Syeikh Dr. Afifi Al-Akiti, Felo Universiti Oxford beri perkongsian ilmu di Sekretariat ABIM Pusat, Gombak

January 24, 2022
editor@abim

Syeikh Dr. Afifi Al-Akiti, Felo Universiti Oxford beri perkongsian ilmu di Sekretariat ABIM Pusat, Gombak

Alhamdulillah, pada 7hb Januari 2022, Prof Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti telah berkunjung ke Sekretariat ABIM Pusat untuk kunjungan bersama perkongsian ilmu buat sukarelawan ABIM Pusat, Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan ADAB Youth Garage – AYG.

Perkongsian rohani dan ilmu untuk meneruskan momentum sukarelawan ABIM yang berterusan membantu mangsa banjir dan membantu mereka yang memerlukan.

Kesempatan bermakna di hari Jumaat penuh barakah apabila Sekretariat Angkatan Belia Islam Malaysia / Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM) yang diziarahi oleh Imam Paduka Tuan (Orang Besar Delapan) Perak selaku penasihat rasmi mengenai Islam kepada Paduka Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ini. Kali terakhir beliau ke Sekretariat ABIM Pusat adalah sewaktu ABIM masih beroperasi di Anjung Rahmat, Gombak.

Perkongsian mengenai falsafah disebalik usia belia dan makna sebenar terlibat sebagai sukarelawan. Alhamdulillah, disebalik kesibukan beliau yang baru usai tiba dari Perak dan berangkat pulang ke United Kingdom dimanfaatkan sebaiknya dalam diskusi menarik semasa sesi soal jawab. Ternyata beliau dapat menggarap persoalan semasa dengan baik ketika mengemukakan beberapa contoh dan perkaitan semasa yang begitu dekat dengan jiwa anak muda.

Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford ini pernah menuntut di Universiti Oxford dalam bidang Teologi, Falsafah dan Pengajian Islam.

Atas jasa dan sumbangannya pada peringkat antarabangsa, maka tidak hairanlah beliau turut tersenarai dalam ‘The World’s 500 Most Influential Muslims’, sejak tahun 2010 hingga kini. Beliau juga pernah menerima Anugerah Perdana merangkap Tokoh Maulidur Rasul 2017, peringkat kebangsaan.

Anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu menjadi rakyat Malaysia serta anak Melayu pertama dan satu-satunya yang ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas beliau dalam pengajian Islam.

Syeikh Afifi yang juga peminat filem lakonan Seniman Agung Almarhum Tan Sri P. Ramlee dan Star Wars, turut mengenang sumbangan tokoh-tokoh wasatiyah ABIM yang telah pergi seperti Almarhum Ustaz Uthman el-Muhammady, Almarhum Ustaz Fadzil Noor serta Almarhum Ustaz Dr. Siddiq Fadzil.

Syeikh Afifi menekankan bagaimana Islam membawa peradaban yang damai serta naratif kesederhanaan. Sementelah, beliau menyatakan bahawa kita mesti kembali ke akar dan memahami bahawa Islam sangat menitik beratkan soal penjagaan alam sekitar yang kini semakin banyak dilanda bencana.

Semoga Syeikh Afifi dikurniakan kesihatan yang baik dan terus menjadi inspirasi ramai. Kami titipkan juga buku-buku terbitan ABIM Press, untuk jadi bacaan beliau saat pulang ke United Kingdom nanti. Menutup perkongsiannya, Syeikh Afifi menganjurkan kepada para sukarelawan belia ABIM dan agensi untuk menghargai nikmat tenaga dan masa yang dipinjamkan Allah Subhanahu wa-Ta’ala.

Sejak awal berlakunya musibah banjir, para aktivis ABIM, Global Peace Mission dan ADAB Youth Garage dari seluruh negara turut turun ke lapangan, membantu mangsa banjir di Lembah Klang, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, dan Melaka.

Semoga semua terus sihat dan bersemangat, dalam menyebarkan ilmu dan bakti.


Kenali dan sertai ABIM di sini: https://abim.contactin.bio

#ABIMdiHatiku #GerakanIlmuDanBakti

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR