa Bisri di dalam puisinya, “Jangan Berpidato” [Bisri: 1993]

Jangan Berpidato!

Kata-katamu yang paling bijak

Hanyalah bedak murah yang tak sanggup lagi

Menutupi koreng-borok-kurap-kudis-panu-mu

Peradaban koreng! Hak asasi borok!

Perdamaian kurap! Demokrasi kudis!

Humanisasi panu! Berlagaklah adi siapa peduli

Bangunanmu tinggal cantik di luar

Tinggal menunggu saat ambyar

Puisi ini mengacu kepada kenyataan bahawa penguasa pada saat berpidato seringkali menjanjikan sesuatu. Pada kenyataannya, kata-kata yang dijanjikan tersebut hanya berfungsi seperti bedak iaitu untuk menutupi kekurangan-kekurangan yang ada. Oleh kerana itu, sebaiknya pemimpin tidak berpidato, hal in diekspresikan melalui kalimat “Jangan Berpidato”. Pak Mustafa Bisri juga menggunakan perkataan koreng, borok, kurap, kudis dan panu yang merupakan jenis-jenis penyakit kulit.

Manakala “Peradaban, hak asasi, perdamaian, demokrasi dan humanisasi” merupakan aspek-aspek yang sering dijanjikan dalam pidato penguasa. Aspek-aspek tersebut sebenarnya merupakan aspek-aspek yang manis untuk didengar tetapi kemudian sekaligus menjadi menjijikkan dan memuakkan seperti penyakit kulit. Hal ini disebabkan kata-kata tersebut hanya manis di mulut sahaja tetapi tidak ada perwujudannya.

Pembicaraan yang hanya manis di mulut sahaja menyebabkan sebuah krisis kepercayaan terhadap penguasa, sehingga pidato dan bicara sang penguasa tersebut langsung tidak lagi dipedulikan rakyat. Krisis kepercayaan yang wujud ini akan menyebabkan kemegahan sebuah Negara menjadi luntur dan lambat laun akan runtuh. Maka di saat itu, pidato berapi dan berasap mana pun tidak akan dapat lagi membeli hati dan keyakinan rakyat.

Sayugia ingin saya berpesan bahawa, pidato manis tidak dapat menutup isu rasuah dan moral yang korup. Kempen yang berapi tidak dapat menukarkan persengketaan kaum yang sedang rapuh menjadi harmoni sekiranya setiap hari kempen ini diapi-apikan dengan sentimen perkauman yang mencucuh prasangka. Kata-kata pemimpin tidak boleh bernada rajuk dan mungkir.

Asal merajuk, mulalah rakyat di bawah ini dihalau dan diperkecilkan. Malah kemungkiran janji ini adalah yang paling menakjubkan! Janji hari ini harga tidak naik kerana untung, belum sempat sampai besok, harga dinaikkan kerana sudah ketentuan dan tidak dapat dielakkan. Begitu juga janji untuk melaksanakan agenda demokrasi yang lebih demokratik, menjunjung Perlembagaan Persekutuan untuk menjaga hak dan kepentingan, kemungkiran juga berlaku apabila pemimpin mengamalkan hak asasi terpilih dan gagal mendamaikan kepelbagaian rakyat yang mesti disantuni dan disikapi dengan bijak.

Kegagalan memahami bahasa rakyat dan keperitan hidup rakyat marhaen juga suatu kemungkiran yang sukar dimaafkan. Ucapan, pidato dan bicara pemimpin ini ibarat candu yang didambakan oleh para pendengarnya. Tetapi jika ia hanya pidato basa-basi, tiada siapa yang mahu mendengarnya. Generasi muda juga semakin cerdik dan enggan diperbodohkan. Pidato oleh pembesar yang membaca teks hasil perahan otak orang lain menjadikan pemimpin itu tidak bermaya dan hanya mampu menjadi pembaca teks yang baik. Sampai bila pemimpin akan berpidato tanpa idealisme dan menganggap rakyat akan menerima tanpa kritikan dan berfikir?

Berpidatolah dengan menggunakan bahasa yang difahami rakyat, beraku janjilah dengan janji yang diakhiri dengan Insya Allah, jagalah pertuturan agar bahasa yang digunakan tidak melukakan rakyat, berbahasalah dengan bahasa yang melunakkan dan mendidik rakyat. Sebagaimana kisah Nabi Sulaiman yang sudi mendengar dan mengerti bahasa rakyat semut dan penderitaan rakyat semut. Selamat berpidato kepada semua wakil yang diankat oleh rakyat, tetapi jangan sampai pidato kalian menjadi kudis, panau dan kurap di mata rakyat!

Disediakan Oleh: Fadhlina Siddiq

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR