Teguh Kita Menang Bersama: ABIM Seru Rakyat Suburkan Gagasan #BangsaMalaysia - ABIM
angkatan belia islam malaysia (abim)
muslim youth movement of malaysia

Teguh Kita Menang Bersama: ABIM Seru Rakyat Suburkan Gagasan #BangsaMalaysia

TEGUH KITA MENANG BERSAMA: ABIM SERU RAKYAT SUBURKAN GAGASAN BANGSA MALAYSIA

Tarikh 31 Ogos dan 16 September yang merupakan tarikh keramat yang pada saban tahun negara kita Malaysia akan menyambut dan meraikan Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Tanggal 31 Ogos ialah Hari Kebangsaan yang disambut dengan semangat patriotik, manakala 16 September ialah Hari Malaysia yang diraikan dengan semangat kenegaraan yang tinggi. 

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru kepada semua agar kita bersama-sama menzahirkan semangat patriotisme dengan mengibarkan panji Jalur Gemilang walau di mana saja kita berada. Kemerdekaan sebenar adalah kemerdekaan jiwa dan minda. Tanpanya, kemerdekaan fizikal tidak berguna.

Ciri Khas Bangsa Malaysia: “Kosmopolitanisme”

Kosmopolitan Malaysia adalah satu warisan zaman-berzaman yang mesti dipertahankan dengan sepenuh hati. Tuhan Yang Maha Esa telah menentukan takdir sejarah ini buat kita, yang diamanahkan untuk mendiami dan memakmurkan bumi ‘Malaysia’ ini. Dari sudut sumber daya bumi, lokasi Malaysia yang strategik, kekayaan sumber mineral dan galian; kesuburan tanahnya dan kenyamanan iklim khatulistiwa; menjadikannya salah satu daripada lokasi yang paling diidamkan di muka bumi ini. 

Manakala dari aspek sumber daya manusia, keramahan warganya dengan pegangan nilai ketimuran, yang terpasak dalam budaya penghidupan bangsa, adalah ciri kelompok manusia paling layak dan sesuai mendiami bumi paling bertuah ini, Malaysia! Semua usaha ke arah menciptakan sebuah bangsa bermaruah yang bersatu padu, ikhlas dalam penghidupan, hidup bersama dalam budaya damai dan utuh dalam menegakkan prinsip keadilan dan kebenaran. Malaysia merupakan sebuah negara bertuah, yang menjadi kebanggaan bersama. Lintasan sejarah global menunjukkan betapa pentingnya ‘Malaysia’ dalam pemposisian strategik peradaban dunia.

Bertuah kita sebagai warga yang hidup bahagia bersama. Ayuh bangunkan Bangsa Malaysia yang utuh, bersatu dan maju. Kita mesti optimis dengan masa depan kita. Bersama kita bangkit sebagai #BangsaMalaysia yang merdeka.

Bangsa Malaysia: Bukan Melenyapkan Jatidiri

Konsep Bangsa Malaysia bukanlah dengan mewujudkan satu bangsa baharu dan melenyapkan identiti bangsa tertentu, tetapi konsep ini menekankan perkongsian nilai yang sama antara semua kaum dan etnik di Malaysia. Tiga perkara asas menjelaskan Agenda Bangsa Malaysia ABIM. Pertama, ia bersifat ‘post-political nation building’ dan menjangkau acuan dan tafsiran pemimpin politik. Sebaliknya, ia adalah gagasan ‘bottom up’ bukan ‘top down’ yang datang dari rakyat akar umbi menerusi pentas Badan Masyarakat Madani (CSO).

Kedua, ia adalah kesepakatan nilai-nilai bersama untuk memajukan masyarakat dan negara seperti nilai bangsa bermaruah, tolak rasuah, berdaya, mandiri, bantu-membantu, sayangi alam dan sebagainya. Ketiga, menerusi kesepatakan nilai, ia membawa kepada usaha inklusif pemberdayaan masyarakat dan mencorak jalan penyelesaian masalah seluruh warga, berlandaskan persepektif bersama dengan tiada warga satu kaum yang tertinggal.

