Rasuah Busters: ABIM & Belia Sikh Laung Semangat Anti-Korupsi dalam Misi Banjir di Kuala Langat   - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Rasuah Busters: ABIM & Belia Sikh Laung Semangat Anti-Korupsi dalam Misi Banjir di Kuala Langat  

Rasuah Busters: ABIM & Belia Sikh Laung Semangat Anti-Korupsi dalam Misi Banjir di Kuala Langat  

26hb Disember 2021 (Ahad): Alhamdulillah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Gerakan Belia Sikh Malaysia (GBSM) telah menggerakkan program agihan makanan serta keperluan asas kepada mangsa banjir di sekitar Kuala Langat.

Turut turun padang menyampaikan bantuan adalah Sdra Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM); Sdra. Gurpreet Singh (Presiden GBSM) dan Sdra Nathaniel Tan (Koordinator Projek Wawasan Rakyat – POWR), yang mana mereka disambut mesra oleh Tuan Haji Mohd Alias Bin Hamdi yang mesra dengan panggilan ‘Abang Samad’, Ketua Kampung Bukit Changgang.

‘Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’. Teman-teman ABIM Pusat bersama GBSM dan rakan-rakan lain tanpa mengira kaum saling berganding bahu membantu meringankan bebanan mangsa banjir di Bukit Changgang, Kuala Langat.

Terima kasih diucapkan kepada Abang Samad dan para jawatankuasa kampung yang membantu NGO-NGO untuk membuat agihan secara sistematik. Semoga seluruh rakyat Malaysia terus memperkukuh ikatan dan hubungan dengan nilai bantu membantu sesama kita dan bersama menuju ke arah negara yang lebih baik.

Pihak ABIM dan GBSM turut membawa plakad, pelekat cermin kereta serta membuat penerangan ringkas berkenaan ‘Rasuah Busters’ kepada pihak jawatankuasa terlibat serta orang ramai.


Terdahulu, ABIM turut menyertai Konvoi Jelajah Rasuah Busters sebagai tanda komitmen dan iltizam ABIM untuk membawa agenda tatakelola baik dan tolak rasuah sebagai nilai bersama bangsa Malaysia.

Ia ke arah membentuk bangsa Malaysia sebagai bangsa yang bermaruah, bangsa berintegriti, amanah serta menolak rasuah dan penyelewengan. Agenda itu ditetapkan susulan kejayaan penganjuran program ‘Noor Conference’ dengan tema ‘Tatakelola Yang Baik’ anjuran ABIM dengan kerjasama rakan strategik khususnya Sinar Harian dan Malaysia Reform Initiative (Mari) baru-baru ini.

Program yang dianjurkan ini adalah satu kemuncak awal untuk ABIM membawa kesedaran dalam kalangan masyarakat Malaysia khususnya serta masyarakat rantau Asia Tenggara umumnya dan kepentingan bersama mendukung elemen tatakelola yang baik dengan ketelusan, tolak rasuah, integriti serta kepimpinan yang beramanah. Justeru, ABIM menyeru semua pihak untuk bersama mengangkat tema ini sebagai nilai besar yang didukung bersama sebagai watak dan definisi kita sebagai rakyat Malaysia.

Dalam siri Jelajah Rasuah Busters, ABIM konsisten menekankan bahawa perbuatan rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan sebenar walaupun mampu memperoleh keuntungan sangat besar, namun hakikatnya tetap miskin dalam isu moral. Malahan, balasan daripada perbuatan memakan makanan menerusi sumber haram adalah neraka kerana ia perbuatan mencuri hak individu lain.


Sejak awal banjir melanda Lembah Kelang, ABIM Pusat, ABIM Negeri dan Agensi serta Badan Gabungan Negeri PKPIM daripada pelbagai lokasi di seluruh pelusuk negara turut terlibat dalam Misi Bantuan Banjir di sekitar Kuala Langat.

Sebanyak 5 buah Institut Pengajian Tinggi turut turun padang sekali bersama sukarelawan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaya (UM); Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS); dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).

Sasaran kawasan pembersihan rumah dan agihan bantuan kepada mangsa banjir di beberapa tempat antaranya ialah Jalan Layang Labi 2; Kampung Labohan Dagang; Dewan Orang Ramai Bukit Changgang; TASKI ABIM Ummu Fatimah Bukit Changgang; PPS SRA Bukit Canggang; Kampung Sri Tanjung; Kampung Bukit Tampoi; SK RTB Bukit Changgang; Taman Langat Murni; Taman Sri Langat; dan Darul Ummah: Akademi Tahfiz (DUAT).

Semoga urusan para sukarelawan yang terlibat dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa-Ta’ala.


Tim Global Peace Mission (GPM) Malaysia turut turun ke lapangan bersama sukarelawan dari Rahmah Support Team (RST) dan HELWA Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kami ke lokasi khusus untuk memberi bantuan Pertolongan Cemas Psikologi atau Psychological First Aid (PFA) kepada mangsa banjir.

Tim RST dan HELWA ABIM fokus untuk memberi bantuan psikologi kepada kanak-kanak terlebih dahulu dengan menjalankan aktiviti ‘Art Therapy’. Sukarelawan meminta mereka melukis. Dalam lukisan mereka perlu ada sekurang-kurangnya 3 objek ini: sebuah rumah, seorang manusia, dan sebatang pokok.

Mengikut kreativiti masing-masing, mereka mula melukis. Hasilnya, kebanyakan mereka melukis pemandangan di luar rumah, ahli keluarga yang ramai, suasana rumah sebelum banjir berlaku, dengan pokok yang berbuah lebat.

Ada juga yang melukis pemandangan nan indah di tepi pantai, di atas gunung, belon yang besar dan rama-rama. Namun, tak kurang juga kanak-kanak yang melukis pemandangan rumah dan air banjir di luar rumah.

Mengikut tafsiran sukarelawan RST, lukisan sebegitu adalah refleksi trauma kesan bencana banjir yang baru dialami. Kami bersimpati terhadap nasib mereka. Dalam keadaan mencabar sebegini, mereka perlukan orang dewasa untuk memahami dan mendengar luahan mereka.

Jangan sisihkan kanak-kanak kerana beranggapan mereka tidak tahu dan tidak ‘rasa’ apa-apa. Kalau orang dewasa tertekan dengan bencana, mereka juga merasakan yang sama.

Apabila kalian berhadapan dengan kanak-kanak mangsa banjir, ceriakanlah mereka, bermain, mendengar luahan atau membeli permainan untuk mereka. Semoga semua mangsa banjir dapat sembuh daripada semua kesakitan psikologi yang mereka hadapi.


SERUAN BANTUAN KECEMASAN BANJIR SELANGOR

Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong. “Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Ayuh kita sama-sama menyumbang dan menghulurkan bantuan buat mereka yang diuji.

Sumbangan berbentuk barang keperluan, sukarelawan, kewangan ke Akaun 5621-0622-8176 (Maybank ABIM Selangor).

Sila hubungi: https://wa.me/60146173047

Hulurkan tangan, ringankan beban!
Alhamdulillah, syukran. Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM.

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

#DaruratBanjir #RakyatJagaRakyat