MEMORANDUM ABIM KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) BERKAIT PEMANTAPAN KURIKULUM

October 15, 2022
editor@abim

MEMORANDUM ABIM KEPADA KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA (KPM) BERKAIT PEMANTAPAN KURIKULUM

Tarikh: 14hb Oktober 2022

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menginsafi bahawa para penggerak masyarakat yang punya kesedaran harus merangka strategi untuk berusaha menjadi ‘creative individuals’ yang secara serius merangka gerak kerja ke arah pembangunan masyarakat yang lebih baik. Atas kesedaran ini, Bangsa Malaysia harus mengangkat kembali citra masyarakat sederhana yang terbuka, inklusif dan sejagat yang dirangkum sebagai umat kosmopolitan yang melonjakkan pembinaan tamadun lampau.

Menerusi pengembalian semula citra umat kosmopolitan ini, ia berupaya untuk menambahkan lagi keyakinan bangsa untuk memasakkan nilai perpaduan bersama kaum lain yang berdiri atas paksi nilai Bangsa Malaysia. Justeru, ABIM telah membentangkan kepada KPM beberapa cadangan berkait pemantapan kurikulum pada 30hb September 2022 (Jumaat) di Bilik Mesyuarat Sri Duta, Kompleks E, KPM, Putrajaya.

ABIM dengan ini mencadangkan agar pihak KPM:

1. Mewajibkan penubuhan Kelab alam Sekitar sebagai kelab kokurikulum;

2. Memperbanyakkan aktiviti pemberdayaan murid melalui praktikal literasi pendidikan politik, demokrasi dan kewarganegaraan seperti:

(a) Pemilihan Majlis ketua pelajar melalui pilihan raya;

(b) Sudut Pidato ditambah baik untuk lebih aktif;

(c) Menyediakan kandungan lebih banyak berkaitan kepentingan pelibatan dalam pilihanraya melalui mata pelajaran Sejarah, Pendidikan Sivik, dan mungkin juga Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

3. Menyediakan satu period setiap minggu seperti ‘Period of Integrated Studies’ sedari Sekolah Rendah seperti mana amalan kurikulum di sekolah di negara Jepun untuk aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) yang menekankan pembinaan nilai dan karakter melalui ‘project-based learning’ dan menyepadukan elemen semua mata pelajaran.

4. Memberikan perhatian kepada pendidikan alternatif – ini termasuk sekolah pelarian yang memerlukan kaedah pensijilan yang diiktiraf, bagi mengelakkan pelajaran mereka terhenti sekerat jalan.

5. Pada tahap satu, khususnya di tahun satu dan tahun dua, murid dicadangkan untuk diberi tumpuan khusus kepada penguasaan literasi asas 3M:

5.1. Hal ini biasanya dioperasikan melalui mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik, justeru wajib diletakkan sebagai keutamaan tertinggi.  Maka, perlu ditambah masa Matematik yang pada waktu ini agak rendah berbanding silibus yang agak banyak;

5.2. Masa instruksional bagi mata pelajaran Matematik Malaysia adalah lebih kurang 100 jam setahun, berbanding di Singapura mencecah lebih 200 jam setahun.

Sesungguhnya, ABIM ingin menegaskan bahawa proses penerapan pendidikan karakter adalah teras amalan terbaik dan praktikal bagi menterjemahkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam kurikulum kebangsaan masa hadapan.

Pihak kami juga ingin menzahirkan kesediaan ABIM dan seluruh agensi kami untuk membantu termasuk menawarkan institusi pendidikan ABIM di seluruh negara sebagai rakan strategik KPM.

Sekian, terima kasih.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR