Sekitar Misi Bantuan Banjir Anjuran ABIM Pahang
Alhamdulillah, pada 8 dan 9hb Januari 2022, para sukarelawan ABIM Pahang, Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN), Wadah Pahang, dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia bersama-sama melaksanakan agihan di Kuala Lipis, Pahang.
ABIM Pekan bersama-sama tim ABIM Pahang dan Ikatan Pelajar Islam Pahang turut serta dalam agihan Misi Bantuan Banjir 22 (MBK22) di Kawasan Pulau Keladi dan Kampung Ghancong. Syukur ke hadrat Ilahi misi berjalan dengan lancar walaupun ada beberapa halangan. Biiznillah.
GPM telah mengagihkan bantuan keperluan segera di 3 buah kampung di Kuala Lipis, Pahang iaitu Kampung Binjai, Kampung Cheneras dan Kampung Tempoyang. Sumbangan yang diagihkan antaranya termasuklah barangan penjagaan muka iaitu pencuci muka dan pelembap muka tajaan Dermova, hand sanitizer tajaan HaleNimbus dan bantal Leyna tajaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Selain barangan tersebut, turut diagihkan sumbangan tajaan bersama daripada GPM Malaysia, ABIM Perak, ABIM Pahang dan IKATAN Barangan tajaan bersama tersebut adalah: toto; beg sekolah; lampin bayi; tuala wanita; sejadah; telekung; kain pelikat; kain batik; tuala; makanan kering (biskut) dan makanan bertin (kacang); beras serta susu.
Pada 1hb Januari 2022, telah dijalankan Misi Bantuan Banjir ABIM Pahang MBK22 di SK Pulau Manis dan kawasan sekitar bersama Majlis Belia Daerah Pekan, Majlis Belia Negeri Pahang, Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ikatan Pelajar Islam Pahang dan pelajar-pelajar UIAM Gombak. Semuanya berjalan dengan baik walaupun semasa dalam perjalanan hujan agak lebat.
Di Pusat Pemindahan Banjir Pulau Manis, keseluruhan tingkat 1 telah dinaiki air menyebabkan hanya tingkat 2 yang terselamat. Akibatnya, proses pembersihan pasca banjir menjadi sedikit sukar kerana lumpur yang terhasil agak tebal sehingga paras buku lali.
Dengan lumpur setebal itu, mereka terpaksa mencangkul dan membuang lumpur terlebih dahulu sebelum boleh membersihkan lantai menggunakan water jet. Di pusat pemindahan tersebut, seramai 30 orang sukarelawan UIAM, sukarelawan GPM dan sukarelawan Majlis Perbandaran Pekan terlibat dalam pembersihan pasca banjir.
Mereka sempat membersihkan dewan terbuka yang terletak di tingkat 1 dan longkang yang berada di sekeliling pusat pemindahan tersebut. Menurut seorang penduduk Kampung Pulau Manis yang dikenali sebagai Aisyah, 20 tahun, berkata di Kampung Pulau Manis, air naik sehingga paras dada, menenggelamkan rumah-rumah lain di sekeliling rumahnya.
Menurutnya lagi, pada kejadian banjir kali ini, arus air deras, air naik dengan sangat cepat dan bertahan selama 2 hari sebelum surut semula, meninggalkan kesan lumpur tebal di keseluruhan kawasan yang terlibat.
Rata-rata penduduk di sana memberitahu bahawa banjir kali ini adalah yang paling teruk yang pernah direkodkan terjadi di Kampung Pulau Manis sendiri.
Untuk misi banjir kali ini, sukarelawan ABIM dan Agensi dari seluruh pelusuk negara, turut menghulurkan bantuan. Para aktivis ABIM Pusat, GPM, ABIM Perak, ABIM Terengganu, ABIM Kelantan, Islamic Outreach ABIM Kelantan, ABIM Selangor dan ramai lagi hadir meredah banjir bagi menyumbang kudrat dan pertolongan.
Pada 1hb Januari 2022 juga, KDYMM Pemangku Sultan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut membuat lawatan ke ke Ops Banjir 2.0 Majlis Belia Negeri Pahang. Baginda meneruskan usaha menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di sekirtar Negeri Pahang.
Menjunjung kasih KDYMM Tuanku atas perkenan berangkat ke Misi Bantuan yang turut disertai oleh para sukarelawan daripada ABIM Pusat, ABIM Pahang, PKPIM, IKATAN dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
Seramai 450 orang sukarelawan belia hadir sama ke Kampung Pulau Manis untuk membersihkan SK Pulau Manis, Balairaya Pulau Manis, Masjid di Pulau Manis dan Pusat Pemindahan Banjir Pulau Manis.
Terdahulu, pada 19-20hb Disember 2021, ABIM Pahang bersama Ikatan Pelajar Islam Pahang (IKATAN); WADAH Pahang; dan GPM Pahang telah melaksanakan Misi Bantuan Kebajikan Banjir. Sukarelawan telah turun padang membantu seawal pagi bersama NGO dan pihak berkuasa di sekitar Kuantan. Misi Bantuan diteruskan dengan agihan makanan dan barang keperluan di beberapa Pusat Penempatan Sementara PPS Daerah Kuantan.
Pada 21hb Disember 2021 (Selasa), Misi Bantuan Kebajikan Banjir diteruskan dengan operasi pasca banjir iaitu mencuci rumah-rumah yang terkesan. Misi bantuan diteruskan dengan agihan barangan makanan, keperluan kebersihan, pakaian dan kelengkapan lain kepada mereka yang memerlukan. Agihan telah diberikan kepada PPS dan mangsa banjir yang sudah pulang ke rumah.
