KRISIS PERLEMBAGAAN DAN DEMOKRASI BERPARLIMEN: MALAYSIA MENUJU NEGARA DIKTATOR?
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kenyataan yang dikeluarkan oleh
Yang Berbahagia Peguam Negara Malaysia bertarikh 25 Jun 2021. Isi utama dari
kenyataan pihak Peguam Negara adalah berkisar Perkara 39, 40 (1) dan (1A)
Perlembagaan Persekutuan berhubung tindakan titah Ke bawah Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin
Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah
yang dibatasi menerusi nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri dan Jemaah
Menteri.
Umumnya ia adalah satu cerminan sistem Raja Berperlembagaan iaitu tata cara dan tindakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah didasari oleh peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam masa sama, ia juga adalah manifestasi kepada Sumpah Jawatan bagi Yang
di-Pertuan Agong seperti yang termaktub dalam Perkara 37 serta Bahagian I Jadual
Keempat Perlembagaan Persekutuan yang antaranya menyatakan “maka dengan
lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku
akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia
dengan mengikut sebagaimana undang-undang dan Perlembagaan yang telah
disahkan dan dimasyurkan dan akan disah dan dimasyurkan di masa hadapan ini.”
Selain itu, Yang Berbahagia Peguam Negara turut menjelaskan situasi ketika darurat
tidak ubah sama seperti situasi di luar Darurat iaitu tindakan YDPA masih tertakluk di
bawah nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri berdasarkan penghakiman
dalam kes N Madhavan Nair v Government of Malaysia [1975] 2 MLJ 286.
RAJA BERPERLEMBAGAAN SELARI DENGAN AMALAN DEMOKRASI
BERPARLIMEN
ABIM sesungguhnya meyakini kenyataan yang berdiri atas paksi Raja
Berperlembagaan ini adalah demi mempertahankan hak rakyat, memelihara sistem
semak dan imbang serta amalan demokrasi di Malaysia. Maka, difahami bahawa
tindakan YDPA atas nasihat Perdana Menteri bermaksud atas nasihat yang datang dari rakyat memandangkan YAB Perdana Menteri seharusnya memiliki sokongan majoriti ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.
Dalam Perlembagaan Persekutuan, selain konsep Raja Berperlembagaan, prinsip
Demokrasi Berparlimen adalah penting yang menjadi dasar kepada sistem
pengasingan kuasa seperti yang termaktub dalam Bab 4 Badan Perundangan
Persekutuan, Perlembagaan Persekutuan.
Dalam erti kata lain, sekiranya kuasa YDPA harus disemak menerusi konsep Raja
Berperlembagaan seperti dijelaskan, kuasa-kuasa Perdana Menteri termasuk kuasa
untuk menasihati YDPA turut tidak terkecuali kewajipannya untuk disemak serta
dibatasi iaitu menerusi sistem Demokrasi Berparlimen.
Walaupun terdapat tafsiran bahawa Perlembagaan Persekutuan kini digantung
termasuk peruntukan yang mewajibkan sidang Parlimen diadakan susulan dari
Seksyen 18 dan Seksyen 14 (1) (a) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021,
namun Seksyen 14 (1) (b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menzahirkan
Parlimen masih beroperasi dan tertakluk kepada budi bicara YDPA. Ia dinyatakan
“Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog, dan dibubarkan pada suatu tarikh
sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong”
Dalam erti kata lain, prinsip Demokrasi Berparlimen masih diiktiraf ketika Darurat
dan ia terletak di tangan YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. Dari sini kita
boleh mengamati sistem semak dan imbang yang harus diangkat bagi memastikan
hak rakyat dapat dipertahankan iaitu menerusi gabungan antara prinsip Raja
Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen walaupun ketika dalam situasi
Darurat.
Konsep Raja Berlembagaan tidak boleh berdiri sendiri tanpa dukungan prinsip
Demokrasi Berparlimen. Malah tindakan YDPA mengeluarkan titah untuk Parlimen
segera bersidang adalah menepati konsep Raja Berperlembagaan iaitu tujuannya
bagi memastikan hak rakyat didukung. Dalam masa sama, Perkara 44
Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa YDPA adalah sebahagian dari
komponen Parlimen Malaysia yang menyimpulkan peranan besar YDPA untuk
mempertahankan Demokrasi Berparlimen. Perkara 44 menyatakan “Kuasa
perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah
terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali
sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”
Peranan Yang di-Pertuan Agong Untuk Semak & Imbang Kuasa Eksekutif
Justeru, menerusi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersama titah yang dikeluarkan Majlis Raja-Raja Melayu bertarikh 16 Jun 2021 supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin tanpa nasihat dari YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri adalah satu tindakan yang menepati Perlembagaan Persekutuan, tidak bercanggah dengan konsep Raja Berperlembagaan serta mengangkat prinsip Demokrasi
Berparlimen.
Namun, sekiranya kuasa YDPA untuk memanggil sidang Parlimen ketika Darurat
tertakluk kepada nasihat YAB Perdana Menteri atau Jemaah Menteri, maka seolah
prinsip pengasingan kuasa antara Eksekutif dan Legislatif tidak berlaku, maka ia
terbuka kepada penyalahgunaan kuasa oleh badan Eksekutif. Ini yang pernah
ditekankan oleh Prof Owen Hood Phillips dalam buku Constitutinal and
Administrative Law (1973) yang menyatakan:
“Political liberty is to be found only when there is no abuse of power.
But constant experience shows us that every man invested with power is
liable to abuse it and to carry his authority as far as it will go … To prevent this
abuse, it is necessary from the nature of things that one power should be a
check on another … When the legislative and executive powers are united
in the same person or body there can be no liberty. Again, there is no
liberty if the judicial power is not separated from the legislative and the
executive … There would be an end of everything if the same person
or body, whether of the nobles or of the people, were to exercise all
three powers”
Justeru, titah YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk memanggil sidang Parlimen
tidak harus dikesampingkan atas Batasan nasihat pihak Eksekutif memandangkan ia
satu-satunya jalan untuk memastikan kuasa Eksekutif disemak dan diimbang ketika
Darurat lebih-lebih lagi ketika kehidupan rakyat yang semakin tenat.
Muhammad Faisal Abdul Aziz
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
28 Jun 2021 / 18 Zulkaedah 1442 H