ABIM Pusat bersama ABIM Negeri menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak menerusi platform yang bercapah tanpa mengira latar belakang dan ideologi seperti Projek Wawasan Rakyat (POWR), Friendship Group of Inter-religious Services (FGIS) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi memastikan agenda perpaduan dan Gagasan Bangsa Malaysia dapat direalisasikan.

#RasuahBusters: Membentuk Masyarakat yang Membenci Korupsi

Bagi membentuk sebuah Bangsa Malaysia yang mapan, maka masyarakat madani yang diurus dengan tatakelola yang baik; mengamalkan berintegriti; amanah serta anti rasuah perlu disuburkan. Kenapa masih terdapat ramai gelandangan dan fakir miskin, walau hidup di negara yang kaya raya? Mereka lapar kerana ada yang kenyang makan rasuah!

Justeru, kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat. Sihat iman, sihat akal, sihat adab, sihat moral. Integriti adalah umpama pohon yang memberi manfaat. Daunnya lebat, cabangnya mengacung ke langit, menghasilkan buah yang lazat, batangnya sihat, dan akarnya kukuh menghunjam ke dalam bumi. Jadilah orang berintegriti. Orang berintegriti benci rasuah. Daripada Abdullah bin Amru, katanya: Telah bersabda Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi Wassallam: Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah (Riwayat Imam Ibnu Majah).

Teguh Kita Menang Bersama: Pelbagai Bengkel dan Pertandingan Menarik Dijalankan

Sempena Bulan Kemerdekaan ini, perlbagai program dianjurkan oleh ABIM dan Agensi di seluruh negara bagi membina masyarakat madani yang berintegriti dan berjiwa patriotik.

Madrasah Pengajian Islam (MPI) – Islamic Outreach ABIM (IOA) Kelantan, Kok Lanas telah mengadakan Pertandingan Video Pendek dengan tema Semangat Kemerdekaan, dari 24 hingga 30hb Ogos 2021.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, ABIM dan PKPIM Sandakan menganjurkan beberapa pertandingan seperti Kuiz Kemerdekaan pada 29-31hb Ogos 2021. Turut dijalankan, Pertandingan Debat Kemerdekaan pada 2hb September 2021, sebelum muktamar ABIM Daerah Sandakan. Usul yang diberkalkan adalah “Keterbukaan media merupakan racun kepada perpaduan Malaysia”. Kuiz Kemerdekaan turut diadakan pada 29-31hb Ogos 2021.

Domain kesukarelaan ADAB Youth Garage (AYG) pula menganjurkan Pertandingan Penulisan Kreatif (Esei Biografi dan Pantun) dan Penghasilan Video Kreatif. Berlangsung sehingga 12hb September 2021, kepada anak muda berusia 13-25 tahun.

Pada 4hb September 2021 (Sabtu), ADAB Youth Garage (AYG) menganjurkan Bengkel Penghasilan Video Kreatif yang bertemakan kemerdekaan dan kesukarelaan. Pengisian dibuat oleh Sdri. Nur Assyikin bt Mohd Ali, Mahasiswi UKM.

ABIM Kubang Pasu, Kedah turut mengadakan Pertandingan Bercerita Kanak-kanak dengan tema “Malaysiaku Tercinta”, di mana penyertaan bermula pada 9-25hb September 2021.

ABIM Pasir Mas, Kelantan bersama Majlis Belia Jajahan Pasir Mas pula menganjurkan Pertandingan Pidato Online dari 16-30hb September 2021 sempena Hari Malaysia.

ABIM Seberang Perai Selatan (Pulau Pinang) mengadakan Pertandingan Doodle Malaysiaku di mana keputusan diumumkan pada 14hb September 2021.

Pelbagai Forum dan Wacana Menarik

PKP yang berpanjangan menyebabkan ramai anak-anak terperap di rumah. Oleh sebab tu juga, berlaku peningkatan tempoh masa penggunaan gajet dan skrin di rumah, terutama di rumah yang tiada laman luar. Keadaan ini boleh menyebabkan pelbagai macam gangguan terhadap perkembangan anak-anak sama ada peringkat kanak-kanak mahupun remaja. Justeru, GRASS Malaysia pula menganjurkan Siri Bicara GRASS #17, “Sekolah Alam III: Meneroka Alam Di Rumah” pada Khamis, 26hb Ogos 2021.

Pada 28hb Ogos 2021, sesi Ikrar Bebas (SPRM dan AADK) telah diadakan sempena Kongres Mahasiswa Kelantan 2021 anjuran ABIM Kelantan, PKPIM Kelantan, dan Majlis Belia Negeri Kelantan.

Selanjutnya, pada 29hb Ogos 2021, ABIM Mesir telah menganjurkan Bicara Kewarganegaraan: Menghayati Semangat Kemerdekaan: Apa Peranan Mahasiswa? bersama Penyampai, Tuan Haji Mohammed Tasyreef bin Mohamad Tarmizi (Pegawai Atase Pendidikan Negeri Perak).

Sub-Unit Belia, Unit Kefahaman Islam, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Sarawak bersama rakan strategik seperti ABIM Sarawak telah menganjurkan program Forum Belia Di Ambang Merdeka pada 30hb Ogos 2021 (Isnin).

Sdra. Jufitri Joha, mantan Naib Presiden ABIM yang kini menduduki kerusi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) tampil dalam “Forum Kemerdekaan – Perpaduan Dalam Rangka Pemulihan Negara Daripada Pandemik COVID-19” yang dianjur pada 30hb Ogos 2021, jam 8:30 Malam.

Dialog HELWA ABIM mengupas tajuk “Dilema Perancangan Keluarga dalam Cabaran Situasi Pandemik”. Webinar anjuran HELWA ABIM Sabah dengan kerjasama SALWA WADAH Sabah diadakan pada 31hb Ogos 2021 (Selasa). Panelis jemputan adalah Dr. Norsa’adah Salim (Pakar Obstetriks & Ginekologi, Hospital Wanita & Kanak-kanak Sabah); Dr. Hjh. Suhailah Abd. Muin (Ketua Program Pendarasan Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaysia Sabah).

Domain Kesukarelaan ADAB Youth Garage (AYG) kembali lagi, kali ini dengan membawakan sebuah Program Sembang Santai Merdeka. Program diadakan pada 31hb Ogos 2021 (Selasa). Program Sembang Santai kali ini lebih menarik, di mana ahli panel merupakan individu yang pernah berkhidmat di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Jadi, banyak kisah menarik dan pengalaman pahit manis yang dapat kita ambil iktibar daripadanya. Program ini merupakan antara usaha pihak domain dalam mengetengahkan kesungguhan wira negara mempertahankan tanah air tercinta.

“Port Sembang Belia, Demimu Malaysia: Kami Ambil Peduli” dianjurkan pada 1hb September 2021 (Rabu) menampilkan Dr. Shatesh Kumar – Ahli Parlimen Belia Malaysia); Sdri. Ooi Seow Ying (Peserta SSEAYP 46 2019); dan Sdra. Dwan Hamid (Selebriti Ular).

Wacana Bangsa Malaysia: Jiwa Merdeka Membentuk Karakter Bangsa Malaysia” dijalankan oleh ABIM dan PKPIM Sandakan pada 2hb September 2021 (Khamis). Panel Pembentang adalah Sdra. Fazril Mohd Salleh (Setiausaha Agung ABIM) dan Dr. Mashitah Sulaiman (Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia – USIM). Moderator ialah Sdri. Atirah Binti Abu Bakar (Exco PKPIM Sandakan).

Pada 3hb September 2021 (Jumaat), Sdra. Mohamamad Fazril Mohd Salleh (Setiausaha Agung ABIM) telah tampil mengupas topik “Kultivasi Sistematik dalam Pembinaan Masyarakat Madani” dalam siaran langsung Selamat Pagi Malaysia di TV1.

Agenda AWANI mengupas tajuk “Keluarga Malaysia: Solidariti Menuju Endemik” dengan menjemput Naib Presiden ABIM, Sdra. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dan Penasihat Christians for Peace and Harmony in Malaysia (CPHM), Sdra. Jason Leong pada 6hb September 2021 (Isnin).

