Lima Dekad Penubuhan ABIM: Merangka Transisi Dalam Tajdid Islami

August 12, 2020
editor-media

 

Lima Dekad Penubuhan ABIM

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memasuki dekad yang signifikan, bagi mengemudi Tajdid Islam dalam era peralihan menuju ke lima puluh tahun penubuhannya. ABIM ditubuhkan pada 6 Ogos 1971 dan menjadi organisasi Islam terawal di Malaysia yang membawa risalah tokoh Islah dan Tajdid,  Imam Hassan Al-Banna – pelopor gerakan Islam dalam sejarah dunia moden.

Pada masa yang sama, ABIM juga terbentuk daripada acuan pelbagai aliran pemikiran termasuk dari para sarjana tempatan dan rantau ini yang dipimpin oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Mohammad Natsir dan Buya Hamka.

Kemahiran Syed Naquib dalam seni juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap ABIM kerana dialah yang merekacipta logo rasmi ABIM yang menjadi lambang aktivisme ABIM hingga ke hari ini.

Ulama terkenal lain seperti Ismail Raji Faruqi dan Yusuf Al-Qaradhawi juga membentuk pemikiran gerakan dan karya mereka selalu dirujuk dan dibincangkan semasa usrah mingguan.

Keterbukaan dalam menelaah rencam intelektual ini menjadi pemangkin kepada ABIM untuk terus maju dalam menangani perubahan untuk memastikan bahawa elemen pemugaran Islam berkembang dalam idea dan aktivisme.

Memahami Islah dan Tajdid Islam

Islah dan Tajdid bukan lagi topik baru seperti yang dibahaskan oleh beberapa pihak. Ia telah dibahas sejak abad ke-16 dengan munculnya tokoh-tokoh di Asia Tenggara dengan sumbangan besar untuk mereformasi budaya masyarakat dan tasawur mereka.

Di antara tokoh-tokoh ini ialah Abdul Raof Singkel, sarjana yang berpegang pada prinsip,  mengiktiraf hak wanita untuk menjadi Sultan di Acheh walaupun majoriti ulama pembawaan tradisional ketika itu tidak bersetuju.

Ulama lain termasuk Nurudin al-Raniri dan Syeikh Yusuf Al-Makassari yang telah menyedarkan masyarakat dalam menerapkan pemahaman rasional mengenai sufisme dalam Islam dan mereformasi sistem keadilan pentadbiran di negeri masing-masing ketika kedua-duanya dilantik sebagai Mufti.

552e21257b8c2d9ca6b5001557f83918

Gerakan Reformis Islam memasuki fasa kedua pada abad ke-18 sebagai tindak balas terhadap penjajahan Barat. Fasa ini menyaksikan kemunculan tokoh seperti Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Hassan Al-Banna dan yang seumpamanya dengan panji kata ‘Kebangkitan Islam’.

Tokoh-tokoh ini telah mengambil jalan pertengahan dalam menanggapi penjajahan dengan menerima pengetahuan dan kemajuan teknologi sebagai alat untuk membebaskan masyarakat Muslim dari kemunduran ekonomi.

Pada masa yang sama, mereka mengangkat pemikiran rasional ajaran Islam dalam konteks sistem kehidupan politik dan sosial, dan seterusnya bersedia menerima sistem demokrasi berparlimen sebagai sistem baru di dunia Muslim.

Mereka melihat penjajahan dengan dua cara. Pertama, mereka dengan teliti mengkaji kelebihan yang ada di sebalik penjajahan di dunia Muslim dan bagaimana kelebihan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar memimpin umat Islam bangkit dari zaman kemunduran.

Pada masa yang sama, mereka mengakui perlunya meningkatkan pemahaman tentang Islam melalui dakwah intensif ‘Islam sebagai cara hidup’.

Dalam konteks dunia Melayu, penubuhan ABIM mempunyai kaitan langsung dengan agenda penegasan semula identiti orang Melayu dan kembali untuk memahami Islam sebagai cara hidup.

Agenda-agenda ini sangat diperlukan memandangkan ratusan tahun Tanah Melayu berada di bawah pengaruh penjajahan barat, era yang ditulis sebagai “tempoh waktu de-Islamisasi dan sekularisasi” oleh M Rasjidi dalam“The Role of Christian Mission: The Indonesian Experience” – “Peranan Misi Kristian: Pengalaman Indonesia ” dalam International Review of Mission.

Fakta serupa diolahkan oleh Dr Siddiq Fadzil bagi menunjukkan bahawa “pembaratan-sekularisasi politik Melayu secara rasmi dimulai pada tahun 1874 dengan Perjanjian Pangkor yang menyiratkan dikotomi yang jelas antara agama dan politik.”

ABIM telah mencetuskan anjuran perbincangan mengenai buku-buku “Islam & Sekularisme” dan “Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu” oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beberapa ideanya kemudian diterima sehingga mempengaruhi  penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan ISTAC.

Kewujudan tajdid dan islah dalam Islam perlu difahami sebagai datang dari keyakinan dan kepercayaan yang kuat bahawa Islam sebagai agama ketuhanan mendorong keterbukaan dalam menerima islah.

Bilangan ahli falsafah yang berkembang dalam bidang keilmuan Islam dari satu era peradaban ke era yang lain jelas menggambarkan suasana yang terbuka dan fleksibel di dunia Islam.

