Polemik RUU 355 & Wacana Generasi Kedua Politikal Islam - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Polemik RUU 355 & Wacana Generasi Kedua Politikal Islam

Oleh:- Dr Zulkifli Hasan

Realiti dan Polemik RUU355 seakan mengiyakan dan mengesahkan betapa perlunya mengangkat gagasan wacana Generasi Kedua Politikal Islam. Berbeza dengan realiti generasi pertama politikal Islam di awal era kebangkitan Islam, aliran pemikiran politikal Islam kontemporari dengan realiti baru perlu mengalami satu titik perubahan dengan penuh berHIKMAH.

Immanuel Kant ada menyebut bahawa ‘Science is organised knowledge and wisdom is organised life’. Ini bermakna pengetahuan bahkan keikhlasan serta semangat membara sahaja tidak mencukupi untuk kebangkitan. Apa yang lebih penting adalah ‘wisdom’ atau hikmah yang akan menjadi penentu masa depan dan halatuju kebangkitan Islam.

Inilah yang mesti dijadikan panduan kepada Generasi Kedua Politikal Islam dalam merencanakan perjuangan. Islam adalah agama rahmah alamiah kepada seantero alam. Kualiti kesejagatan yang ada pada Islam ini yang menjadi asas kepada ciri ‘inclusiveness’ di mana Islam meraikan keunikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan ketinggian tamadun.

Nilai kesejagatan dalam Islam ini menjadikan ia relevan dan bersesuaian dengan kehidupan manusia pada setiap masa tempat dan kelainan bangsa serta budaya. Islam mengiktiraf kepelbagaian menerusi ciri kesejagatan ini di mana nilai-nilai dan prinsip-prinsip syariat mengangkat keadilan sebagai neraca utama dalam pentadbiran dan kehidupan.

Generasi Kedua Politikal Islam mesti menggunakan pendekatan al-Rahmah (kasih sayang) dan al-Rifq (lemah lembut) menurut teks dan konteks. Pendekatan kasih sayang dan lemah lembut ini menuntut semua untuk tidak berlaku syadid al-qaswah atau kekerasan. Al-rahmah dan al-rifq inilah yang menjadi amalan dan sunnah Rasulullah saw yang telah membuka hati ramai manusia untuk memeluk Islam.

Cacian, makian, carutan, kejian, kebusukan bicara dan pembohongan atas nama Tuhan adalah sesuatu yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam dan tidak boleh dijustifikasikan dengan apa cara sekalipun. Generasi awal kebangkitan Islam telah memberikan sumbangan mereka kepada umat.

Namun, idea dan kerangka pendekatan generasi pertama kebangkitan Islam ini semakin hari dilihat tidak lagi bersesuaian dengan realiti yang ada pada dunia hari ini dan memerlukan semakan dan muhasabah. Ini dibuktikan dengan tragedi kegagalan dan penggagalan gerakan Islam di dunia Islam sehinggakan Islam itu sendiri dilihat bermasalah.

Fenomena ini telah mencetuskan satu gagasan idea dan wacana baru yang dipelopori oleh generasi baru kebangkitan Islam. Pemikiran dan pendekatan generasi baru ini perlu lebih bersifat terbuka, realistik dan mengambil pendekatan yang bersifat universal meraikan kepelbagaian. Bagi memastikan gerakan Islam terus relevan, ‘wisdom’ atau hikmah yang akan menjadi penentu kepada sejauh mana relevannya dinamika wacana baru gerakan Islam oleh generasi kedua kebangkitan Islam.