Polis dan Rakyat Berpisah Tiada: ABIM Selangor Teruskan Kolaborasi bersama IPK Selangor dalam Misi Bantuan Banjir

December 31, 2021
editor@abim

Polis dan Rakyat Berpisah Tiada: ABIM Selangor Teruskan Kolaborasi bersama IPK Selangor dalam Misi Bantuan Banjir

Alhamdulillah, pada 29hb Disember 2021, Polis Kontinjen Selangor berkolaborasi bersama sukarelawan daripada ABIM Selangor untuk menggerakkan operasi bantuan kepada mangsa banjir di beberapa lokasi, antaranya di Shah Alam, Klang dan Kuala Langat.

Di sekitar Shah Alam, IPK Selangor mengadakan kerjasama strategic bersama ABIM Selangor, UiTM Shah Alam dan UKM dalam meneruskan lagi misi bantuan pasca banjir melalui program gotong-royong di dua lokasi berasingan iaitu di Tadika Kemas Bukit Badak, Seksyen 36, Shah Alam dan Taski ABIM, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Operasi gotong-royong ini telah disertai oleh seramai 10 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Selangor bersama 30 sukarelawan daripada ABIM Selangor, UiTM Shah Alam dan UKM bagi membantu meringankan beban mangsa banjir baru-baru ini.

Program kolaborasi bersama NGO dan sukarelawan daripada institut pengajian tinggi ini adalah kesinambungan kerjasama yang dijalankan antara PDRM Selangor dalam misi bantuan pasca banjir yang dilihat semakin menunjukkan hasil yang amat positif dalam usaha kerjasama sosial antara masyarakat dan Polis.


Pada tarikh yang sama di Klang, Polis Kontinjen Selangor melalui sumbangan daripada NGO Sakeenah Soul International serta Adab Youth Garage (agensi ABIM) telah menjalankan misi bantuan pengagihan barangan keperluan asas di Balai Polis Meru, Balai Polis Bukit Raja, Balai Polis Bandar Baru Klang dan penduduk di Kampung Labohan Dagang yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Misi bantuan ini merupakan inisiatif Polis Kontinjen Selangor dengan melibatkan seramai 30 pegawai dan anggota Kontinjen Selangor dalam usaha membantu mangsa banjir yang terdiri daripada pegawai dan anggota polis termasuk orang awam dalam meneruskan jalinan ukhwah serta usaha murni bersama NGO terbabit bagi meringankan beban mangsa banjir.


Di Kuala Langat pula, Polis Kontinjen Selangor dengan kerjasama pelbagai agensi dan sukarelawan bagi mengerakkan misi bantuan pembersihan di Sekolah Kebangsaan Labohan Dagang dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Labohan Dagang, Kuala Langat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Misi bantuan disertai oleh 10 pegawai dan anggota Polis Kontinjen Selangor bersama 50 orang sukarelawan yang terdiri daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), ABIM Selangor, Universiti Selangor (UNISEL), dan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Labohan Dagang.

Turut hadir bersama dalam program ini adalah Encik Sazali bin Jailani, Guru Besar SK Labohan Dagang dan Puan Aidah binti Lokman, Guru Besar SRA Labohan Dagang.


Bantuan berterusan ini juga dilihat sebagai satu usaha yang amat baik antara masyarakat dan Polis dalam bersama-sama membantu meringankan beban pihak sekolah dan mangsa banjir yang terkesan.

Pihak ABIM Pusat dan ABIM Selangor merakamkan sekalung penghargaan kepada wakil-wakil IPK Selangor atas kesudian bersama sukarelawan kami dalam operasi pembersihan dan pengagihan barang-barang keperluan mangsa banjir di kawasan yang terlibat.

Semoga pihak PDRM akan sentiasa melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.


SERUAN BANTUAN KECEMASAN BANJIR SELANGOR

Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong. “Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Ayuh kita sama-sama menyumbang dan menghulurkan bantuan buat mereka yang diuji.

Sumbangan berbentuk barang keperluan, sukarelawan, kewangan ke Akaun 5621-0622-8176 (Maybank ABIM Selangor).

Sila hubungi: https://wa.me/60146173047

Hulurkan tangan, ringankan beban!
Alhamdulillah, syukran. Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM.

#DaruratBanjir #RakyatJagaRakyat
#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR