Ramadhan Didik Kita Istiqamah Dalam Ibadah & Dakwah:- Presiden

June 27, 2016
editor-media

25 Jun 2016, Chemor, Perak Darul Ridzuan:- “Bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran serta istiqamah. Istiqamah dalam beribadah dan berdakwah,” tegas  Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim ketika menyampaikan Pidato Ramadhan sempena dengan program Iftar Perdana dan Pelancaran Kompleks Pendidikan Al-Ummah. Nama kompleks ini diabadikan daripada rangkaian institusi pendidikan rakyat SEMI-SERI ABIM Maahad Ummah yang didirikan ABIM Negeri Perak di beberapa buah daerah di negeri tersebut.

Mohamad Raimi yang turut dijemput merasmikan tabung pembangunan Kompleks Pendidikan Al-Ummah turut menyeru para hadirin agar beristiqamah dalam mengimarahkan bulan penuh kemuliaan ini. “Berdakwahlah dengan hujjah yang benar, berdakwahlah dengan kesabaran dan hikmah. Mintalah pertolongan daripada ALLAH SWT; disulami dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, sabar itu indah. Ayuh kita hayati kisah kesabaran para Nabi dan Rasul; dalam menghadapi dugaan dalam dakwah.”

Beliau turut mengimbau sirah nabawi di mana pada setiap tahun sehingga turunnya wahyu, Nabi Muhammad istiqamah beruzlah untuk mencari kebenaran sebagai keperluan rohani. Atas ibrah ini menurut Mohamad Raimi, kita juga perlu ‘mengasingkan diri’ pada waktu tertentu; seperti beriktikaf di masjid. Kita perlu istiqamah menunaikan qiamullail.

“Qiamullail adalah antara kunci kejayaan seseorang Mukmin. Bangun sekejap pun tak mengapa; baca ayat Quran yang pendek pun tak apa. Hal ini demi memperkuatkan hati kita semua. Lihatlah kehebatan para Sahabat Rasulullah SAW, yang menjadi hebat dan terbilang; kerana membaca serta mengamalkan ajaran serta suruhan di dalam Al-Quran. Untuk membentuk generasi Al-Quran yang unik dan gemilang; kita mesti bersabar dan beristiqamah — di samping berikhtiar tanpa mengenal erti putus asa.” Program ini dianjurkan dihadiri oleh para pimpinan serta aktivis ABIM-WADAH-PKPIM/KPIP, selain penglibatan warga pendidik serta ibu bapa sekolah tersebut.

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 2A/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR
Logo