Ulasan Balas Terhadap Dakwaan Berkaitan Keruntuhan Kualiti Pendidikan Oleh Pengasas Bersama G25, Tan Sri Mohd Sherif Kassim

July 17, 2022
editor@abim

Dakwaan Berkaitan Keruntuhan Kualiti Pendidikan Oleh Pengasas Bersama G25, Tan Sri Mohd Sherif Kassim: Satu Ulasan.

Oleh: Dr Radin Muhd Imaduddin

Dakwaan beliau dipaparkan dalam portal berita dalam talian thesundaily baru-baru ini. Pautannya adalah seperti berikut:

https://www.thesundaily.my/home/quality-education-our-biggest-issue-says-sheriff-EC9444644

Artikel ini bertujuan untuk memberikan ulasan terhadap dakwaan berkenaan, memandangkan beliau telah secara sengaja menonjolkan sebilangan perkara yang menurut beliau, menjadikan kualiti pendidikan negara sebagai isu terbesar. Walau bagaimanapun, dakwaan yang diberikan tidak dinyatakan bersama data dan fakta, namun memandangkan status beliau yang merupakan mantan pegawai kanan kerajaan, dakwaan tersebut berupaya membawa pemberatan dan memberikan pengaruh kepada masyarakat awam.

Dakwaan yang separuh benar (separuh salah) yang diberikan amat berbahaya dan boleh membuatkan masyarakat hilang kepercayaan kepada kementerian pendidikan dan seterusnya kepada sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri.

Antara dakwaan yang serius adalah apabila beliau mendakwa terdapat guru yang membawa agenda bangsa dan agama dalam bilik darjah. Dakwaan yang serius seperti ini memerlukan bukti yang konkrit, jika tidak ia hanya mencetus kepada polemik yang tidak produktif dan merendahkan martabat keguruan itu sendiri.

Beliau juga mengatakan bahawa masa untuk pembelajaran Pendidikan Islam terlalu panjang untuk murid melayu. Berkaitan hal ini, kita perlu akui bahawa Pendidikan Islam merupakan satu daripada lima mata pelajaran teras, justeru memang sewajarnya diberikan layanan sebagai mata pelajaran teras.

Untuk makluman pembaca, dalam kurikulum kebangsaan, ada lima mata pelajaran teras yang wajib diikuti oleh semua murid di Malaysia, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam (untuk murid beragama Islam) serta Pendidikan Moral (untuk murid non-muslim).

Daripada aspek pelaksanaan, masa Pendidikan Islam (PI) dan Pendidikan Moral (PM) dijalankan serentak, justeru murid Muslim dan non-muslim akan bergerak ke kelas menurut guru yang mengajar mata pelajaran berkenaan; Yang pasti bukan disebabkan pelakuan diskriminasi apatah lagi disebabkan oleh niat jahat yang bukan-bukan.

Masa yang digunakan untuk PI ialah 96 jam setahun daripada 800 jam untuk keseluruhan masa instruksional. Masa yang diperuntukkan ini sebenarnya kurang daripada 13% setahun. Masa yang sama diperuntukkan kepada PM. Apakah benar tidak wajar mata pelajaran yang amat penting dalam pengukuhan karakter, nilai dan adab kepada murid diberikan waktu yang signifikan?

Walau bagaimanapun, perlu dicatatkan bahawa pengukuhan karakter juga direntaskan dalam lain-lain mata pelajaran secara bersepadu dan holistik. Tiga komponen penting wajib diukur untuk melihat perkembangan murid, iaitu komponen pengetahuan (kognitif), kemahiran (amali) dan nilai (sikap) yang ditunjukkan murid. Hal ini wajib dilihat dan diukur sebaik mungkin dan sedaya mungkin dalam kesemua mata pelajaran… ya, kesemua mata pelajaran. Namun, fitrah mata pelajaran PI dan PM sendiri adalah merujuk kepada pembangunan sikap mulia dan adab pekerti karakter murid.

Sebagai perbandingan lanjut, murid sekolah kebangsaan (SK) menggunakan 96 jam untuk Matematik, dan 160 jam setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris (BI) dan 160 jam lagi untuk Bahasa Melayu (BM), iaitu lebih satu setengah kali ganda berbanding mata pelajaran PI dan PM.

Kedua-dua mata pelajaran BM dan BI merangkumi 44% daripada keseluruhan mata instruksional setahun. Justeru, amat besar kesalahan apabila mendakwa bahawa masa PI yang terlalu lama menyebabkan masa untuk pembelajaran Bahasa Inggeris tidak mencukupi.

Setelah mendakwa yang bukan-bukan daripada aspek kurikulum, beliau juga telah memberikan pandangan bahawa sekolah kebangsaan perlu berubah untuk menjadi sekolah pilihan utama. Menurut beliau, dengan cara itu, enrolmen murid di sekolah vernakular akan merosot.

Namun, hakikatnya, jika dibuat analisis trend sepuluh tahun ke belakang, menunjukkan bahawa enrolmen murid ke sekolah jenis kebangsaan cina dan tamil semakin merosot (Rujukan: Buku Data Perangkaan Pendidikan Malaysia 2013-2021). Malah, hampir 50 peratus SJKC pada waktu ini dalam kategori Sekolah Kurang Murid (SKM), iaitu enrolmen kurang daripada 150 orang.

Bagi sekolah kebangsaan pula, trend sepuluh tahun ke belakang menunjukkan sebaliknya, iaitu peningkatan yang ketara dan konsisten. Jelas sekali SK telah menjadi pilihan pertama dan utama ibu bapa masyarakat melayu. Malah, boleh dikatakan juga, barangkali disebabkan kerana kepadatan murid di sekolah kebangsaan menyebabkan ibu bapa memilih untuk menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah alternatif. Hal ini dikukuhkan dengan enrolmen di sekolah agama swasta juga menunjukkan trend peningkatan yang konsisten.

Ada beberapa perkara yang boleh dilihat dan mungkin boleh dibuat kesimpulan. Pertama, kebanyakan masyarakat melayu beranak ramai berbanding masyarakat bukan melayu. Kedua, polariti dan prasangka negatif masyarakat bukan melayu terhadap sekolah kebangsaan masih menebal, tetapi tidak dilihat sebaliknya. Buktinya, masyarakat melayu tidak punya masalah untuk menghantar anak mereka ke SJKC untuk tujuan mempelajari bahasa Mandarin, termasuk ke sekolah mubaligh yang mana terdapat gereja di dalamnya, tetapi hal ini tidak dilihat dalam kalangan masyarakat bukan melayu, apabila lebih 95% enrolmen di SK adalah dalam kalangan masyarakat Melayu.

Justeru, hal ini jelas merupakan suatu cabaran yang perlu diambil peduli oleh pihak kementerian dan masyarakat amnya. Satu lagi yang boleh diperhatikan, jika diandaikan bahawa orang melayu turut memenuhi SJKC, kenapa enrolmen ke SJKC semakin merosot? Maka, terdapat kemungkinan bahawa masyarakat Cina sendiri sudah meninggalkan SJKC dan memilih persekolahan swasta. Menurut data perangkaan yang dikeluarkan kementerian saban tahun, enrolmen ke sekolah antarabangsa turut meningkat.  Walau bagaimanapun, kita perlu belajar agar tidak mudah membuat spekulasi tanpa sandaran data dan maklumat yang kukuh dan konkrit; apatah lagi personaliti besar yang dihormati dalam masyarakat.

Sistem pendidikan di Malaysia ini merupakan suatu binaan yang dibina sedikit demi sedikit dengan asasnya dimulakan sejak sebelum merdeka lagi. Setelah kita merdeka, negara membangunkan dasar-dasar dan pelan penting pendidikan, seperti Penyata Razak, Laporan Rahman Talib, Laporan Kabinet Mahathir, dan seterusnya dikukuhkan dengan Akta Pendidikan, Falsafah Pendidikan, Akta Bahasa Melayu, dan lain-lain pelan pembangunan pendidikan. Yang terbaharu adalah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, PPPM 2013-2025.

Namun, apa yang tertulis dan dalam cetak biru bukan mudah dan semuanya dapat diterjemahkan dalam pengoperasian atas kekangan dan pelbagai sebab yang muncul dari masa ke masa. Walau apa pun, sudah pasti ada banyak ruang untuk penambahbaikan yang signifikan dan boleh dibuat asalkan dilihat dari kaca mata yang jujur dan berpaksikan data serta kajian ilmiah; bukan dakwaan semberono, simplistik dan menolak segala asas yang telah dibina pendiri dan pendahulu kita.

* Penulis ialah penyelidik pendidikan, PhD dalam bidang pendidikan, pengkhususan dalam kurikulum dan pengajaran serta polisi pendidikan.


Lampiran:

Sumber: Analisis penulis berdasarkan data daripada Buku Data Perangkaan Pendidikan Malaysia dari 2013 sehingga 2021, terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia

(https://www.moe.gov.my/en/muat-turun/laporan-dan-statistik/perangkaan-pendidikan)

Share:
MAKLUMAT PERHUBUNGAN :
SEKRETARIAT ABIM PUSAT
N0 6, JALAN TC 24/2
TAMAN CEMERLANG
53100 KUALA LUMPUR