ABIM Kuala Muda turut mengadakan Forum Diskusi Santai – Siri 2 dan Siri 3 dengan tajuk “Tanggungjawab Sosial dan Pengalaman Sukarelawan ‘Outreach’ Di Lapangan” pada 6 dan 8hb September 2021 (Isnin dan Rabu). Menampilkan Sdra. Zairudin Bin Hashim (Naib Presiden ABIM); Puan Wahida binti Tahir Mahfor (Perunding Harta Pusaka Islam iLegasi); Sdra. Kamaruddin bin Kassim (Presiden UNGGAS MALAYSIA); dan Sdri Wan Noor Fadhilah Wan Ibrahim (Timbalan Ketua Pegawai Operasi GPM dan Exco ABIM Pusat).

Pada 10 September 2021 (Jumaat), Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (REFORM) membawakan Wacana Reformasi #14 sempena sambutan 62 tahun demokrasi berparlimen di Malaysia. Ucapan pembukaan disampaikan oleh Datuk Azuan Effendy yang merupakan Ahli Lembaga Penasihat, Reform Malaysia. Kemudian, lima orang ahli panel dibawakan khas untuk membincangkan topik “Masa Depan Demokrasi Berparlimen”. Mereka ialah: YB Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (Ahli Parlimen Tuaran); YB Puan Kasthuri Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan); YB Mohd Zaidi Aziz (ADUN Slim); Dr Norazlan Hadi Yaacob (Universiti Pendidikan Sultan Idris); Tharma Pillai (UNDI18).

Presiden ABIM, Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz dijemput dalam Forum Hari Malaysia 2021 bagi mengulas tajuk Perpaduan Dalam Semangat Keluarga Malaysia pada 15 September 2021. Program ini adalah anjuran bersama ABIM dan International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia.

Pada 16hb September 2021 (Khamis), telah berlangsung Program Belia Malaysia Jiwa Merdeka: Bersama Tolak Rasuah anjuran PMFKP USIM, bersama narasumber Sdra. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (Naib Presiden ABIM/CEO GPM), Sdra. Jufitri Bin Joha (Presiden Majlis Belia Malaysia) dan Sdra. Dhanesh Basil (Presiden Majlis Belia India Malaysia).

Program Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sekolah ABIM

Institusi Pendidikan ABIM dan Agensi seperti Kolej Dar al-Hikmah (KDH), Taman Asuhan Kanak-kanak Islam ABIM (TASKI), Sekolah Rendah Islam ABIM (SERI), Sekolah Menengah Islam ABIM (SEMI) di seluruh negara turut mengadakan program Sambutan Hari Kebangsaan. Program Bicara Kemerdekaan Agensi Pendidikan ABIM Negeri Sembilan dianjurkan pada 29hb Ogos 2021 (Ahad) menampilkan Ustazah Hazlina Abdul Razak (Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Wardah). Mengulas topik “Hijrah Merdeka”, beliau menekankan bahawa kemerdekaan sebenar adalah bila terhenti kejahilan.

Antaranya ialah Madrasah Uthmaniah ABIM, Pulau Pinang yang menganjurkan acara Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 secara maya. Pelbagai aktiviti menarik dan hadiah disediakan untuk para guru dan pelajar pada 30hb Ogos 2021 (Isnin). SEMI ABIM Sungai Ramal, Kajang turut menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan pada 31hb Ogos 2021 (Selasa). Sdra. Muhammad Fazril bin Mohd Salleh, Setiausaha Agung ABIM menjadi undangan khas dalam majlis ini.

Dengan tema Kemerdekaan, ADAB Youth Garage (AYG) turut mengadakan webinar “One Vocab at A Time” bagi memperkayakan kosa kata penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Panelis jemputan adalah Sdri. Nur Amirah bt Hazmi (Mahasiswi UiTM) dan Sdri. Nur Adzratull Iffah bt Zahrulhaizan (Mahasiswi UKM). Program dianjurkan pada 29hb Ogos, 5hb September, 12hb September dan 15hb September 2021.

Usrah dan Munajat: Memohon Redha dari Yang Maha Esa

ABIM turut serta bersama MyAqsa Defenders dalam penganjuran bacaan Yaasin serta Munajat Perdana yang diketuai oleh wakil di Gaza, Palestin pada 12hb Ogos 2021.

Usrah WADAH-ABIM-PEPIAS (WAP) Selangor dianjurkan dengan tema “Merdeka Minda” pada 25hb Ogos 2021 (Rabu). Pembentang adalah Ustaz Dr. Ahmad Zaki bin Abdul Latiff (Pengerusi WADAH Selangor); Sdra. Ahmad Fawwaz bin Ahmad Shukri (YDP ABIM Selangor); dan Sdra. Mohamad Khairuddin Bin Zahari (Presiden PEPIAS).

Usrah Ilmuwan Siri-4 digerakkan dengan topik “Sumbangan Ulama Dalam Perjuangan Kemerdekaan Negara” pada Ahad, 29hb Ogos 2021. Pembicara ialah Dr. Abu Hanifah Haris (Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya) manakala Peneraju adalah Sdra. Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh (Setiausaha Agung ABIM).

Usrah Gabungan Khas turut dianjurkan dengan tema “Semangat Asyura, Selamatkan Malaysia & Khabar Dunia Islam” sempena Hari Asyura dan Hari Kemanusiaan Sedunia pada 19hb Ogos 2021 (Khamis). Munajat Perdana WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) pula dianjurkan pada 20hb Ogos 2021 (Jumaat).

Usrah Ilmuwan Siri 48 turut diadakan oleh Program Kluster Sains dan Pembangunan Mampan Nadwah Ilmuwan ABIM, dengan topik “Agenda Keselamatan Tenaga: Tenaga hijau dalam kerangka keperluan tenaga masa hadapan negara”. Dianjurkan pada Ahad, 22hb Ogos 2021, Pembentang ialah Ir. Dr. Amir Basha Ismail (Pakar Perunding, Kejuruteraan Sistem Tenaga, Institution of Engineers Malaysia-IEM & Minconcult Sdn Bhd) manakala Peneraju ialah Sdri. Nur Syazwani Hanafi.

ABIM Kuala Muda dan agensi pentadbiran di bawahnya iaitu SERI Al-Maarif, Taski ABIM Al-Maarif dan ASPIRASI Peduli Ummah telah mengadakan Majlis Bacaan Yaasin bertujuan memohon kesejahteraan dan diangkat wabak Covid-19 dan mendoakan kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah pada Khamis, 9hb September 2021.

Pergolakan Negara Luar: Satu Refleksi Nikmat Kebebasan

Pelbagai siri forum turut dianjurkan bagi mengupas situasi bergolak, konflik serta krisis kemanusiaan yang berlaku di beberapa buah negara, yang membuatkan kita insaf dan sedar berkenaan nikmat kemerdekaan. Antaranya, Kelab Urusetia Sumber Manusia KUIM (KUSMA) telah mengadakan Forum Khas “Apa Erti Kemerdekaan? Malaysia vs Palestin” yang disampaikan oleh panel jemputan Sdra. Salman Yusop (Exco ABIM dan GPM) serta Sdra Abdul Aziz pada 13hb Ogos 2021.

#ReflectSeries #9 GPM yang membincangkan tajuk “Afghanistan: 20 Tahun Berlalu dan Cabaran Masa Depan” pada 18hb Ogos 2021 (Rabu). Bersama Tuan Haji Khairil Anuar Khalid Einkana Khalid (Timbalan Presiden, Malaysia Relief Agency – MRA) dan Dr. Ahmad El-Muhammady (Pembantu Profesor, ISTAC & Associate Fellow, ICCT, The Hague, Netherlands). Dimoderatorkan oleh Sdra. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (CEO GPM & Naib Presiden ABIM).

Reflect Series Wacana 2 Dekad GPM: Siri 10 diadakan dengan Tema “7 Dekad Derita Kashmir – Masihkah Punya Masa Hadapan?” pada Rabu, 25hb Ogos 2021. Menampilkan Dato’ Haji Ahmad Azam Abdul Rahman (Pengerusi GPM & Pesuruhjaya IPHRC, OIC) dan Mejar (B) Azlan Mohd Sharif (Mantan CEO GPM). Moderator ialah Sdra Zairudin Hashim (Naib Presiden ABIM).

Forum Komuniti Bestari telah dianjurkan dengan topik “Kondisi Semasa Afghanistan: Mitos dan Realiti” pada 2hb September 2021 (Khamis), Hos menampilkan Ts Izwan Suhadak Ishak (Pengarah Pusat Jaringan Komuniti – COMNET) manakala panel jemputan ialah Sdra. Ahmad Fahmi Mohd Samsudin (CEO GPM) dan Sdra. Ismail Hashim (Pensyarah Jabatan Komunikasi UNISEL).

Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah mengadakan “Reflect Series – Wacana 2 Dekad GPM: Siri 11” dengan bertemakan “Agenda Kemanusiaan: Citra Altruisme & Semangat Juang” pada 8hb September 2021 (Rabu). Menampilkan Dr. Mohd Daud Sulaiman (Presiden Malaysian Relief Agency – MRA); Dr. Ishak Mas’ud (Pengarah Hospital Pakar al-Islam, Kampung Baru); dan Sdr. Jufitri Joha (Presiden Majlis Belia Malaysia – MBM). Penyempurnaan peluncuran Sambutan September Bulan Kemanusiaan GPM dibuat oleh Sdra. Muhammad Faisal Abdul Aziz (Presiden ABIM).

Hulurkan Tangan, Ringankan Beban

Sebagai sebuah Gerakan Ilmu & Bakti, ABIM dan Agensi di seluruh negara berikhtiar sedaya upaya bagi membantu rakyat Malaysia dan Pejuang Barisan Hadapan (Frontliners) yang terkesan akibat Pandemik Covid-19 serta bencana alam. Bantuan turut dihulurkan menerusi misi kemanusiaan di beberapa buah negara seperti Yaman, Syria dan Palestin bagi membantu saudara kita di sana.

Selain menggerakkan Misi Bantuan Peduli Banjir di Yan, Kedah, ABIM menjalinkan kerjasama dengan Galeri Prima (GP) dan ZAK Capital dalam ‘Kempen Seorang Sekampit Beras #KSSB – Dana Bangsa Malaysia’. Inisiatif ini digerakkan menerusi pameran karya seni secara amal dalam menyalurkan dana kepada Tabung KSSB (Bantuan Bahan Makanan & Keperluan Asas), seterusnya membantu mereka yang memerlukan. Bantuan dalam bentuk one-off ini mensasarkan solusi jangka pendek untuk rakyat yang terputus bekalan makanan akibat dibuang pekerjaan atau hilang pendapatan.

Terdahulu, ABIM bersama ZAK Capital dan ADAB Youth Garage (AYG) turut melancarkan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (Untuk Perniagaan Kredit) bagi rakyat Malaysia yang berhadapan dengan kesulitan untuk meneruskan perniagaan.

Demikianlah, jangan sampai ada yang tidur dalam kelaparan. Jangan sampai ada yang telah berputus harap. Rakyat terus setia menjaga rakyat. Ini tekad kita bersama selaku Bangsa Malaysia. Kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala kita bergantung, sesama masyarakat dan rakyat kita tolong-menolong.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Memberi bukan tunggu ‘ada’; beramal bukan tunggu ‘kaya’. Menyumbang bukan kerana berada, tapi kerana faham rasanya tiada.”

Salurkan sumbangan seikhlas hati anda di sini:
Bank Islam: 14-023-01-003-055-2
Rujukan: #kssbABIM2021

Atau klik :
https://www.billplz.com/kssb-abim

Salam keprihatinan & kasih sayang dari meja petugas lapangan ABIM.

#ABIMdiHatiku #YaAllahSelamatkanMalaysia #BangsaMalaysia #BantuMembantu