
17 Ogos 2025 – Gunung Angsi, Negeri Sembilan – Misi pendakian santai Gunung Angsi anjuran bersama YADIM Melaka-Negeri Sembilan, Kelab YADIM Negeri Sembilan (KYNS), ABIM Kuala Pilah, JPKK Kampung Gedang dan JPKK Kampung Ulu Bendul telah berjaya dilaksanakan pada 17 Ogos 2025.
Program ini disertai oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang turut mendaki bersama para peserta, khususnya golongan belia.

Pendakian ini bukan sekadar aktiviti rekreasi, tetapi juga bertujuan menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan datang. Para peserta turut mengambil bahagian dalam usaha pembersihan laluan dan puncak Gunung Angsi sebagai tanda keprihatinan terhadap alam sekitar.
Dalam ucapan ringkas semasa pembukaan program, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan menyeru semua peserta untuk menghayati nilai kemerdekaan, menanam rasa cinta kepada tanah air dan menyumbang kepada negara dengan kemampuan masing-masing.

“Kita amat bersyukur kerana negara kita dikurniakan keamanan, kestabilan serta kemajuan ekonomi yang semakin baik. Semua ini adalah nikmat yang wajib disyukuri dan dipelihara bersama,” ujar beliau.
Program ini menyaksikan penyertaan aktif anak muda dan komuniti setempat, khususnya dari Kuala Pilah, dalam suasana santai namun penuh dengan nilai kebersamaan dan kesedaran sivik.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua penganjur dan peserta atas semangat kerjasama dan cintakan negara yang ditunjukkan.
“Jom riadah; barulah selesa nak beribadah!”
