Gunnar Myrdal meletakkan salah satu elemen dalam Kitaran Kemusnahan Kemiskinan ialah makanan. Apabila kadar kelahiran tinggi, tanpa ditampung oleh pendapat yang mencukupi, kualiti makanan akan menurun. Keluarga yang berhadapan dengan situasi ini akan mengehadkan perbelanjaan termasuklah makanan. Anak-anak dibesarkan dalam situasi kekurangan gizi yang berkhasiat. Akibatnya, perkembangan mental dan fizikal anak-anak ini akan terjejas. Mungkin ia bermula dari kelemahan fizikal dan akhirnya akan merebak kepada kemerosotan mental.
Inilah yang dinyatakan oleh Gunnar Myrdal pada tahun 1975, apabila beliau memerhatikan keadaan ekonomi negara-negara yang mundur. Masalah yang disebabkan pemakanan ini akhirnya akan melahirkan generasi yang tidak kompeten yang menjejaskan pengembangan ekonomi negara tersebut. Begitulah pentingnya makanan. Ia bukan sahaja untuk mengenyangkan perut tetapi ia mendatangkan kesan terhadap masyarakat seluruhnya terutamanya ekonomi.
Maka bagi menjamin agar satu sistem jaminan sosial yang mantap, Islam menyarankan agar setiap penganutnya memainkan peranan. Permasalahan ini bukan sahaja berada dipundak kerajaan tetapi juga perlu diberikan perhatian oleh setiap insan yang bernama muslim. Firman Allah dalam surah al-Maun :
Dan ia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.
Perkara yang menarik dalam ayat ini adalah Allah memerikan secara langsung soal makanan kepada orang miskin. Bukan keperluan asas lain seperti pakaian dan tempat tinggal. Kemungkinan inilah yang dimaksudkan Allah dalam pembelaan terhadap orang miskin perlu bermula dari perutnya, kesihatannya barulah akan melahirkan produktiviti yang mampu mengeluarkannya dari perangkap kemiskinan. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Tidak sempuna keimanan seseorang itu kepadaku, seorang yang tidur dalam keadaan kenyang, sedangkan jirannya dalam keadaan lapar, padahal dia mengetahui keadaan tersebut.” HR : al-Thabrani Inilah signifikannya kenapa zakat fitrah turut dikaitkan dengan makanan asasi.
Nilai zakat fitrah adalah nilai yang sekadar dengan makanan ruji satu-satu masyarakat. Makanan atau keperluan fisiologi amat kuat kaitannya dengan lingkaran pemusnah kemiskinan. Selain dari itu, tugas dan tanggungjawab menyediakan satu sistem keselamatan sosial (social security) adalah tugas setiap muslim. Ia perlu dipikul oleh setiap anggota masyarakat. Kelaparan adalah perkara asas yang perlu dibanteras oleh setiap anggota masyarakat muslim.
Inilah sebabnya kenapa Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersungguh-sungguh mengerakkan ‘Kempen Seorang Sekampit Beras’ (KSSB) menjelang setiap kali Ramadhan. Tahun ini merupakan tahun yang kelapan ia digerakkan. Satu gerakan yang menyusur ke setiap pelosok negara. Menerusi program ini para aktivis dakwah turun menyantuni masyarakat khususnya mereka yang tergolong dalam kelompok miskin ini.
Sempena Ramadhan 1435H, melalui Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB), sejumlah RM 400,000 telah berjaya dikumpulkan dan telah diagihkan kepada 8 000 buah keluarga di seluruh Malaysia yang terdiri pelbagai latarbelakang kehidupan. Terima kasih kepada penyumbang yang sungguh murah hatinya.
Sepanjang perlaksanaan KSSB, pelbagai cerita telah pihak kami rakamkan. Kegembiraan terpancar di wajah mereka apabila menerima bantuan sumbangan daripada para penyumbang. Ia merupakan satu pintu masuk yang memberikan pelbagai cerita. Cerita di sebalik kesusahan dan kemiskinan masyarakat.
Sukarelawan KSSB telah ditemukan dengan kisah seorang penerima yang pasrah serta redha lantaran persiapan raya musnah di dalam sebuah kebakaran. Ada penerima yang terpaksa menanggung kos rawatan perubatan anak yang menghidapi penyakit hati. ABIM turut berkesempatan mendengar rintihan hati bonda keluarga Allahyarham adik Muhamad Hafiz Abdul Ghani (yang meninggal dunia akibat dipukul bapanya). Kisah-kisah ini hanyalah sebagai rangkuman daripada pelbagai rencah suka-duka kehidupan menjadi titipan buat diketengahkan kepada masyarakat yang prihatin.
Para aktivis dakwah ini turut melakukan susulan sekiranya menerima aduan atau masalah masyarakat seperti masalah perkahwinan, kesihatan dan termasuk undang-undang. Yang amat membahagiakan adalah sikap prihatin dan kemahuan untuk berlumba-lumba membuat kebajikan. Dari sini kita masuk ke jabatan-jabatan kerajaan untuk menguruskan masalah umat agar mendapat perhatian yang sewajarnya. Dengan perhatian serta kerjasama yang diberikan pihak jabatan serta institusi kerajaan, kami meringankan beban yang dihadapi Puan Siti Habibah serta anak-anaknya. Terima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana membantu menyelesaikan pendaftaran dokumen-dokumen asas anaknya (Puan Siti Habibah), Firdaus dan adik-adiknya. Sekalung budi juga buat pusat zakat kerana membantu keluarga tersebut mendapatkan kediaman yang selesa. Insya’Allah nasib dan kepentingan golongan yang memerlukan akan kami perjuangkan menerusi rangkaian program di bawah Projek Prihatin (Protin).
Terima kasih kepada para penyumbang. Syabas kepada aktivis muda dakwah, andalah wira umat. Semoga kita tergolong dalam golongan mereka yang disabdakan Rasul: “Orang yang berusaha memenuhi keperluan para janda dan orang miskin adalah seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Dia juga seperti orang yang beribadah tanpa rasa lelah serta seperti orang yang berpuasa terus-menerus (tanpa berbuka)”. HR : Syaikhan
Disediakan Oleh: Amidi Abd Manan, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)