Malaysia Baharu Menjelang 2020: Sejauh Manakah Impian Terjelma Kepada Realiti?

December 10, 2019
editor-media

Sudah lebih setahun berlalu semenjak tercetusnya detik keramat 9 Mei 2018 yang merobah tampuk pemerintahan negara. Sejujurnya sesudah melalui tempoh tersebut, kita sudah boleh mengajukan persoalan besar berikut: Sejauh manakah landskap sosio-politik dan sosio-ekonomi negara kita sudah berubah? Ke manakah halatuju reformasi institusi yang dijanjikan?  Apakah petunjuk-petunjuk yang dapat kita jadikan sebagai kayu ukur keberhasilan atau kegagalan dasar dan pelaksanaan kerajaan Pakatan Harapan?

Isu kemelaratan dan kemiskinan golongan marhaen sememangnya begitu sinonim dengan sejarah perjuangan ABIM sedari awal penubuhannya. ABIM sentiasa konsisten mengutarakan keprihatinan terhadap isu kesejahteraan ekonomi dan melebarnya jurang kesenjangan rakyat khususnya dalam kalangan generasi muda.

mat khalid abim

Menjelang PRU ke-14 , ABIM telah menganjurkan siri jerayawara berkaitan dapatan Tabung Pendidikan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) (A Children Without: A study of urban child poverty in low cost flats in Kuala Lumpur)  yang memaparkan wajah mengerikan kemelut kemiskinan bandar yang dialami rakyat kita. 

Walaupun statistik jurang ketidaksamaan pendapatan semakin baik, Khazanah Research Institutes (KRI) pada tahun 2018 mendedahkan bahawa jurang sebenar pendapatan antara kumpulan pendapatan dan bilangan penduduk miskin semakin meningkat (The State of Households 2018: Different Realities).

 

Kajian Nadi Melayu-Muslim: Nilai dan Pilihan Komuniti Melayu-Muslim Malaysia yang didedahkan pada awal tahun 2019 mendedahkan bahawa majoriti responden secara khusus dalam kalangan masyarakat Melayu Islam (Muslim) merasa bimbang terhadap keadaan ekonomi pasca perubahan kerajaan. Mereka telah menzahirkan kebimbangan terhadap kos sara hidup yang meningkat, kekurangan peluang pekerjaan dan kebimbangan terhadap sumber pendapatan.

Terkini pada 23 Ogos yang lalu, pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi, Philip Alston menyatakan bahawa kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah ‘vastly undercounted’ dan jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus. Beliau telah dipetik mengatakan:

“Garis kemiskinan di Malaysia yang terlalu rendah tidak konsisten dengan kos kehidupan di negara ini. Dengan garis kemiskinan sebanyak RM 980 sebulan bagi setiap isi rumah, keluarga dengan empat ahli keluarga hidup dengan RM8 atau kurang sehari.” (Sumber Berita Harian, 23 Ogos 2019)

Satu lagi penunjuk ekonomi yang perlu kita renungkan ialah kenyataan YB Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada 15 Oktober 2019 bahawa hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka berdasarkan dapatan daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

09082011 091733 175x144x203x49 Lulusan Syahadah Kesarjanaan

Ekonomi lazimnya menjadi penunjuk penting kepada kesejahteraan sesebuah negara. Asbab terbitnya kecemburuan sosial dalam masyarakat seringkali berakar kepada masalah ekonomi sesebuah negara yang gagal mensejahterakan kelompok rakyat terbanyak. Perkara ini diburukkan apabila wujud kesenjangan ekonomi ketara yang cuba dikaitkan dengan kelompok tertentu. Dalam konteks negara ini kelompok majoriti Melayu serta bumiputera selalu digambarkan masih ketinggalan ketimbang kaum-kaum lain di negara ini.

ABIM menyambut baik peluncuran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 oleh kerajaan yang mensasarkan pengurangan jurang kekayaan dan pendapatan dalam kalangan rakyat merentasi pelbagai kelompok kaum dan kelas. Sempena dengan pembentangan Belanjawan 2020, rakyat dimaklumkan bahawa ekonomi negara kita dijangka kekal berdaya tahan di samping pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang pada 4.7 peratus untuk tahun ini dan dijangka meningkat 4.8 peratus pada tahun hadapan.

Walaupun kita mengambil maklum akan inisiatif serta perangkaan yang dikemukakan itu, ABIM suka menegaskan bahawa dasar untuk membasmi kemiskinan sekaligus pengagihan kekayaan yang lebih adil perlu dilaksanakan secara tuntas dan penuh keberanian, tanpa perlu terikat dengan dasar dan pendekatan lampau yang tiris dan tempang.      

Justeru persoalan Miskin-Kaya tidak seharusnya terhad kepada memenuhi kadar atau peratus statistik tertentu semata-mata. Keadilan dan kesaksamaan pengagihan ekonomi seperti mana yang lihat sepanjang iktibar sejarah negara mempunyai kesan baik buruknya yang sangat mendalam terhadap pendidikan dan landskap sosio-ekonomi masyarakat. Lantaran itu, amat penting satu usaha dilaksanakan merangkumi pelbagai segmen masyarakat tanpa mengira kaum dan taraf ekonomi di negara kita. 

Dalam ghairah kita mengangkat taraf ekonomi rakyat miskin dan papa dari kelompok terbawah B40, kita juga tidak harus sama sekali mengabaikan keluh kesah golongan pertengahan (M40) atau middle class yang semamangnya merupakan pemangkin utama kepada mobiliti sosial di negara ini.

Kegagalan merangkulnya hanya akan menyemai bibit-bibit kecemburuan sosial dalam era kesedaran mengenai politik identity yang kian menebal dan membarah. Premis tersebut pernah diketengahkan dengan menyakinkan oleh seorang sarajana dari Universiti Yale, Profesor Amy Chua satu ketika dahulu menerusi kajiannya, ‘The World on Fire’ (2002). Beliau telah sekali lagi mengaitkan bahaya kecemburuan sosio-ekonomi ini dengan fenomena politik identiti sejagat menerusi kupasan terbaru beliau lewat karyanya “Political Tribes: Group Instinct and the Fate of Nations” (2018):-

“Against a backdrop of stark group inequality, the most successful extremist groups offer their members precisely what existing societal institutions do not: a tribe, a sense of belonging and purpose, an enemy to hate and kill, and a chance to reverse the group polarity, turning humiliation into superiority and triumph…..”

political tribes

Reformasi ekonomi hanya boleh dijayakan seutuhnya andainya reformasi dalam bidang politik dan judisiari turut berjalan sederap dan selangkah.  Sesungguhnya kesalingan antara rangkaian kedua-dua institusi ini amat mustahak . Institusi politik sangat penting kerana ia akan menentukan bagaimana lanskap sosio-ekonomi sesebuah negara akan terbentuk.  

Integriti sistem kehakiman dan perundangan undang-undang yang adil, bebas dan tidak memilih bulu menjadi teramat penting dalam era di mana kedaulatan undang-undang – rule of law – menjadi kalimah keramat untuk meraih legitimasi dan membentuk persepsi terhadap kebenaran.

Amalan demokrasi memberikan rakyat pilihan untuk menentukan bagaimana sesebuah negara itu akan ditadbir. Justeru, institusi politik serta ekonomi perlu sentiasa terbuka serta bersifat inklusif terhadap aspirasi rakyat yang memilih para penjawatnya menerusi jalur demokrasi.

hong kong protest BBC

Sumber Gambar: BBC

Protes besar-besaran di Hong Kong telah menarik perhatian kita. Dalam masa yang sama berlaku juga protes juga berlaku di Indonesia, Mesir, serta Iraq. Setiap protes yang berlaku berbeza sebab dan asbabnya mengikut negara. Namun tidak dapat dipungkiri bahawa protes ini berlaku tatkala rakyat merasakan institusi atau kerajaan bersifat eksklusif (tertutup) dan gagal mengatasi permasalahan dan kemelaratan yang dihadapi rakyat.

Protes-protes ini mengingatkan kita kepada fenomena kemerosotan politik (political decay) yang berlaku akibat daripada ketegaran institusi (institutional rigidity) dan penguasaan kelompok elit dalam aspek kepimpinan (capture of the state by elites).

Fenomena tersebut mengakibatkan kemerosotan integriti dan ketegaran (rigidity) terhadap tiga elemen tonggak yang mendukung dan menentukan kejayaan demokrasi dalam tatacara negara moden, iaitu kerajaan, kedaulatan undang-undang dan akauntabiliti. Institusi asasi yang sepatutnya mewakili suara dan kepentingan rakyat dalam sistem demokrasi sebaliknya lebih cenderung mewakili suara dan menjaga kepentingan sekelompok elit penguasa yang rakus memanipulasi institusi pseudo-demokratik untuk kepentingan sendiri.

Skandal kewangan 1MDB pernah mencalarkan maruah kita sebagai rakyat Malaysia. Selain itu; kita juga dikejutkan dengan skandal kewangan yang membayangi Felda Global Venture (FGV) serta Tabung Haji. Kesemua skandal tersebut telah meruntuhkan keyakinan rakyat serta masyarakat terhadap integriti tatakelola politik serta ekonomi di negara kita.

tabung haji

Taktala proses reformasi yang dijalankan terhadap Tabung Haji dan beberapa institusi lain sudah menampakkan hasil, kita ingin menegaskan betapa pentingnya reformasi institusi terus dilaksanakan secara menyeluruh sehingga ke dasarnya.   Reformasi institusi sangat penting untuk memastikan gagasan pembaharuan yang dilaungkan sebelum ini dapat direalisasikan.

Apatah lagi ia membabitkan amanah yang diberikan oleh rakyat menerusi saluran Pilihanraya Umum Kali Ke-14 pada 2018 yang lalu. Kita juga mengharapkan keterbukaan institusi untuk melibatkan pandangan serta peranan rakyat untuk sama-sama merungkai persoalan sosio-ekonomi dan sosio-politik.

Walaupun wujud keterbukaan di samping pelbagai inisiatif reformasi yang digerakkan; namun kita tetap prihatin terhadap sejauh mana reformasi yang diadakan mampu memaknai sepenuhnya aspirasi dan gagasan Malaysia Baharu. Setiap engagement tidak perlu ditanggapi berdasarkan premis establishment vs anti-establishment. Setiap engagement adalah proses untuk mencipta alternatif atau merintis jalan baru mengatasi sesebuah masalah.

 IMG 8069

Dalam kaitan ini, amat bermanfaat untuk kita bersama-sama mengambil peringatan oleh Jonathan Sumption, mantan hakim Mahkamah Agung United Kingdom terhadap peranan bersama seluruh segmen masyarakat dan setiap warganegara sebagai elemen semak dan imbang terhadap kerajaan, agar kita tidak lupa bahawa kerajaan itu juga bahagian penting dari kita.

“But in democracy, the state is neither with us nor against us. Is it us? This is why most of us are so ambivalent about it. We resent its power. We object to its intrusiveness. We criticize the arrogance of some of its agents and spokesmen. But of collective expectations depends for their fulfillment of its persistent intervention in almost every area of our lives. We don’t like it, but we want it. The danger is that the demands of democratic majorities for state action may take forms that are profoundly objectionable, even oppressive, to individuals or whole sectors of our society (Trials of the State: Law and the Decline of Politics, 2019: 19) 

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR