
KENYATAAN MEDIA
RASUAH WAJIB DIPERANGI, NAMUN JANGAN JADIKAN “ANTI RASUAH” SEBAGAI SENJATA POLITIK
18 Februari 2026 I 30 Syaaban 1447H
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menegaskan bahawa rasuah adalah jenayah besar yang merosakkan negara, melemahkan institusi, serta menghancurkan keyakinan rakyat. ABIM turut mengingatkan bahawa amanah kepimpinan adalah tanggungjawab berat yang akan dipersoalkan, bukan sekadar di dunia, bahkan di hadapan Allah SWT.
Namun ABIM memandang serius kekeliruan dan keresahan rakyat apabila isu rasuah semakin dipersembahkan dalam bentuk retorik, persepsi, dan perang propaganda, seolah olah “anti rasuah” hanya slogan untuk mengukuhkan kuasa, bukannya reformasi untuk membina negara.
ABIM ingin menegaskan, rakyat tidak akan percaya kepada perang anti rasuah jika tindakan dilihat selektif, tidak konsisten, atau berubah mengikut musim politik. Keadilan yang hanya tegas kepada musuh tetapi lunak kepada rakan bukan ‘reform’ dalam erti kata sebenar. Ia adalah pengkhianatan terhadap prinsip keadilan dan pencabulan terhadap kepercayaan rakyat.

Justeru ABIM menggesa kerajaan dan semua pihak menghentikan budaya menggunakan kes rasuah sebagai alat ugutan, alat tawar menawar politik, atau alat menutup kelemahan tadbir urus. Negara tidak boleh dipimpin melalui ketakutan dan permainan fail, dokumen mahupun tangkap layar. Negara mesti dipimpin melalui undang undang, ketelusan, dan integriti institusi.
ABIM menuntut agar agenda anti rasuah dipulihkan kepada landasan sebenar melalui reformasi institusi yang jelas, berani, dan boleh diukur. Antaranya memastikan kebebasan SPRM, mempercepat pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, memperkukuh perlindungan pemberi maklumat, menggubal akta pembiayaan politik yang telus, serta memantapkan sistem perolehan kerajaan agar tidak terus menjadi ruang kronisme.
ABIM menegaskan bahawa hipokrasi politik tidak boleh dijadikan alasan untuk rakyat menyerah kalah kepada rasuah. Dalam masa yang sama, kerajaan juga tidak boleh mengharapkan rakyat terus percaya jika agenda reformasi hanya kuat pada ucapan tetapi lemah pada pelaksanaan. Rakyat menilai melalui tindakan, bukan semata kepada slogan.
Menjelang Ramadan, ABIM menyeru semua pemimpin dan pemegang amanah agar kembali kepada nilai takwa, berlaku adil, dan menghentikan politik bermusim yang mengorbankan kepercayaan rakyat. Rasuah tidak akan tumbang dengan laungan, tetapi dengan keadilan yang konsisten, reform institusi yang tegas, dan kesediaan memutuskan budaya kronisme.
“Menegakkan Kebenaran dan Keadilan.”
Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
