MALAYSIA DALAM KRISIS PENDIDIKAN?
Oleh: Pendidik Umat
Janganlah kita terlalu cepat melatah bila dengar berita-berita buruk tentang keputusan SPM 2022. Memanglah ada lebih 160,000 calon yang tak lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Tapi, itu bukan cerita penuhnya. Kita kena tengok juga cerita-cerita baik yang jarang disiarkan oleh media-media yang suka cari sensasi.
Contohnya, tahukah anda bahawa lebih 208,000 calon berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya satu A bagi mana mana mata pelajaran? Itu bukan calang-calang pencapaian tu. Kalau nak lagi hebat, ada lebih 100,000 calon SPM 2022 kali ini mendapat sekurang-kurangnya 4A. Apa lagi yang kita nak? Ini bukan main-main, ini adalah fakta yang boleh dibuktikan.
Kalau kita tengok pula bilangan enrolmen ke universiti awam (UA) untuk matrikulasi/asasi dan program diploma, kita akan nampak bahawa ada dalam lingkungan 40,000 tempat yang ditawarkan setiap tahun. Kalau tambah dengan Pusat matrikulasi KPM dan tingkatan enam, jumlah keseluruhan tempat untuk menyambung ke Pusat pengajian awam berjumlah lebih kurang 90,000 tempat. Jadi, kita boleh katakan, kualiti calon untuk pengajian peringkat tertiari adalah baik dan tersedia.
Tapi, janganlah kita terlalu puas hati dengan pencapaian kita ni. Kita kena akui juga bahawa ada beberapa mata pelajaran yang masih mencabar bagi ramai calon SPM. Antaranya ialah Matematik dan Bahasa Inggeris.
Dalam Matematik, ada 24.3 peratus, atau lebih 89,750 orang gagal mata pelajaran ni. Besar? Ya, memang besar bilangannya. Tapi, kita kena ingat juga bahawa peperiksaan SPM kali ini, soalannya dah naik taraf sikit. Bukan macam zaman kita dulu-dulu yang main hafal formula je. Sekarang ni, soalannya dah ada KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi) sehingga 50%, iaitu soalan-soalan yang menguji kefahaman dan penyelesaian masalah yang lebih kompleks.
Dengan tahap kesukaran itu pun, berbanding tahun sebelumnya, pencapaian bagi Matematik meningkat sehingga 1.2%, iaitu bilangan yang gagal berkurangan melebihi 6,000 orang. Yang mendapat gred A dalam Matematik juga melebihi 113,000 orang, iaitu 1 daripada 5 orang calon. Jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, sebenarnya membawa kepada peningkatan perbezaan lebih 3,000 orang. Itu tak dicampurkan yang mendapat sekurang-kurangnya gred B dan ke atas, iaitu menjangkau 46.7%, atau lebih 172,000 orang.
Maka, untuk mengatakan bahawa kita ada generasi buta matematik, saya rasa itu adalah tidak adil dan tidak tepat. Zaman kita dulu pun tak semua pandai matematik kan? Lagipun matematik bukan segala-galanya dalam hidup ni.
Dalam Bahasa Melayu pula, tahukah anda pencapaian SPM 2022 menunjukkan lebih 300,000 orang, atau 80.9% calon pelbagai kaum mencapai gred A dan B? Pencapaian ini membawa maksud peningkatan 2.7% yang membawa kepada peningkatan perbezaan hampir 9,000 orang. Tuan-tuan, maksudnya SPM 2022 berjaya membuka peluang untuk lebih 300,000 orang, dengan tambahan lebih 9,000 orang untuk bersaing merebut tempat di IPTA.
Kita akui bahawa pencapaian mata pelajaran Bahasa Inggeris merosot 0.4%. Namun, tidaklah harus kita lupakan bahawa peningkatan calon yang mendapat gred A meningkat sehingga 2.5%, iaitu peningkatan perbezaan sehingga 9,000 calon. Banyak tu, tuan-tuan sekalian…
Sebagai rumusan, apa yang penting ialah untuk kita terus bekerja keras bagi menaikkan mutu pendidikan kita. SPM ini merupakan salah satu sahaja petunjuk yang boleh dirujuk, namun bukanlah satu-satunya petunjuk keberhasilan pendidikan negara. Misalnya, pada waktu ini, bagaimana kita boleh mengatakan kita berada dalam krisis pendidikan sedangkan pada masa sama, kita ada dua buah sekolah yang termasuk dalam kategori 10 sekolah terbaik dunia. Apa maksudnya? Tuan-tuan, kita ni hebat tau!
Maka, tidaklah wajar untuk terus memburukkan sistem pendidikan kita sendiri dalam masa sama, terus bermuhasabah, menerima kekurangan dan menyediakan intervensi yang lebih baik bagi meneruskan perjuangan pendidikan. Ada kelemahan? Ya. Ada kekuatan? Ada. Jadi, kita di mana? Kita ini, working in progress. Insya-Allah, atas usaha berterusan untuk penambahbaikan, kita boleh pergi lebih jauh.
Bersabar lah.. Kita sedang lalui perubahan secara beransur-ansur. Reformasi bukan Revolusi.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan ABIM.