Pembubaran Parlimen & 10 Perkara Penting Tentang “Caretaker Government”

October 10, 2022
editor@abim

Susulan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 10hb Oktober 2022 (Isnin) yang diumumkan Perdana Menteri setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, maka rakyat Malaysia wajib sedar bahawa kita sekarang berada dalam situasi negara yang diperintah oleh “caretaker government”  atau Kerajaan Sementara dan kuasa Perdana Menteri kini jelas tidak sama dengan kuasa Perdana Menteri sebelum pembubaran Parlimen dibuat. Di sini dinyatakan 10 persoalan tentang “caretaker government”.

1) – Apakah itu Kerajaan Sementara?

Prof Dato’ Salleh Buang dalam buku Perlembagaan & Pentadbiran : Isu Kritikal mendefinisikan Kerajaan Sementara sebagai kerajaan sebuah negara apabila tempoh pemerintahannya berakhir. Biasanya situasi ini berlaku apabila Parlimen, Kongres atau apa-apa badan perundangan negara dibubarkan, proses pilihanraya umum belum selesai, dan kerajaan baharu belum dilantik oleh Raja atau Presiden sesebuah negara.

2) – Sampai bilakah tempoh Kerajaan Sementara boleh berjalan?

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, selepas pembubaran parlimen dibuat, maka pilihanraya wajib untuk diadakan dalam tempoh enam puluh hari. Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan “Apabila Parlimen bubar suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh ia bubar dan Parlimen hendaklah dipanggil bermesyuarat pada suatu tarikh yang tidak lewat daripada satu ratus dua puluh hari dari tarikh itu.” Justeru, tidak dapat tidak, ia bermaksud tempoh kerajaan sementara hanya boleh berjalan hanya dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh pembubaran Parlimen yang mana selepas itu wajib untuk negara mempunyai ahli Parlimen yang sah dipilih.

3) – Apa kepentingan had dan batasan Kerajaan Sementara?

Mengambil kira faktor kemungkinan berlaku pemindahan kuasa daripada parti yang dulunya memerintah kepada parti pembangkang, maka mengikut amalan dalam sistem demokrasi batasan dan had yang dikenakan kepada Kerajaan Sementara harus diawasi dan dipatuhi.

4) – Apakah batas dan had Kerajaan Sementara?

Dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ada peruntukan jelas tentang batas dan had kerajaan sementara maka seperti amalan-amalan negara Komenwel, pada kebiasaannya had dan batasan adalah menurut “kovensyen”. Dalam “The Caretaker Conventions in Australia” menyatakan : untuk memperkenalkan sebarang dasar-dasar penting serta pelantikan sesuatu jawatan penting yang ingin dibuat oleh Kerajaan Sementara hanya boleh dibuat selepas rundingan dan perbincangan dibuat dengan parti pembangkang dan setelah mendapat persetujuan parti pembangkang.

5) – Adakah Kerajaan Sementara boleh berurusan dengan negara luar?

Menurut Prof Dato’ Salleh Buang, berdasarkan Konvensyen negara-negara Komanwel sebagai sandaran, dalam hal surat-menyurat dengan pihak luar, Kerajaan Sementara tidak boleh membuat anggapan bahawa kerajaan sedia ada akan menang lagi dalam pilihan raya dan akan meneruskan pemerintahannya di masa akan datang. Kandungan surat-menyurat termasuk perjanjian tidak boleh menyekat atau menafikan kebebasan kerajaan baharu yang akan dilantik untuk membuat keputusan. Maka, sebaiknya Kerajaan Sementara tidak membuat sebarang perjanjian melibatkan komitmen dengan negara luar sehingga kerajaan baharu yang sah dilantik.

6) – Bagaimana jika Perdana Menteri meninggal dunia ketika berlaku Kerajaan Sementara?

Persoalan ini timbul kerana Perdana Menteri hanya boleh dilantik oleh Yang Dipertuan Agong (YDPA) dari kalangan anggota Dewan Rakyat sahaja dan ketika berlaku Kerajaan Sementara (pembubaran parlimen) tidak ada sesiapa yang menjadi Ahli Parlimen. Walau bagaimana pun, Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan menyatakan : “tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan, jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara.”

7) – Bolehkah Kerajaan Sementara isytihar “darurat”?