Pada 22-23hb Disember 2021, Misi Bantuan Kebajikan Banjir diteruskan dengan operasi mencuci rumah serta premis yang terkesan banjir. Alhamdulillah, atas inisiatif bersama seramai hampir 20 sukarelawan ABIM Pahang dan IKATAN telah turun ke lapangan bagi meringankan beban penghuni 2 buah rumah mangsa dan sebuah rumah anak yatim.
Walaupun penat bertungkus lumus sejak hari pertama bencana melanda namun para sukarelawan tetap tersenyum dan cekal melaksanakan amal kebajikan kepada masyarakat.
Sukarelawan IKATAN dan ABIM Pahang dengan kerjasama Baitulhusna turut melaksanakan agihan barang keperluan dan makanan kepada mangsa banjir dan PPS yang memerlukan. Untuk memudahkan urusan sukarelawan telah dibahagi kepada dua kumpulan antara operasi mencuci premis dan melaksanakan agihan bantuan di lapangan.
Turut bersama menyampaikan bantuan adalah Naib Yang Di Pertua HELWA ABIM Pahang, Sdri Syuhada dan Naib Yang Di Pertua (Sosial Kesukarelawan) IKATAN, Sdra. Abu Aziman Bin Baharudin.
Skuad PKPIM PRIHATIN mula bergerak di kawasan Kuantan, Pahang pada 23hb Disember 2021. 14 sukarelawan turun melihat dan membantu masyarakat Kuantan yang terkesan akibat banjir. Sukarelawan juga turut bekerjasama bersama ABIM Pahang dalam usaha membersihkan rumah-rumah yang rosak.
Edaran pek bantuan berupa makanan dan beberapa keperluan harian lain turut diedarkan di kawasan bertumpu yang mengalami kerosakan kritikal.
Di sekitar Bentong, Kuantan dan Jengka, Pahang pada 25hb Disember 2021, ABIM Pahang dan IKATAN menggerakkan bantuan pasca banjir. Ia adalah salah satu elemen kritikal bagi membersihkan dan membaik pulih rumah yang rosak.
Dengan kekuatan seramai 46 orang sukarelawan, orang-orang baik ini menuju ke kawasan sekitar Pahang seperti Bentong, Kuantan dan Jengka. Aksi sosial ini bermula dengan mula membersihkan selut pasca banjir dan kemudian mula membuang perabot rumah yang rosak.
Barangan bantuan banjir yang diterima juga telah dipersiapkan oleh sukarelawan yang terlibat untuk diberikan kepada penduduk-penduduk di Chenor dan Bentong, Pahang yang terjejas akibat banjir.
Pada 25hb Disember 2021 (Sabtu), masuk hari ke 6 misi bantuan di Kuantan diteruskan dengan operasi pasca banjir di sekitar Rasau Perdana dan Bukit Setongkol. Seramai 35 orang sukarelawan dari pelbagai IPT seperti UIAM Kuantan, UNITEN dan UNIPSAS telah turun membantu membersihkan rumah mangsa banjir,surau dan rumah anak yatim yang terjejas banjir.
Di Bentong, para sukarelawan IKATAN, PKPIM Kelantan, WADAH, ABIM Pahang, ABIM Bentong dan GPM Pahang bersama PKPIM Kelantan turun ke operasi pembersihan pasca banjir di daerah Bentong. Daerah Bentong antara daerah di Pahang yang teruk terkesan ekoran bencana banjir pada kali ini. Sukarelawan telah bertungkus lumus sehingga malam bagi membersihkan kawasan-kawasan yang terjejas banjir.
Beberapa premis seperti pusat pengajian dan sekolah KAFA telah dapat dibersihkan dan sedikit sebanyak membantu untuk memulihkan semula institusi ilmu ini beroperasi demi masyarakat setempat.
Di Mentakab, pada 27-28hb Disember 2021 (Isnin dan Selasa), Misi Bantuan Kebajikan Banjir Pahang diteruskan dengan operasi pasca banjir di daerah Temerloh. Seramai hampir 20 sukarelawan IKATAN, ABIM Pahang dan ABIM Temerloh bersama ABIM Terengganu dan PKPIM Terengganu telah terlibat dalam melaksanakan misi bantuan banjir selama dua hari satu malam.
Sukarelawan terlibat telah menyampaikan agihan barang bantuan berupa keperluan tidur seperti tilam toto dan bantal serta keperluan pakaian, serta pek asas makanan asas kepada penduduk terjejas di Kampung Batu Kapor dan Taman Mentakab Indah.
Selain itu, sukarelawan telah membantu membersihkan beberapa rumah mangsa memerlukan yang terjejas di Taman Sri Semantan,Taman Mentakab Indah dan Kg Batu Kapor.
Semoga dipermudahkan segala urusan dan dilindungi Allah semuanya. Moga agihan tersebut bermanfaat kepada semua. Ikatan Kukuh, Ukhwah Teguh, Dakwah Utuh.
Alhamdulillah, syukur ya Allah.
Terima kasih kepada semua yang terlibat dari yang menyumbang hinggalah yang diamanahkan untuk mengagihkannya. Semoga Allah limpahkan rezeki dan rahmat-Nya kepada kita, insya Allah.
#DaruratBanjir #RakyatJagaRakyat
#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti