Resolusi Seminar Islam Rahmatan lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik

September 23, 2014
editor

RESOLUSI : Seminar Islam Rahmatan Lil ‘Alamin pada tarikh 20hb September 2014 bersamaan 25 Zulkaedah 1435 (Sabtu), anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) dan Nadwah Ilmuwan (Nadwah).

Menghayati hakikat al-Islam yang mengandungi mesej bersifat rahmatan li al-‘alamin, sebagaimana tergambar di dalam Surah Al-A’raf: 156, “Dan tidaklah Kami utus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada alam seisinya”, yang membawa pengertian juga iaitu teras syari’at Islam adalah rahmah, kasih sayang Tuhan yang inklusif meliputi seluruh warga alam, rahmah sebagai kata kunci yang merumuskan segala objektif syari’at (maqasid al-shari’ah) termasuk hak asasi manusia, kebebasan, keadilan, persamaan dan apa sahaja yang membawa maslahah (kepentingan) kemanusian.

Memahami iaitu kepelbagaian sebagai sunnatulLah dalam penciptaan makhluk  sebagaimana tergambar di dalam realiti shu’uban wa qabai’il (kemanusiaan yang berbangsa-bangsa dan bersuku-suku), juga akan hakikat  kemanusiaan ini yang kejadiannya berbeza-beza tidak sahaja secara biologis iaitu warna dan jantina, tetapi juga dari segi agama, budaya dan bahasa, menjadi asas kepada pembentukan fenomena al-ta’adudiyyah atau kemajmukan dalam kehidupan ini.

Menyedari  iaitu negara Malaysia dibentuk oleh latar sejarah yang unik dan tersendiri dan realiti kemajmukan begitu jelas dan ketara dalam pelbagai aspek kehidupan warganegaranya: kepelbagaian kaum dan etnik, bahasa, budaya dan  adat resam serta pegangan dan fahaman hidup, adalah menjadi tuntutan dan cabaran bagi gerakan Islam dan masyarakat Islam secara umum meningkatkan usaha mengaktualisasi atau menterjemahkan prinsip kerahmatan Islam , mesej rahmatan li al-‘alamin di tengah kemajmukan masyarakat Malaysia pada hari ini.

Maka dengan itu, Seminar Islam Rahmatan Lil ‘Alamin Dalam Konteks Masyarakat Pluralistik menganjurkan beberapa seruan berikut:

  1. Kepentingan membangun pendekatan kontektual dalam usaha dakwah yang berteraskan perspektif  ‘a universalistic and humanistic presentation of Islam’ yang sejajar dengan sifat agama Islam sebagai ‘al-dakwah wa ‘alamiyy al-risalah’ (keinsanan dakwah dan kesejagatana Islam.
  1. Keperluan ahli gerakan Islam merancakkan wacana realiti al-ta’adudiyyah, pluralistik atau kemajmukan dalam pengertian yang bersifat Islami apatah lagi, konsep  pluralisme itu mengandungi pelbagai tahap makna dan pengertian. Masyarakat Islam hendaklah menolak fahaman pluralisme agama dalam maksud penyamaan semua agama.
  1. Piagam Madinah hendak dihadam dengan mendalam oleh seluruh warga masyarakat memandangkan kepentingannya sebagai model unggul pembinaan ummah yang bercirikan kepelbagaian terutama dalam konteks Malaysia.
  1. Iktibar dari pengamalan prinsip dan semangat rahmatan lil al-‘alamin dalam pengalaman kepemimpinan Rasulullah, para sahabat dan kekhalifahan Islam di Andalusia dan Uthmaniyyah hendaklah diperluaskan perbincangannya  di dalam masyakarat.
  1. Para pemimpin dan ahli-ahli politik tanahair hendaklah mendukung dasar ‘kepelbagaian dalam bingkai kesatuan’,  seterusnya menerima hakikat a;l-ta’adudiyyat al-siyasiyyah (kemajmukan politik) bagi memastikan penerimaan terhadap kepelbagaian pendapat, pemikiran dan strategi bagi pembinaan negara.
  1. Sistem pendidikan negara hendaklah terus dinilai bagi memastikan ia menjadi satu wahana yang paling ampuh bagi menyemarakkan nilai-nilai hidup kemajmukan yang positif seterusnya memacu ke arah pembinaan bangsa Malaysia yang utuh.
  1. Pendidikan masyarakat tentang hakikat Islam sebagai rahmatan li al-‘alamin bagi membolehkan masyarakat menyikapi kepelbagaian ini dengan positif, melihat dan menerima kepelbagaian kaum, agama dan budaya bukan sebagai sumber konflik, sebaliknya sebagai asas kekuatan, kekayaan, kreativiti dan dinamika kemajuan.
  1. Penghayatan asas-asas kesatuan bangsa meliputi prinsip Rukun Negara, kesetiaan kepada Yang Dipertuan Agong, menghormati jalur gemilang,  perlembagaan Malaysia, kedudukan bahasa Kebangsaan  hendaklah terus diperkukuhkan di kalangan masyarakat Malaysia.
  1. Gerakan Islam dan masyarakat Malaysia harus saling berganding bahu bagi membina Ummah Siyasiyyah yang  bersifat inklusif iaitu meraikan kepelbagaian bangsa ini  bagi membentuk satu ummat politik Malaysia.
  2. Budaya dialog dalam pengertian bagi memupuk semangat lita’arafu, saling berkenalan dan memahami serta semangat toleransi hendaklah terus dipupuk sebagai asas nilai bagi usaha pembinaan bangsa Malaysia yang kukuh.
  3. Seluruh umat Islam hendaklah meningkatkan penghayatan keagamaan dalam pengertian yang sebenar dan menjauhkan diri dari terjebak dengan perlakuan, ucapan dan sikap yang bertentangan dengan prinsip al-ta’adudiyyah Islam dalam segenap aspek kehidupan demi memelihara kesucian dan citra Islam yang bersifat rahmatan lil al-`alamin.

 

20 September 2014

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR