ABIM GESA DASAR LEBIH KETAT BUAT PEMANDU MABUK - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

ABIM GESA DASAR LEBIH KETAT BUAT PEMANDU MABUK

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada kes kemalangan baru-baru ini yang
didakwa berpunca dari kesalahan pemandu di bawah pengaruh alkohol yang menyebabkan
kematian Allahyarham Muhammad Zulfakkar Borhan.


ABIM memandang serius kes-kes kemalangan akibat daripada kesalahan di bawah pengaruh
minuman memabukkan yang sudah pasti menggugat kesejahteraan pengguna jalan raya lain.
Menerusi laporan berita semasa, seolah-olah kes-kes sebegini semakin meruncing dan
memerlukan satu tindakan penyelesaian yang tuntas.


Justeru, bagi memelihara keselamatan seluruh pengguna jalan raya, ABIM menegaskan bahawa
sudah tiba masanya pihak berkuasa bertindak untuk mengetatkan lagi hukuman ke atas
pemandu yang dinyatakan. Ini termasuk dengan meminda Seksyen 45 A Akta Pengangkutan
Jalan 1987 dengan meletakkan hukuman hilang kelayakan memandu seumur hidup sebagai
pendidikan supaya tiada lagi yang memandu ketika berada di bawah pengaruh alkohol.
ABIM melihat langkah-langkah untuk menyelesaikan isu ini perlu diutamakan dan
diketengahkan terlebih dahulu sebagai satu usaha bersepadu Kementerian Pengangkutan
untuk memastikan keselamatan jalan raya terjamin.


Ini kerana langkah-langkah sebegini bukan satu perkara yang baharu di negara luar. Mengambil
contoh dasar “zero tolerance” buat pemandu mabuk yang dikuatkuasakan di wilayah New South
Wales, Australia pada Mei 2019, menyatakan mana-mana pemandu yang didapati mabuk akan
ditarik lesen memandu serta-merta.

Selain itu, sekiranya perbandingan dibuat antara peruntukan hukuman berkenaan kes sebegini
menurut undang-undang jalan raya di Malaysia dan Undang-undang di Singapura (Singapore
Road Traffic Act), kita dapat melihat beberapa peruntukan hukuman di dalam akta di negara
jiran adalah lebih berat berbanding dengan Malaysia. Ini termasuk peruntukan dalam Seksyen
67 dan 67A Singapore Road Traffic Act.


Dalam perkembangan berkaitan, ABIM juga akan bersama-sama Friendship Group of Inter
Religious Services (FGIS) untuk meneruskan program kesedaran berkaitan ‘Drugs, Alcohol,
Relationship, Time-management & Smoking’ (DARTS) di mana salah satu fokus utama adalah
untuk membendung masalah alkohol dalam kalangan masyarakat tanpa mengira agama dan
bangsa.

“MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN”

MUHAMMAD FAISAL BIN ABDUL AZIZ
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)