Oleh itu, bukan sikap atau pendekatan gerakan Reformis Islam untuk bersikap apologetik terhadap apa tanggapan pengkritik Islam atau gerakan Islam – iaitu kita tegaskan bahawa persekitaran terbuka untuk wacana memang berasal dari keyakinan bahawa Islam memperjuangkan kemajuan,
kebebasan, keadilan dan hak asasi manusia.

Idealisme Transisi Pardigma Gerakan Islam

Libat serta, Islah dan Akauntabiliti

Setelah beberapa abad memberikan sumbangan yang besar kepada dunia Islam, intipati Tajdid dan Islah Islam harus diterima secara menyeluruh dan relevansinya dipertahankan dengan memperkayakan pengisian wacana asasi dan idealismenya.

Pertembungan idea dalam pemikiran tertentu dalam tajdid Islam tidak lagi dapat dijadikan tema yang menambat kemajuannya.

Gerakan Islam harus melampaui dan menjangkau lebih jauh daripada kerangka kolonial, pasca-penjajahan dan kejatuhan kekhalifahan dalam konstruk ideologi mereka.

Dunia masakini menuju kepada objektif bersama seluruh warga antarabangsa. Ini dapat dilihat melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 –  iaitu bagaimana umat manusia bercita-cita dengan nama persaudaraan global saling membantu mengangkat martabat dan prestij manusia tanpa meninggalkan sesiapa pun.

Persoalan yang dihadapi kita sekarang ialah – bagaimana Islah dan Tajdid Islam dapat memanfaatkan objektif bersama ini untuk membawa pembangunan lestari sebagai mekanisme penyelesaian terhadap masalah-masalah kemunduran di negara-negara Muslim?

Wacana Islah (reformasi) harus lebih dimengerti melalui konteks realitas, yang sama dengan perlunya memiliki ijtihad (penalaran hukum) sebagai panduan dalam menghadapi pembaharuan dan perubahan dalam masyarakat yang sedang membangun.

Dalam sejarah penyesuaian masyarakat terhadap perubahan, pertembungan antara tradisi dan modenisasi sering terjadi yang akhirnya menghalang masyarakat ke hadapan. Ini kemudian menjadi objektif Tajdid Islam untuk menjadi medium pertengahan untuk mengimbangi perbezaan dan mencari jalan untuk mengembangkan budaya baru dan cara berfikir masyarakat daripada terus jumud, dan membawa masyarakat ke arah kemajuan dan mengikuti perubahan.

Oleh itu, agenda untuk membawa islah atau pemugaran tidak dibatasi dalam kerangka hitam-putih atau konfrontasi, tetapi harus bersifat inklusif, membina jambatan dan menghargai spektrum luas dan struktur masyarakat pelbagai kaum, berkongsi rasa kepemilikan dengan semua anggota masyarakat.

Ini termasuk berkongsi aspirasi dan agenda dengan semua rakyat dan pihak mempunyai hak. Kerjasama ini tidak boleh hanya terbatas pada kegiatan yang dimulakan, tetapi juga dari segi objektif untuk membawa reformasi demi kemajuan masyarakat.

Di dunia nyata hari ini, terdapat pelbagai pihak berkepentingan yang masing-masing berusaha untuk menyumbang kepada masyarakat. Salah satu contoh penting ialah kebangkitan ‘milenial’ yang menjadi kekuatan dalam memperjuangkan ‘ekonomi gig’ – ‘pekerja bebas’ dan membantah perubahan iklim. Pertumbuhan kumpulan ini tentunya memerlukan libatserta dan kolaborasi pintar dengan gerakan Islam.

Di samping itu, para Reformis Islam harus benar-benar  mempunyai komitmen untuk memenuhi matlamat tertinggi dari ideanya iaitu untuk membawa kesejahteraan kepada masyarakat. Kelaziman buruk iaitu menganjur idea tanpa dipertanggungjawabkan terhadap kesan idea itu terhadap masyarakat seharusnya tidak lagi berlaku.

Oleh yang demikian, konsep politik berjalur agama harus membawa maksud universal iaitu untuk memberikan keadilan dan hak kepada semua manusia, dan tidak boleh terbatas pada penubuhan “negara Islam” misalnya.

Kegagalan untuk memahami objektif menggabungkan politik dan agama akan mendedahkan agama dan kuasa untuk  dimanipulasi oleh mana-mana rejim bagi menganiaya dan menindas rakyat atas nama agama.

Pendirian dan kedudukan yang sama juga perlu bagi menangani isu pelaksanaan Syariah – Syariah mesti  menjadi proses yang penting demi menjamin kesejahteraan masyarakat.

Tanpa mempertimbangkan dua aspek ini, kita meramalkan timbulnya masalah gerakan Islam dalam arena politik yang digambarkan sebagai “tidak bersedia untuk memerintah secara efektif, tidak telus, mengabaikan dasar awam dan visi strategik negara” oleh Fawaz A Gerges dalam bukunya “Making The Arab World: Nasser, Qutb, And The Clash That Shaped The Middle East.”

Secara keseluruhan, seperti yang telah diketengahkan, gerakan Islam, melalui prinsip Islah, bersama dengan usaha libatserta dan akauntabiliti yang kuat dapat posisi yang tinggi dan tetap relevan di mata masyarakat.

Pembaharuan pemikiran transisi ini akan memperkayakan khazanah Reformis Islam agar lebih luas serta lebar jangkauannya dan dapat dirujuk oleh generasi akan datang bagi menyediakan penyelesaian untuk masyarakat di masa depan.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR