Kerajaan Reman Yang Pernah Wujud di Perak, Kini Semakin Dilupakan

February 21, 2022
editor@abim

Kerajaan Reman Yang Pernah Wujud di Perak, Kini Semakin Dilupakan

Jika sebelum ini kita telah membincangkan secara umum tentang Kerajaan Setul, kali ini kita telusuri pula sejarah sebuah lagi kerajaan silam yang sering dilupakan, iaitu Kerajaan Negeri ‘Ramak’, ‘Rahman’, ’Raman’ atau ‘Reman’.

Asalnya terletak di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu, ia pernah menjadi salah-sebuah daripada 7 buah negeri Persekutuan Pattani Besar, di antara 1810 hingga 1902. Tuan Long Mansur, kerabat dari Pattani, memerintah Reman hingga 1810.

Gerik merupakan ibu negeri kepada Kerajaan Reman. Kerajaan Reman pernah mendominasi kawasan Kelian Intan dan mengusahakan perlombongan bijih timah di kawasan tersebut, sehingga tercetusnya beberapa siri pertikaian dengan Perak.

Kerajaan Siam Menghapuskan Sistem Pemerintahan Beraja

Negeri Reman ini diperintah oleh empat pemerintah yang merupakan waris dari Tuan Tok Nik Tok Leh (1810 hingga 1836M), Tuan Nik Ulu/Tuan Kundur (1849 hingga 1867M), Tuan Timur (1867 hingga 1875M) dan yang terakhir iaitu Tengku Abdul Kandis/Tuan Jagung (1875 hingga 1901M).

Sehingga 1909, sempadan di antara negeri Reman turut merangkumi daerah Yala, Hulu Perak dan Ulu Kelantan. Dikatakan bahawa asal nama negeri ini daripada perkataan ‘ramak’ atau ‘ramai’, merujuk kepada pertambahan jumlah populasi di sana menjelang akhir Kurun ke-18.

Hanya Reman Hilir yang masuk ke dalam Perak (Perak percaya bahawa kawasan tersebut merupakan wilayah asal mereka) dan kawasan tersebut memang kaya dengan timah. Reman Hulu kini berada di dalam Provinsi Yala di Thailand. Wilayah Reman ini dalam kawasan Hulu Perak dimasukkan dalam pentadbiran Perak oleh British sewaktu perjanjian Bangkok 1909.

Kerajaan Reman dimansuhkan pada tahun 1902 dan ditadbir terus dari Bangkok. Kerajaan Siam menghapuskan sistem pemerintahan beraja bawah pemerintahan Raja Reman dan menyerahkan daerah Hulu Perak kepada kerajaan Perak yang berlangsung di Kroh (kini Pengkalan Hulu) pada 16 Julai 1909.

Situasi ini berbeza berbanding negeri-negeri Melayu lainnya (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu) yang masih mempunyai Raja atau Sultan sewaktu perjanjian Inggeris-Siam 1909. Perjanjian Bangkok memisahkan negeri Reman di mana bahagian Yala menjadi sebahagian Thailand, manakala Lenggong, Gerik dan Kroh di bawah British dimasukkan ke dalam pentadbiran Perak. Meskipun ramai orang Kelantan menetap di Reman, tetapi dialek Reman berbeza dengan dialek Kelantan.

Bekas Istana Tuan Jagung Masih Ada Hingga Sekarang

Hanya Kerajaan Setul Mambang Segara yang merupakan satu-satunya Kerajaan Melayu yang kekal di tangan Siam selepas 1909 (Raja Setul, Tengku Baharuddin merupakan seorang yang pro-Siam). Namun, ianya tidak lama kerana ia kemudian ditukar menjadi Satun yang ditadbir secara terus oleh Bangkok. Siam dikatakan berminat dengan Setul kerana terdapat peratusan penduduk Buddha yang tinggi di Setul berbanding Perlis dan Kedah.

Di samping itu, Kedah dan Perlis berada dalam satu dataran yang sama yang menceraikan Tanah Melayu. Kelantan terpaksa melepaskan daerah Tabal dan menerima sebahagian bekas wilayah Kerajaan Legeh dan Reman, manakala Perak memperolehi Reman Hilir. Kerajaan Setul Mambang Segara pula menjadi negeri naungan Siam.

Banyak juga tinggalan sejarah Kerajaan Reman. Bekas istana Tuan Jagung iaitu Raja Reman yang terakhir masih ada hingga sekarang di Kampung Selarong. Di Kampung Selarong juga terdapat makam permaisuri negeri Reman iaitu permaisuri Cik Neng. Permaisuri Cik Neng adalah isteri kepada Raja Reman yang terakhir iaitu isteri kepada tuan Jagung.

Bukit Nak Sah yang berketinggian 343 meter dan terletak di kawasan Kenayat, Gerik, dan berhampiran MRSM Gerik, mempunyai sejarah tersendiri. Pada 1882, perseteruan antara Reman dan Perak berakhir apabila perjanjian persempadanan dibuat.

Kerajaan British yang mewakili Perak dan Tuan Jagung (Raja Reman) yang mewakili Siam, bersetuju bahawa Bukit Nak Sah (kependekan kepada ‘nak disahkan satu perjanjian’) sebagai sempadan baru. Pada 1899, satu lagi perjanjian dibuat dengan meletakkan Kerunai di utara Gerik sebagai sempadan. Salah-satu batu sempadan Kerajaan Reman masih terdapat di Pulau Tali Kail.

Perang saudara akibat hasutan daripada pihak Kerajaan Sukothai dan British

Pada penghujung Abad ke-19, berlaku perang saudara di Lenggong. Dalam usaha Reman untuk mendapatkan kemerdekaan, Tuan Lebih Long Raya iaitu putera bongsu kepada Raja Reman dengan Permaisuri Cik Neng telah ditangkap oleh kerajaan Siam pada tahun 1899, dan dibunuh di Bangkok. Perang saudara ini dipercayai akibat hasutan dan tindakan melaga-lagakan daripada pihak Kerajaan Sukothai dan British, yang mahu menguasai negeri Melayu.

Pada 4 Januari 1984, sewaktu pemerintahan Sultan Perak Ke-33 iaitu Almarhum Sultan Idris al-Mutawakkil Alallahi Shah (Sultan Idris Shah II), baginda berkenan meminda nama Kroh kepada Pengkalan Hulu kerana tempat ini menjadi tempat persinggahan apabila baginda berangkat ke daerah Hulu Perak. Kaitan antara gajah dengan nama Kroh juga diabadikan menerusi logo Majlis Daerah Pengkalan Hulu.

Demikianlah kisah kegemilangan dan kewujudan negeri Reman, sebuah kerajaan negeri Melayu-Islam yang berdaulat. Lokasinya terbentang luas dari kawasan hulu sungai Pattani dan Sungai Tanjung Mas, sehinggalah ke kawasan Lenggong di negeri Perak. Semuanya bukan hanya tinggal kenangan, tetapi jauh lebih utama, untuk kita jadikan pedoman serta berusaha untuk mengembalikan kegemilangan serta martabat anak bangsa.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR