Oleh Mohamad Raimi Ab Rahim,
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia
Keterbukaan yang dijanjikan seiring dengan ketibaan Malaysia Baharu perlu dimanfaatkan untuk merancakkan lagi agenda dakwah di lapangan. Keterbukaan yang merupakan asas penting kepada perkembangan aktivisme dakwah perlu dikekalkan sepertimana yang diperingatkan oleh tokoh pendakwah berpengalaman, Dr Hisham At-Thalib dalam lawatannya ke Malaysia September 2018 yang lalu.
“Usaha dakwah menjadi sukar apabila ia tidak lagi dilihat sebagai sebuah misi tetapi lebih berbentuk domain eksklusif kelompok individu. Kita seharusnya berusaha untuk mengelakkan dari penampilan diri membatasi pengisian,kelesuan mengatasi keberhasilan, pengorbanan dibatasi kepentingan peribadi, dan kepura-puraan menutupi kejujuran. Ketika usaha Da’wah menjadi eksklusif dan sempit, ia membangkitkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan akan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk mencari kelemahan yang boleh menjatuhkan usaha murni ini. Sifat sebenar dakwah itu sebenarnya adalah menyeluruh, terbuka dan meraikan semua. Dakwah merupakan suatu misi, bukan perkumpulan kelompok eksklusif dan elitis.” (At-Talib: 2014)
Sesuai peredaran masa dan zaman; anak muda dari pelbagai kelompok, latar belakang dan bakat untuk dilatih sebagai daie yang mampu mengemudi arus perubahan era Malaysia Baharu.
Memartabatkan Amanah Umat
“Sesungguhnya kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Supaya Allah memberikan pengampunan terhadap dosa-dosa yang lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan ni’matnya atasmu dan memimpin kamu ke jalan yang lurus. Dan supaya Allah menolongmu dengan pertolongan yang kuat. Dialah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang Mu’min supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang sedia ada).” (Al-Fath: 1-5)
Menurut pengarang Tafsir Fi Zilal al Quran, Rasullullah s.a.w sungguh amat senang sekali dengan Surah Al Fath ini. Jiwa besarnya bergembira dengan anugerah Ilahi yang melimpahinya dan melimpahi orang-orang mukmin yang bersamanya. Junjungan bergembira dengan kemenangan yang nyata, bergembira dengan pengampunan yang sempurna, bergembira dengan nikmat yang melimpah, bergembira dengan hidayah – petunjuk ke jalan Allah yang lurus dan terarah, bergembira dengan pertolongan Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Pemurah, bergembira dengan keredhaan Allah terhadap orang-orang mukmin dan dengan penggambarannya yang demikian indah. Jiwa murninya menjadi penuh dengan kesyukuran kepada Tuhannya atas segala nikmat kurniaannya.
Ternyata peristiwa Sulh al-Hudaibiyyah yang melatari penurun surah ini merupakan isyarat awal pembukaan yang lebih besar dan tersebarluasnya Islam pada masa mendatang. Ianya, menurut Az Zuhriy, merupakan satu kemenangan dalam bidang dakwah. Peristiwa ini, sepertimana setiap helaian al-Quran yang lain mencatatkan pengajaran dan tauladan yang besar buat para daie penerus risalah perjuangan para anbiya’. Di dalamnya terkandung kisah keimanan, kesabaran dan kesetiaan generasi para sahabat yang wajar dihayati oleh pendukung harakah dalam menempuh ranjau perjuangan, dan tatkala beroleh kemenangan serta kejayaan dalam marhalah dakwah.
Alhamdulillah, marilah kita merafa’kan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmatNya yang mengurniakan kita hidayah, ketenangan dan kesempatan untuk terus menggalas amanah dakwah yang cukup berat ini di sebalik seribu satu kelemahan dan kekurangan yang wujud dalam diri dan harakah tercinta ini. Dengan penuh insaf, ABIM menyedari bahawa ruang dan peluang dakwah yang kini terbuka lebih luas menuntut komitmen berganda dari seluruh saf pimpinan dan warga ABIM. Sejak awal penubuhannya, hasrat kita hanya satu. Hasrat dan impian yang tersemat kukuh di hati sanubari kita tidak lain hanyalah untuk merealisasikan cita-cita Islamiyyah seperti yang termaktub jelas dalam perlembagaan ABIM.