Perisytiharan Darurat termaktub dalam Perkara 150 (1) Perlembagaan Persekutuan antaranya menyatakan bahawa “Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”

Dalam kes Abdul Ghani Ali dll v Pendakwa Raya [2001] 3 CLJ 769, antara isu besar yang dibawa di Mahakamah adalah sama ada perisytiharan darurat yang dibuat oleh Yang Dipertuan Agong bertarikh 15 Mei 1969 bercanggah dengan Perlembagaan kerana sewaktu itu masih tiada Kabinet dibentuk yang menasihati Baginda YDPA. Dalam kes ini Mahkamah Persekutuan mengiktiraf peranan caretaker government untuk menjalankan tugas seperti tugas yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan kepada Kabinet dalam menasihati YDPA untuk mengeluarkan satu Persiytiharan Darurat.

Sekiranya kita merujuk kes tersebut, terzahir secara tidak langsung perisytiharan kawasan keselamatan turut boleh dibuat oleh Perdana Menteri dalam Kerajaan Sementara menerusi Seksyen 18 Akta Majlis Keselamatan Negara (2016) [Akta 776]. Dalam pada itu, Mahkamah dalam kes PP v Mohd Amin & Ors [2001] 1 CLJ 77 juga telah mengiktiraf kuasa YDPA untuk membuat Perisytiharan Darurat atas kapasiti “Royal Prerogative” iaitu untuk membuat Perisytiharan Darurat walaupun tanpa nasihat dari Kabinet. Mahkamah juga turut mengiktiraf peranan caretaker government dalam menasihati YDPA berhubung Perkara 150 (1) tersebut.

8) Apakah status gelaran Ahli Parlimen seperti “YB” ?

Konvensyen di negara Australia menetapkan bahawa semua Ahli Parlimen atau ADUN boleh terus dipanggil “YB” sehingga keputusan pilihanraya diumumkan, sekiranya mereka terus dicalonkan oleh parti mereka untuk bertanding lagi dalam pilihanraya umum. Bagi wakil rakyat yang tidak dicalonkan untuk bertanding semula, maka tidak boleh digelar “YB” kerana status tersebut mansuh sebaik sahaja Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

9) Apakah kesan terhadap kakitangan kerajaan & harta kerajaan?

Konvensyen negara-negara Komanwel menetapkan bahawa kakitangan kerajaan perlu terus memegang dan melaksanakan amanah yang diberikan dan harus memastikan segala harta kerajaan tidak disalahguna oleh mana-mana parti politik, tidak kira sama ada parti dari pemerintah atau pembangkang. Perkhidmatan awam merupakan sesuatu yang bebas dan ‘tidak berpolitik’ atau berpihak, dan kedudukan ini perlu diawasi terutama apabila negara diperintah oleh Kerajaan Sementara.

10) Adakah janji Pilihanraya dari calon Kerajaan Sementara dikira rasuah?

Terdapat prinsip undang-undang dalam kes Gangadhar Maithani v Narendra Singh Bhandari 18 ELR 124 yang dirujuk Mahkamah Malaysia dalam kes Re Pengkalan Kota Bye-Election Teoh Teik Huat v Lim Kean Siew [Election Petition 1 1981] – [1981] 1 LNS 1, yang menyatakan bahawa “disebabkan tidak ada ancaman dari calon Parti Congress (parti pemerintah) bahawa dia akan menggunakan pengaruhnya sebagai anggota Parti Congress atau mempengaruhi Menteri untuk tidak melaksanakan program bermanfaat untuk rakyat di kawasan undinya jika dia tidak dipilih, maka janji yang mengandungi unsur rasuah dianggap tidak dilakukan olehnya.” Namun, secara umumnya kes-kes melibatkan janji pilihanraya tidak dibezakan sama ada calon daripada kerajaan sementara mahupun pembangkang.

Prinsip yang lebih utama adalah dari persoalan undang-undang berkenaan janji apa yang dikira rasuah mengikut tafsiran Mahkamah? Mahkamah secara umumnya menjelaskan bahawa mana-mana janji pilihanraya yang tidak membawa kepada manfaat seseorang individu secara sepsifik sebaliknya memberi kebaikan dan manfaat kepada keseluruhan pengundi adalah janji yang tidak dikira rasuah, maka ia tidak bersalahan dari segi undang-undang.

Sebagai contoh dalam kes Wong Hua Seh v Ding Kuong Hiing [2009] 3 CLJ 475 isu yang ditimbulkan berkenaan janji calon Barisan Nasional Parlimen Sarikei untuk membina Kolej Tunku Abdul Rahman di Bintangor. Mahkamah menerusi rujukan kes-kes precedent menetapkan bahawa janji untuk membina kolej adalah satu bentuk manfaat untuk semua pengundi dalam kawasan Sarikei bagi mendapat pendidikan tinggi tanpa mengira sesiapa sama ada yang mengundi calon tersebut ataupun tidak.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia – ABIM).

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR