
9 Ogos 2025 – Islamic Outreach ABIM Centre melalui Mosque Tour Guide Program telah menganjurkan Hari Terbuka Masjid di Masjid Ar-Rahman, Pulau Perhentian. Hari Terbuka Masjid ini menyajikan peluang kepada pelancong untuk menziarahi masjid dan memahami Islam dan institusi masjid dengan lebih rapat.
Sempena program ini, pelbagai aktiviti telah dianjurkan seperti ramah mesra bersama pelancong, aktiviti permainan tradisional seperti congkak dan layang-layang, aktiviti mewarna kanak-kanak, aktiviti anyaman dan masakan ketupat dan lain-lain.

Program ini telah dirasmikan Puan Nur Alyssa Coraline binti Yussin selaku Ketua Pengarah (M) Islamic Tourism Centre (ITC), Kementerian Pelancongan, Kesemian dan Kebudayaan (MOTAC). Saudara Muhamad Aliemran Bin Norasid, Setiausaha Agung ABIM juga turut hadir dalam majlis tersebut.

Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen ABIM untuk menggerakkan pendekatan dakwah dengan menggunakan pelbagai pendekatan. Menerusi Program Pemandu Pelancong Masjid, ruang untuk berdialog dan memberikan kefahaman tentang Islam kepada pelancong khususnya yang bukan Islam diwujudkan. Usaha ini selaras mengangkat nilai Islam sebagai satu agama damai.