ABIM, Komitmen Dakwah & Reformasi-Islahiy
Setiap warga ABIM tanpa jemu – dari dahulu sehinga ke saat ini – dan Insha Allah sehingga ke ahirnya berusaha sedaya mampu untuk menjadikan negara Malaysia yang kita cinta ini sebagai watan yang diberkahi Allah Ta’ala – baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Kita diajar selama ini untuk setia kepada idealisme perjuangan dan istiqamah menegakkan kebenaran dan keadilan walaupun apa yang datang menimpa, sampil menyemat kemas pesan Sayyidina Umar al Khattab – man nasaral haqqa aflaha – barangsiapa yang membantu menegakkan kebenaran, maka dia akan berjaya!
Amanah dakwah yang sedia dipikul kian terasa semakin memberat tatkala menyatuni umat yang bertandang dari seluruh pelusuk benua menyampaikan luahan dan harapan agar Malaysia tampil kembali memimpin suara dunia Islam di pentas global. Yang kita usahakan selama hampir separuh abad ini hanyalah untuk melaksanakan reformasi-Islahiy sedaya dan setulusnya tanpa mengharapkan yang lain selain keredhaan Allah SWT semata-mata.
Sebagai orang dakwah yang mengaku sebagai pelanjut risalah para anbiya’ wal mursalin, marilah kita kembali menghayati peringatan Tuhan bahawa yang selayaknya ditakuti dalam perjuangan ini hanya Allah Rabbul Jalil. Tiada siapa pun, dan apa-apa pun – baik pangkat, takhta, kuasa, harta, wang ringgit dan pengaruh yang kita takuti (akan sirna) dalam perjalanan menyampaikan risalah Allah SWT. Hanya keikhlasan dan ketakutan kepada Allah SWT yang menjadi bekal di dalam hati dan setiap hela nafas serta denyut nadi perjuangan menebarkan risalah Ilahi.
“(Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah serta mereka takut melanggar perintahNya, dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Penghitung (segala yang dilakukan oleh makhluk-makhlukNya untuk membalas mereka).” (Al-Ahzab: 39)
Mengangkatkan Aspirasi Rakyat & Memartabatkan Amanah Umat
Akhirul kalam, sama-sama kita renungkan sebuah kisah Junjungan baginda Ar Rasul SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim r.a tatkala Abu Ubaidah al Jarrah r.a membawa pulang dari Bahrain ke Madinah hasil pungutan jizyah yang begitu banyak.
Sejurus selepas solat Subuh berjamaah, kaum Ansar yang kebanyakannya hidup serba susah telah bertemu dengan Rasulullah SAW dan mengelilingi baginda dengan penuh pengharapan agar mereka mendapat bahagian dari jizyah tersebut. Lalu Rasulullah SAW senyum lantas berkata,
“Aku rasa kamu semua berjumpa aku kerana Abu Ubaidah telah membawa pulang sesuatu yang berharga yakni kutipan jizyah”. Lalu mereka menjawab “Benar sekali wahai Rasulullah”. Lantas Baginda pun bersabda:
“Bergembiralah dan bercita-citalah dengan apa yang dapat membuat kalian bahagia. Sungguh demi Allah, bukanlah kefakiran yang aku khuatirkan atas kalian. Akan tetapi yang aku khuatirkan atas kalian adalah apabila kalian telah dibukakan (harta) dunia sebagaimana telah dibukakan kepada orang-orang sebelum kalian, lalu kalian berlumba-lumba untuk merebutnya sebagaimana mereka berlumba-lumba merebutnya sehingga harta dunia itu membinasakan kalian sebagaimana telah membinasakan mereka.” (Hadis Sahih, Riwayat Imam Muslim)
Sematkanlah sunguh-sungguh pesan tokoh pendakwah Dr ‘Ali Jarisyah kepada para daie ila’Llah lewat kitabnya Dua’tun wala Bughatun; “Berapa ramai pendakwah tidak tumbang dihadapan orang handalan. Tetapi mereka gugur di hadapan harta dan kedudukan!”
Moga-Moga Allah SWT berkenan melimpahkan rahmat dan inayah-Nya, dan terus mengurniakan kekuatan, kesabaran dan keikhlasan kepada seluruh pimpinan dan warga besar Angkatan Belia Islam Malaysia dalam mengangkat aspirasi rakyat dan memartabatkan amanah umat!